Shanghai Lancar Khidmat Pelancong Berkuasa AI

(Akhbar Renmin Ribao Dalam Talian)Khamis 20 Ogos 2026

Pelancong asing membelek produk di sebuah kedai Huawei di Jalan Nanjing, Shanghai, timur China, 28 Julai 2026. (Xinhua/Chen Haoming)

Pelancong asing membelek produk di sebuah kedai Huawei di Jalan Nanjing, Shanghai, timur China, 28 Julai 2026. (Xinhua/Chen Haoming)

Shanghai melancarkan sebanyak 100 terminal perkhidmatan berkuasa AI di seluruh bandar Rabu lalu, bagi menambah baik pengalaman pelancongan tatkala bilangan pelawat semakin ramai pada musim panas ini.

Menurut pihak berkuasa tempatan, terminal tersebut menggunakan ejen AI khas bernama Hu Xiaoyou yang mampu menawarkan perkhidmatan navigasi dan terjemahan dalam masa nyata, serta mengesyorkan tarikan dan menempah tiket. Ia juga dapat menyusun itinerari perjalanan tersuai untuk pengguna.

Pangkalan data berkenaan mengandungi lebih 84,000 entri mengenai aktiviti budaya, tarikan pelancong dan acara sukan di Shanghai, dan disambung terus kepada 14,000 pautan tempahan dan beli-belah, berdasarkan penjelasan pihak operator.

Selain menyokong 10 bahasa iaitu bahasa Cina, Inggeris, Jepun, Korea, Perancis, Jerman, Sepanyol, Thai, Rusia dan Arab, mesin ini turut menerima bayaran dalam lebih 120 mata wang.

Ditempatkan di hotel utama, pusat maklumat pelancongan, tapak acara, daerah perniagaan penting dan kawasan peranginan di merata bandar, terminal ini juga akan menyediakan kakitangan sukarela untuk membantu pelawat dengan sebarang keperluan lain.

Fungsi terminal akan dinaiktarafkan dan liputannya diperluas pada masa akan datang untuk membentuk sebuah rangkaian perkhidmatan melibatkan seluruh bandar, maklum Zhong Xiaomin, pengarah Pentadbiran Budaya dan Pelancongan Bandar Shanghai.

Seiring langkah China menawarkan tarikan pelancongan musim panas yang lebih hebat, Shanghai muncul sebagai destinasi terbaik untuk pelancong dari luar menyelamkan diri dalam gelombang “China Cool”.

Pada separuh pertama tahun ini, bandar di timur China itu menerima seramai 5.3 juta pelancong dari luar, meningkat 27.82 peratus tahun ke tahun.

Video

Berita Berkaitan