China, Laos Dorong Kerjasama Tenaga dengan Talian 500-kV Baharu

Foto dron menunjukkan juruteknik sedang memeriksa satu seksyen talian penghantaran kuasa dalam projek ketersambungan 500-kV China-Laos di kawasan autonomi Dai Xishuangbanna, provinsi Yunnan, barat daya China, 14 April 2026. (Xinhua)

Talian kuasa arus ulang-alik rentas sempadan 500-kV pertama China mula beroperasi Isnin lalu, menandakan satu langkah ke hadapan dalam kerjasama tenaga antara China dan Laos.

Projek itu, yang merupakan usaha sama tenaga terbesar dan bervoltan paling tinggi antara kedua-dua negara, meningkatkan kapasiti penghantaran kuasa secara rentas sempadan sebanyak tiga kali ganda, iaitu daripada 50 megawatt kepada 150 megawatt. Ia dijangka mampu menyalurkan 3 bilion kWj elektrik bersih setahun, atau 30 kali ganda kemampuan talian dahulu.

Bukan setakat penyambung fizikal antara prasarana, projek tersebut juga memperkasakan pertalian sesama rakyat, bahkan menyokong usaha mengoptimumkan pengagihan tenaga bersih antara kedua-dua negara.

Foto dron menunjukkan juruteknik sedang memeriksa satu seksyen talian penghantaran kuasa dalam projek ketersambungan 500-kV China-Laos di kawasan autonomi Dai Xishuangbanna, provinsi Yunnan, barat daya China, 14 April 2026. (Xinhua)

Foto dron menunjukkan juruteknik sedang memeriksa satu seksyen talian penghantaran kuasa dalam projek ketersambungan 500-kV China-Laos di kawasan autonomi Dai Xishuangbanna, provinsi Yunnan, barat daya China, 14 April 2026. (Xinhua)

Koridor hijau, pintar

Pembinaan bermula pada 26 Februari 2025. Talian sepanjang 177.5 kilometer itu merangkumi seksyen 145 kilometer di China yang dibina oleh China Southern Power Grid (CSG) dan seksyen 32.5 kilometer di Laos yang dibina oleh Electricite du Laos Transmission Company Limited (EDL-T).

“Hampir 1,200 pembina dari 70 unit China dan Laos menyiapkan projek itu dalam lebih 400 hari kerja kolaboratif transnasional, dengan mengatasi cabaran seperti jadual kerja yang padat dan teknologi sambungan grid yang rumit,” kata Meng Zhenping, pengerusi CSG.

Lin Rui, pengerusi EDL-T, pula mengibaratkan projek ini seperti sebuah “lebuh raya tenaga”, yang secara efektifnya mempertingkat kapasiti pertukaran tenaga antara China dan Laos, serta bekalan kuasa di utara negara Asia Tenggara itu.

Seksyen di China menyeberangi Rizab Semula Jadi Negara Xishuangbanna dan juga habitat gajah Asia, menjadikan perlunya langkah-langkah perlindungan alam sekitar yang ketat. Laluan talian berkenaan dioptimumkan pada fasa rekaan untuk mengelakkan kawasan lindungan dan kediaman.

Sebuah sistem amaran awal gajah Asia turut dilancarkan di sepanjang laluan untuk membantu meminimumkan impak pada populasi gajah tempatan dan menjamin keselamatan kerja pembinaan.

Dalam satu kejadian, dron mengesan kedatangan sekumpulan gajah, menyebabkan operator segera menaikkan altitud dan memperlahankan aktiviti untuk membolehkan haiwan tersebut melintas dengan selamat.

Teknologi pintar juga diguna pakai, termasuk pemantauan digital di sepanjang laluan serta robot dan anjing robot berkuasa AI untuk menjalankan pemeriksaan.

“Anjing robot dilengkapi dengan platform AI yang mampu mengenal pasti status peralatan secara automatik dan menyukat suhu inframerah dengan data yang disampaikan dalam masa nyata,” jelas Yang Yao, pegawai tugas China Southern Power Grid Yunnan Power Grid (CSG-YNPG).

Foto fail pada 30 November 2025 menunjukkan substesen 500-kV di daerah Namor, provinsi Oudomxay, Laos. (China Southern Power Grid melalui Xinhua)

Foto fail pada 30 November 2025 menunjukkan substesen 500-kV di daerah Namor, provinsi Oudomxay, Laos. (China Southern Power Grid melalui Xinhua)

Ikatan orang ke orang

Selain ketersambungan fizikal, projek ini turut memperkasakan koordinasi dalam penyaluran tenaga, standard dan pengurusan, di samping memperhebat latihan dan pertukaran maklumat, meletakkan asas untuk kerjasama jangka panjang.

CSG juga mempromosikan penglibatan rentas sempadan dalam pasaran elektrik serantaunya untuk menyokong perdagangan tenaga bersih secara berkala, menurut Zhang Shaohui dari unit Lancang-Mekong syarikat terbabit.

Lebih daripada 500 pekerja warga Laos yang terlibat dalam projek ini menghadiri beberapa sesi latihan termasuk program dwibahasa keselamatan dan teknikal.

Untuk memastikan kelancaran komunikasi antara jurutera, sebuah kamus teknikal dwibahasa China-Laos telah disusun, merangkumi 4,900 istilah.

“Sebelum ini, saya langsung tidak tahu tentang operasi dan penyenggaraan grid kuasa voltan tinggi. Sekarang, saya boleh menyelesaikan tugas pemeriksaan peralatan secara sendirian,” kata Bounmy Songsavat, juruteknik berusia 28 tahun yang dilatih di bawah program tersebut.

Sejak 2022, China dan Laos telah melaksanakan satu mekanisme perkongsian tenaga, dengan lebih 1.6 bilion kWj kuasa elektrik dihantar secara dua hala setakat akhir 2025. Talian terbaru ini dijangka akan meningkatkan lagi keupayaan Laos untuk mengimbangkan bekalan pada tempoh puncak dan luar puncak.

Menteri Industri dan Perdagangan Laos Malaithong Kommasith berkata, selepas beroperasi, projek ini akan menjadi saluran penting sektor tenaga negara. Beliau yakin ia akan membantu meringankan beban penghantaran tenaga domestik dan menyokong pembangunan tenaga boleh baharu di utara Laos.

Video

Berita Berkaitan