Editorial Global Times | Adakah “Enjin Perdagangan Luar” China Melemah?

Ekonomi China pada masa ini sedang berkembang stabil mengikut haluan pembangunan berkualiti tinggi, meskipun situasi domestik dan antarabangsa semakin rumit. Sesetengah media Barat, sama ada disebabkan salah faham atau berat sebelah, telah berkali-kali mempersoalkan malahan memutarbelitkan hakikat pembangunan ekonomi China. Susulan hal ini, Global Times melancarkan kolum rencana pandangan "Q&A on China's Economy", membentangkan fakta dan membetulkan persepsi.

Kebelakangan ini, terdapat suara umum di dunia Barat yang sekali lagi mentafsirkan ekonomi China menerusi lensa “determinisme eksport”. Mereka ini mendakwa, ketidakpastian berikutan dasar tarif AS serta kesan riak akibat konflik di Asia Barat akan mengekang ruang eksport China secara langsung. Atas alasan ini, mereka meramalkan bahawa ekonomi China akan merudum ekoran “enjin eksport yang melemah”, bahkan melihat langkah China menyesuaikan sasaran pertumbuhan KDNK kepada julat 4.5 hingga 5 peratus sebagai tanda “model pertumbuhan lama tidak mampan”. Pertimbangan sedemikian gagal menangkap logik asas prestasi ekonomi China, mahupun hala tuju sebenar transformasi momentum perkembangannya.

Yang dimaksudkan dengan “determinisme eksport” itu berpunca daripada tanggapan ketinggalan zaman bahawa China “pengeluar kos rendah”. Sebagai salah satu daripada “tiga penjana” yang mendorong pertumbuhan, memang benar perdagangan luar telah memainkan peranan yang cukup mustahak dalam menstabilkan ekonomi, mengembangkan sektor pekerjaan dan meningkatkan daya saing antarabangsa. Namun demikian, seiring dengan transformasi dan penaiktarafan ekonomi China, permintaan domestik telah menjadi penyangga yang jauh lebih kuat bagi pembangunan. Kebergantungan China terhadap perdagangan luar telah menurun daripada 59.4 peratus pada 2008 kepada 32.7 peratus pada 2025. Perbelanjaan penggunaan akhir mewakili 52 peratus KDNK, sedangkan permintaan domestik menyumbang kepada 63.7 peratus pertumbuhan ekonomi China.

Berlatarbelakangkan keadaan ini, pertumbuhan eksport China kian hari kian ditopang oleh keupayaan sokongan teknologi, penjenamaan, integrasi sistem serta rantaian perindustrian, dan bukan lagi pemprosesan tahap rendah atau pun persaingan harga.

Contoh terbaik ialah industri kenderaan tenaga baharu (NEV). Pada 2025, jualan kenderaan China mencecah 34.4 juta unit, yang 47.9 peratus atau 16.49 juta daripadanya adalah NEV, sementara kadar penembusan kereta NEV domestik mencatat 53.9 peratus. Dengan bergantung pada asas yang kukuh ini, jumlah eksport kenderaan China mencecah 7.098 juta unit pada 2025, naik 21.1 peratus tahun ke tahun. Eksport NEV melonjak 103.7 peratus kepada 2.615 juta unit. Ini menunjukkan bahawa daya saing automobil China, khususnya NEV, bukan dijana oleh pasaran luar negara. Sebaliknya, ia ditempa melalui iterasi teknologi, peluasan skala, pengoptimuman kos dan pengesahan senario dalam pasaran domestik China yang bersaiz raksasa, sebelum memasuki pasaran global pada kadar yang pantas. Kesimpulannya, pembangunan China mencorakkan produk yang dapat dieksport, bukannya eksport yang mencorakkan pembangunan China.

Berkat peningkatan kualiti, pasaran domestik ultra-besar, sistem perindustrian yang lengkap dan juga aturan perdagangan yang pelbagai, sektor perdagangan luar China telah berulang kali mengatasi tekanan luaran dan mengekalkan pertumbuhan stabil. Pada awal 2025, Washington melancarkan “tarif timbal balas” yang teruk menjejaskan tata ekonomi antarabangsa. Biarpun berdepan persekitaran luaran yang rumit dan suram, eksport China tidak “runtuh” seperti yang diramalkan. Sebaliknya, ia kembali stabil lalu menampakkan peningkatan, hingga akhirnya merekodkan pertumbuhan 6.1 peratus tahun ke tahun, dengan jumlah keseluruhan import dan eksport tahunan mencapai paras tertinggi dalam sejarah. Dalam dua bulan pertama tahun ini, eksport dan import perdagangan barangan China kembali kepada pertumbuhan dua digit iaitu 18.3 peratus tahun ke tahun. Malahan, eksport melampaui jangkaan iaitu 19.2 peratus, suatu permulaan yang baik bagi tahun pertama Pelan Lima Tahun ke-15 (2026-2030).

Dalam pada itu, masih wujudnya banyak faktor tidak diduga dalam persekitaran luaran yang boleh mengganggu kestabilan, dan tekanan untuk menstabilkan perdagangan luar tetap mendesak. Bagaimanapun, ekonomi China mempunyai asas kukuh dengan banyak kelebihan selain daya tahan yang kuat dan potensi yang besar. Keadaan yang menopang trend positifnya dalam jangka panjang tetap tidak berubah. Pada 2025, eksport China memperlihatkan trend jelas ke arah kualiti lebih tinggi dan juga sektor-sektor baharu. Eksport produk berteknologi tinggi mencecah 5.25 trilion yuan, naik 13.2 peratus; eksport kenderaan elektrik, bateri ion litium dan sel suria naik 27.1 peratus; eksport produk hijau seperti unit turbin angin naik 48.7 peratus; dan eksport jenama domestik China naik 12.9 peratus. Ini bermakna perdagangan luar China akan kekal mampan pada masa depan, dan terus memainkan peranan penting dalam ekonomi negara.

Untuk menilai ekonomi China, seseorang itu bukan sahaja perlu melihat kepada pelabuhan dan tempahan, tetapi juga pusat beli-belah, penggunaan, pelaburan, pekerjaan dan jangkaan; bukan sahaja menitikberatkan skala perdagangan asing, tetapi juga input inovasi, penaiktarafan industri dan bekalan keinstitusian.

“Apabila eksport kukuh, ekonomi kukuh; apabila eksport lemah, ekonomi lemah” – menyalah takrif dan memutarbelitkan logik operasi sebuah ekonomi bersaiz mega menjadi naratif linear yang terlalu mudah seperti inilah sebabnya sesetengah media asing berulang kali membuat pertimbangan yang tidak tepat.

Video

Berita Berkaitan