Pelan Tindakan Baharu Perkukuh Keyakinan Syarikat Asing

(CRI)Rabu 24 Jun 2026

Pelan tindakan baharu yang disiarkan kerajaan China bagi memperkukuh penggunaan pelaburan asing pada Isnin memperlihatkan komitmen China untuk memperluas keterbukaan bertaraf tinggi, sekali gus menyuntik momentum kepada pembangunan syarikat asing di negara Tembok Besar.

Pelan tindakan itu mempunyai makna yang lebih mendalam tatkala pelaburan rentas sempadan di seluruh dunia kini berdepan cabaran akibat konflik geopolitik, amalan unilateralisme dan fahaman perlindungan.

Pelan tindakan berkenaan merangkumi 15 langkah dengan memberi tumpuan kepada usaha memperluas akses pasaran, mempermudah aktiviti pelaburan asing, menggalakkan pelaburan, menyempurnakan sistem perkhidmatan dan jaminan pelabur asing serta menambah baik pengurusan modal asing.

Usaha memperluas akses pasaran dalam sektor perkhidmatan, kewangan dan perubatan bukan sahaja selaras dengan keperluan transformasi ekonomi domestik, bahkan mencitpa peluang baharu untuk syarikat asing.

Demi menambah baik perkhidmatan dan jaminan buat syarikat asing, pelbagai langkah turut digariskan antaranya melaksanakan secara menyeluruh layanan nasional terhadap syarikat asing, menggalakkan mereka menyertai aktiviti merangsang perbelanjaan domestik serta mengoptimumkan persekitaran perniagaan.

Langkah berkenaan akan memastikan syarikat asing menyertai persaingan secara saksama, sekali gus membantu menyelesaikan kesulitan yang dihadapi mereka.

Menurut statistik, lebih 8,000 syarikat asing meningkatkan pelaburan mereka di China pada tahun 2025, meningkat lebih 10 peratus berbanding tahun sebelumnya.

Dalam tempoh Januari hingga Mei tahun ini, hampir 4,000 syarikat asing telah menambah pelaburan di China.

China yang komited memperluas tahap keterbukaan, kekal sebagai destinasi pelaburan utama di dunia.

Seperti yang dikongsikan ramai pegawai kanan syarikat multinasional, pelabur asing mengintegrasikan diri secara mendalam dengan pasaran China untuk bersama-sama melakar masa depan yang lebih indah.

Video

Berita Berkaitan