- Lain-lain
China-ASEAN Meterai Penaiktarafan FTA, Pacu Kerjasama Bertaraf Tinggi
Nota: Artikel dari Xinhua ini diterjemah dan disunting oleh People’s Daily Online

Perdana Menteri China, Li Qiang menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN-China ke-28 di Kuala Lumpur, Malaysia pada 28 Oktober 2025. (Xinhua/Li Xiang)
Perdana Menteri China, Li Qiang menyifatkan protokol penaiktarafan Kawasan Perdagangan Bebas ASEAN-China (CAFTA) 3.0 yang dimeterai sebagai penanda kepada peluang baharu untuk berkembang dan menambah baik kerjasama perdagangan dan ekonomi dua hala.
Beliau berkata demikian semasa berlangsungnya Sidang Kemuncak China-ASEAN ke-28 di Kuala Lumpur, Malaysia pada Selasa.

China dan ASEAN menandatangani Protokol Penaiktarafan Kawasan Perdagangan Bebas 3.0 di Kuala Lumpur, Malaysia, 28 Oktober 2025. (Xinhua/Xing Guangli)
Selain pemotongan tarif dan perdagangan yang lebih lancar, dokumen yang dinaik taraf tersebut memperluas kerjasama kepada sembilan bidang, iaitu ekonomi digital, ekonomi hijau, ketersambungan rantaian bekalan, piawaian dan peraturan teknikal dengan prosedur penilaian pematuhan, langkah kebersihan dan fitosanitasi, prosedur kastam dan fasilitasi perdagangan, persaingan dan perlindungan pengguna, perusahaan kecil dan sederhana (PKS), serta kerjasama ekonomi dan teknikal.
Kementerian Perdagangan China menyatakan bahawa, lanjutan daripada pemeteraian protokol ini, kedua-dua pihak akan menjalankan prosedur pengesahan domestik masing-masing untuk memudahkan penguatkuasaan dan pelaksanaan awal protokol ini.
Untuk rekod, perjanjian asal yang ditandatangani pada 2002, telah dilaksanakan sepenuhnya pada tahun 2010, dan kemudiannya dinaik taraf kepada CAFTA 2.0 pada 2015.
Menurut Kementerian itu, dengan CAFTA 3.0 yang baru dinaik taraf ini, ia sekali gus menunjukkan komitmen serius China dan ASEAN terhadap multilateralisme dan perdagangan bebas, serta tekad teguh semua pihak untuk bersama-sama membina pasaran bersepadu serantau yang terbuka, inklusif dan berasaskan peraturan serta sistem perindustrian dan rantaian bekalan serantau yang berdaya tahan yang memberikan manfaat bersama.

China dan ASEAN menandatangani Protokol Penaiktarafan Kawasan Perdagangan Bebas 3.0 di Kuala Lumpur, Malaysia, 28 Oktober 2025. (Xinhua/Xing Guangli)
Sun Xiao, setiausaha agung Dewan Perdagangan Antarabangsa China, berkata CAFTA 3.0 bukanlah pengembangan mudah daripada rangka kerja sedia ada, tetapi perjanjian perdagangan bebas peringkat tinggi yang bersifat inklusif, moden, komprehensif dan saling menguntungkan.
Sementara itu, Tan Kar Hing, timbalan pengerusi Pusat Pengajian Strategik Serantau Malaysia berkata bahawa penaiktarafan itu juga memberikan PKS akses yang lebih luas dan lancar ke pasaran besar China dan ASEAN.
“PKS tempatan kini boleh berhubung secara langsung dengan pasaran serantau melalui platform digital -- 'penciptaan tempatan, pengembangan serantau' yang sebenar,” jelas beliau.
Suwat Techawatanawana, naib presiden eksekutif bank terkemuka Thailand iaitu Kasikornbank berkata bahawa, industri seperti makanan, produk pertanian, pelancongan, logistik dan e-dagang digital akan menjadi antara pihak terawal yang mendapat manfaat daripada penaiktarafan tersebut.
“CAFTA 3.0 akan berfungsi sebagai titik permulaan yang kukuh untuk membangunkan ekonomi digital, e-dagang, ekonomi hijau dan kemampanan, yang secara tidak langsung turut memupuk ketersambungan antara PKS di seluruh negara yang terlibat,” kata Suwat.
Yeah Kim Leng, profesor ekonomi di Universiti Sunway Malaysia, menyifatkan pemeteraian perjanjian itu sebagai tepat pada masanya, yang bukan sahaja untuk melindungi rantau ini daripada pemecahan ekonomi global dan ketidakpastian yang semakin meningkat, tetapi juga akibat semula jadi daripada memajukan pembangunan inklusif di peringkat serantau.

Perdana Menteri China, Li Qiang bergambar bersama semasa menghadiri Sidang Kemuncak China-ASEAN ke-28 di Kuala Lumpur, Malaysia, 28 Oktober 2025. (Xinhua/Yin Bogu)
Mengulas lanjut tentang kerjasama CAFTA 3.0, Li mengumumkan bahawa China akan menyuntik lebih banyak modal ke dalam Dana Kerjasama China-ASEAN, menubuhkan Akademi Digital China-ASEAN, membina platform kerjasama mengenai kecerdasan buatan, dan menubuhkan pusat pembangunan maritim dan kerjasama teknologi.
Beliau seterusnya berkata bahawa kedua-dua pihak juga boleh mengukuhkan kerjasama dalam pengangkutan, ekonomi digital, ekonomi hijau, pencegahan dan mitigasi bencana, serta perubahan iklim.
Li berkata bahawa, China bersedia untuk mengukuhkan penjajaran strategi pembangunan dengan negara-negara ASEAN dan melaksanakan Pelan Tindakan untuk Melaksanakan Perkongsian Strategik Komprehensif ASEAN-China (2026-2030) secara berkesan, seterusnya mengukuhkan rangka kerja kerjasama China-ASEAN secara menyeluruh.
Dalam ucapannya, Li turut menyentuh isu-isu lain, termasuk seruan untuk mempercepatkan rundingan mengenai Kod Tatalaku di Laut China Selatan dan berusaha untuk mencapai penyelesaian awal.
Beliau menggesa China dan negara-negara ASEAN untuk bergabung tenaga dengan lebih kuat, menangkis gangguan luaran, dan mempertahankan hak dan kepentingan sah mereka melalui pergantungan bersama dan tindakan yang diselaraskan di tengah-tengah perubahan baharu dalam landskap antarabangsa semasa.
- PM Li Hadir Sidang Kemuncak China-ASEAN ke-28
- Kerjasama China-ASEAN Melalui CAFTA Lebih Relevan dan Substantif
- Pembaharuan Keinstitusian Pacu Pertumbuhan FTZ Shanghai
- Wang Yi Rumus Hasil Mesyuarat Menteri Luar ASEAN Plus
- Segala Rundingan untuk CAFTA Versi 3.0 Berakhir
- Rundingan Kawasan Perdagangan Bebas China-ASEAN 3.0 Dimuktamadkan
- Ekspo Perindustrian Antarabangsa Dalian 2025 Tumpu pada Pembuatan Pintar
- Import Eksport Shanghai ke ASEAN Naik 7.1% pada S1 2025
- Hubungan Kukuh China-ASEAN Tafsir Konsep Diplomasi Kejiranan
- FTZ Dinaik Taraf, Lebih Galakkan Manfaat Bersama China, ASEAN




