- Lain-lain
CAEXPO Tonjolkan Peluang Dibawa FTA3.0

Foto ini menunjukkan Pusat Konvensyen dan Pameran Antarabangsa Guangxi Nanning,venue utama CAEXPO ke-22. (People's Daily/Chen Xirui)
Edisi ke-23 Ekspo China-ASEAN akan menonjolkan peluang perniagaan baharu di bawah rangka Kawasan Perdagangan Bebas China-ASEAN (CAFTA) 3.0, dengan kehadiran lebih 3,400 syarikat dari lebih 70 negara dan wilayah, maklum pihak penganjur pada Rabu lalu.
Dijadualkan berlangsung dari 17 hingga 21 September di Nanning, ibu kota wilayah autonomi Zhuang Guangxi di selatan China, ekspo tersebut akan menyerlahkan pencapaian terkini kerjasama China-ASEAN di kawasan pameran seluas kira-kira 170,000 meter persegi.
Bertemakan "CAFTA 3.0 Opportunities, Better Life", acara membawakan pelbagai produk dan projek berkaitan industri tradisional, komunikasi digital, pembangunan hijau, kecerdasan buatan (AI) dan sebagainya.
Satu pasar AI khas akan mempamerkan lebih daripada 500 produk, sementara sebuah kawasan pameran baharu akan memperincikan permintaan negara ASEAN terhadap projek dan aplikasi melibatkan pengangkutan, logistik pintar, AI, pengurusan bandar dan juga pembinaan taman perindustrian.
Pihak berkuasa sains dan teknologi serta institusi teknologi dari negara-negara peserta termasuk Kemboja, Indonesia, Malaysia dan Thailand akan menghantar delegasi masing-masing ke ekspo.
Tahun ini, Timor Leste hadir untuk kali pertama sebagai anggota penuh ASEAN dan hos bersama ekspo, menghimpunkan kesemua 11 negara anggota ASEAN di Nanning selepas blok itu menyambut ahli keluarga baharu.
Lebih daripada 50 aktiviti promosi perdagangan dan pelaburan akan diadakan dalam tempoh ekspo, memfokuskan pemudahan pelaburan dan perdagangan, integrasi ekonomi serantau, selain kerjasama industri dan rantaian bekalan rentas sempadan.
China dan ASEAN sedang berusaha untuk mempercepat pelaksanaan Protokol Penaiktarafan CAFTA 3.0. Ditandatangani pada Oktober 2025, protokol tersebut merangkumi aspek seperti ekonomi digital dan pembangunan hijau.
Hubungan ekonomi antara China dan ASEAN terus memantap, terbukti apabila perdagangan dua hala untuk kali pertamanya melebihi paras 1 trilion dolar AS pada 2025 selepas mencatatkan kenaikan 7.4 peratus tahun ke tahun kepada 1.05 trilion dolar AS. Dalam tempoh tujuh bulan pertama 2026, perdagangan bilateral mencecah 744.41 bilion dolar AS, meningkat 24.7 peratus tahun ke tahun. Angka ini juga mewakili 21.8 peratus keseluruhan perdagangan luar China.
China telah menjadi rakan dagang terbesar Malaysia selama 17 tahun berturut-turut, manakala ASEAN sudah enam tahun berturut-turut berstatus rakan dagang terbesar China.
- CAEXPO ke-23 Buka Tirai di Nanning
- Tiga sorotan utama CAEXPO, CABIS
- Kumpulan Terakhir Barang Pameran CAEXPO ke-23 Dihantar di Nanning
- Pavilion Permintaan ASEAN Diperkenalkan Buat Pertama Kali dalam CAEXPO
- Perdagangan China-ASEAN Naik 24.7% Tujuh Bulan Pertama
- Kumpulan Pertama Barangan Pameran CAEXPO ke-23 Tiba di Nanning
- Ekspo China-ASEAN ke-23 Tumpukan pada Perkongsian Peluang Baharu
- Seminar Pelaksanaan Inovasi CAFTA 3.0 Dilancarkan
- CAFTA 3.0 Suntik Momentum Lebih Kuat untuk Kerjasama Terbuka Serantau
- China-ASEAN Meterai Penaiktarafan FTA, Pacu Kerjasama Bertaraf Tinggi




