Pacu Pendidikan Asas Berkualiti, Pupuk Akhlak Baik Melalui Pendidikan - Xi

(CRI)Khamis 23 Julai 2026

Presiden China, Xi Jinping mahu usaha dilipatgandakan untuk mengoptimumkan pengagihan sumber pendidikan, memajukan reformasi menyeluruh dalam pendidikan, sekali gus membuka lembaran baharu dalam pembangunan berkualiti tinggi dalam pendidikan asas.

Xi yang juga Setiausaha Agung Jawatankuasa Pusat Parti Komunis China (PKC) membuat kenyataan tersebut dalam satu arahan yang disampaikan pada mesyuarat kebangsaaan mengenai pendidikan asas yang diadakan di Beijing, pada Rabu.

Sejak Kongres Kebangsaan ke-18 PKC berlangsung pada 2012, Jawatankuasa Pusat Parti sentiasa meletakkan pendidikan asas di tempat keutamaan, dan mempromosikan pembangunan pendidikan asas menerusi pelbagai langkah, sekali gus memberi sokongan kukuh kepada pembinaan China yang kuat dalam bidang pendidikan, kata Xi.

Beliau menekankan kepentingan untuk mengamalkan dasar pendidikan secara komprehensif demi memupuk generasi muda yang cemerlang dari segi budi pekerti, kemampuan intelektual, kesihatan, estetik, dan kemahiran kerja.

Pada masa sama, Xi juga menegaskan perlunya untuk mengutamakan kesihatan dalam pendidikan, meningkatkan kualiti pendidikan dan pengajaran, serta mempromosikan kesihatan fizikal dan mental golongan pelajar.

Beliau juga menyatakan, usaha harus dilakukan untuk menyemarakkan semangat pendidik, memperkukuh nilai etika dan moral golongan guru, serta melatih dan memupuk tenaga pengajar yang profesional dan berakhlak tinggi.

Video

Berita Berkaitan