China, Malaysia, Teroka Peluang Baharu Kerjasama Ekonomi, Dagang Dipacu AI

Sebuah robot menghidangkan kopi di dewan pameran Pangkalan Rintis Negara untuk Penggunaan AI Terkandung di Hangzhou, provinsi Zhejiang, timur China, 29 Mei 2026. (Xinhua/Fan Yuqing)

Sebuah robot menghidangkan kopi di dewan pameran Pangkalan Rintis Negara untuk Penggunaan AI Terkandung di Hangzhou, provinsi Zhejiang, timur China, 29 Mei 2026. (Xinhua/Fan Yuqing)

Wakil-wakil politik, perniagaan dan akademik dari China dan Malaysia telah bertukar-tukar pandangan mengenai penggunaan AI untuk mendorong penaiktarafan sektor perindustrian sambil memperkasakan hubungan ekonomi dan perdagangan dua hala.

Dalam Forum Ekonomi Darat-Laut 2026 yang berlangsung di Kuala Lumpur pada Khamis lalu, Timbalan Yang di-Pertua Dewan Negara Malaysia Datuk Nur Jazlan Mohamed menyatakan bahawa jalur perdagangan fizikal dan prasarana digital memerlukan sinergi rapat seluruh rantau.

Dari aspek fizikal, Koridor Perdagangan Darat-Laut Antarabangsa Baharu telah memendekkan masa transit antara pelabuhan di Barat China dan Asia Tenggara daripada berminggu-minggu kepada beberapa hari sahaja dalam tempoh tidak sampai sedekad. Memetik beliau lagi, dengan menyambungkan pusat perindustrian di Barat China, Chongqing, terus ke Selat Melaka dan kemudiannya ke Lautan Hindi, terbentuknya satu lebuh raya logistik yang bersepadu dan berkecekapan tinggi.

Menghuraikan penggunaan AI dalam perdagangan antarabangsa, Timbalan Presiden Persekutuan Pengilangan Malaysia Dato’ Andrew Goh Boon Kim pula mengatakan peranti berkuasa AI cukup berharga terutamanya kepada syarikat kecil dan sederhana yang mungkin memiliki produk kompetitif namun kekurangan sumber untuk mengekalkan kehadiran di pasaran seberang laut.

Sistem berbantu AI dapat mengatur maklumat, menganalisis rangka kerja kawal selia, mengenal pasti ketidakkonsistenan dan menyokong pematuhan peraturan, ujar beliau lagi.

Kat Wong, pengarah eksekutif kumpulan pemikir Center for Advanced Studies and Research (CASR) berkata, forum tersebut serta lain-lain pertemuan seumpama membantu memperkukuh ikatan orang ke orang melalui persefahaman yang lebih mendalam antara Barat China, khususnya Chongqing, dan Malaysia, di samping mempertingkat daya tahan ekonomi kedua-dua negara, ketika AI dan pendigitalan sedang mentransformasikan cara keputusan perdagangan, perniagaan dan pelaburan dibuat.

Video

Berita Berkaitan