Seminar Pelaksanaan Inovasi CAFTA 3.0 Dilancarkan

(Akhbar Renmin Ribao Dalam Talian)Khamis 27 November 2025

Seramai 41 peserta dari 9 negara ASEAN mengambil bahagian dalam satu seminar pelaksanaan inovasi berfokuskan Kawasan Perdagangan Bebas China-ASEAN (CAFTA) yang dilancarkan pada 24 November di Nanning, wilayah Guangxi.

Dihoskan oleh Kementerian Perdagangan China, anjuran Sekretariat Ekspo China-ASEAN (CAEXPO), kursus tersebut dihadiri oleh peserta dari Brunei, Kemboja, Indonesia, Laos, Malaysia, Myanmar, Filipina, Thailand dan Vietnam, bersama wakil dari Sekretariat ASEAN.

Timbalan setiausaha agung Sekretariat CAEXPO Cheng Gong memaklumkan bahawa Protokol Penaiktarafan CAFTA 3.0 telah dimeterai secara rasminya, dan kedua-dua pihak kini perlu meningkatkan lagi pemahaman tentang kandungan yang berkaitan. Penganjuran seminar kali ini kena pada masanya, dan akan memainkan peranan positif dalam menggalakkan pelaksanaan konsep CAFTA 3.0 secara inovatif.

Mewakili para peserta, timbalan pengarah Sekretariat ASEAN Tran Ba Cuong menyatakan kerjasama ekonomi dan perdagangan antara ASEAN dan China semakin hari semakin mantap, dan kedua-dua pihak telah banyak tahun berturut-turut menjadi rakan dagang terbesar satu sama lain. Pemeteraian Protokol Penaiktarafan CAFTA 3.0 telah membuka suatu bab baharu dalam hubungan perkongsian dua hala, dan semua pihak terlibat diharap mempercepat sinergi untuk mendorong kemakmuran dan pembangunan yang berpanjangan di seluruh rantau.

Dimaklumkan, seminar terbabit dijadualkan berlangsung selama 5 hari. Ceramah khas akan diadakan untuk mentafsirkan versi 3.0 CAFTA dan juga peluang-peluang baharu kerjasama, selain meneroka prospek usaha sama ekonomi hijau China-ASEAN dan memahami peranan CAEXPO dalam pembinaan kawasan perdagangan bebas.

Para peserta juga akan dibawa melawat ke tempat-tempat seperti Pusat Kerjasama Aplikasi AI China-ASEAN, Pelabuhan Pintar Friendship Pass China-Vietnam dan Zon Pembangunan Industri Teknologi Tinggi Chongzuo.

Video

Berita Berkaitan