Aktiviti Mencerap Burung Pacu Pertumbuhan Ekonomi China

Di serata China, aktiviti mencerap burung semakin pesat mendapat perhatian dalam kalangan penduduknya, dengan banyak wilayah membangunkan ekonomi yang semakin berkembang tertumpu pada spesies burung yang jarang ditemui.

Tanah Lembap Muara Sungai Yalu di Dandong, Provinsi Liaoning, timur laut China, terletak di sepanjang Laluan Terbang Australasia-Asia Timur, merupakan salah satu laluan utama di dunia bagi burung hijrah – mulai dari Artik Rusia dan Alaska hingga ke Australia dan New Zealand.

Tanah paya tersebut adalah persinggahan tersibuk di dunia bagi burung hijrah. Lebih daripada 500,000 burung hijrah berhenti seketika di situ pada setiap tahun, termasuk spesies yang sangat terancam seperti burung kedidi bermuncung sudu dan greenshank Nordmann.

Orang ramai mencerap burung di Tanah Lembap Muara Sungai Yalu di Dandong, Provinsi Liaoning, timur laut China. (Foto oleh Xinhua)

Orang ramai mencerap burung di Tanah Lembap Muara Sungai Yalu di Dandong, Provinsi Liaoning, timur laut China. (Foto oleh Xinhua)

Menurut Ma Li, pengarah pusat pengurusan di Simpanan Semula Jadi Kebangsaan Tanah Lembap Muara Sungai Yalu, musim mencerap burung adalah tempoh paling sibuk bagi pihaknya.

“Tempoh itu adalah waktu untuk kami fokus terhadap usaha penyelidikan dan mengadakan pengawasan yang paling intensif,” ujarnya.

Ma berkata, tugas utama adalah untuk memastikan agar habitat burung terus tidak diganggu oleh aktiviti manusia. Kakitangan peronda akan memantau aktiviti haram seperti menangkap dan meracun burung, serta bertindak untuk mencegah tingkah laku yang mengganggu seperti bunyi kuat, baling batu atau dron terbang berhampiran burung.

Pada Julai 2024, lima tapak tempat perlindungan burung migrasi di sepanjang pantai Laut Kuning-Teluk Bohai (Fasa II), termasuk Muara Sungai Yalu, telah dimasukkan ke dalam Senarai Warisan Dunia UNESCO semasa sesi ke-46 Jawatankuasa Warisan Dunia.

“Sejak itu, lebih ramai pencerap burung telah datang melawat Tanah Lembap Muara Sungai Yalu, (sekali gus) memacu pertumbuhan dalam ekopelancongan tempatan,” kata Xu Min, pengarah Biro Kebudayaan, Pelancongan, Radio dan Televisyen Dandong.

Untuk menyokong pertumbuhan tersebut, pihak berkuasa pelancongan tempatan telah menyepadukan tarikan berdekatan ke dalam laluan mencerap burung yang bertema.

Perbandaran etnik Qingshui She di Yong'an, sebuah bandar peringkat kaunti di bawah Sanming di Provinsi Fujian, tenggara China telah menawarkan habitat yang sesuai untuk burung pegar perak. Setakat ini, 22 tapak cerapan burung pegar perak telah dikenal pasti di rantau tersebut, yang secara tidak langsung menarik ramai pelancong dan jurugambar.

Di kampung Fengtian, pelawat berkumpul seawal ketika fajar menyinsing, dengan harapan untuk dapat melihat kelibat burung.

Foto memperlihatkan burung pegar perak di kampung Fengtian, perbandaran etnik She, bandar Yong’an, bandar bertaraf kaunti di bawah bandar Sanming di Provinsi Fujian, tenggara China. (Foto oleh People’s Daily Online)

Foto memperlihatkan burung pegar perak di kampung Fengtian, perbandaran etnik She, bandar Yong’an, bandar bertaraf kaunti di bawah bandar Sanming di Provinsi Fujian, tenggara China. (Foto oleh People’s Daily Online)

Tidak jauh dari situ, pemandu burung tempatan Xiong Shengchun dengan berhati-hati meletakkan biji jagung, iaitu makanan kegemaran burung pada dahan pokok dan juga di sepanjang tebing sungai.

Tidak lama kemudian, beberapa burung anggun muncul dari hutan untuk mencari makanan dan bermain-main, serta pada masa sama membolehkan pelawat mengangkat kamera masing-masing untuk merakam detik indah itu.

Xiong merupakan salah seorang daripada lebih 20 pemandu burung terlatih di perbandaran itu. Dengan pengetahuan mendalam tentang tabiat burung, mereka berfungsi sebagai penghubung penting antara burung dan pelancong.

Zhang Aijuan, pengerusi Persatuan Jurugambar di Yong'an, terpesona tatkala melihat burung pegar perak pada 2017. Dia telah melawat setiap tapak pemerhatian lebih daripada lima kali.

Dia mencadangkan kepada kerajaan tempatan untuk menganjurkan pertandingan fotografi burung bagi menarik kehadiran peminat burung di serata China dan luar negara. Usaha tersebut membuatkan hasil, menyaksikan Yong’an berjaya menubuhkan persatuan pencerap burung yang pertama, yang mengendalikan 22 tapak pemerhatian burung pegar perak serta tapak-tapak tambahan bagi spesies yang lain.

“Kampung Fengtian sesuai untuk mengambil gambar burung-burung yang jarang didapati seperti pegar perak. Mencerap burung telah mendorong peremajaan semula luar bandar. Pada 2024, lebih daripada 30,000 pengunjung telah berkunjung ke sini. Tarikan ekologi benar-benar memberikan nilai ekonomi,” ujar wakil Biro Pelancongan dan Kebudayaan Yong’an.

Ledakan aktiviti mencerap burung jelas telah mendorong industri hospitaliti tempatan, dengan banyak rumah tumpangan luar bandar kini menawarkan masakan etnik She yang unik. Pihak pentadbiran tempatan telah mengubah rumah kosong menjadi tempat tinggal tetamu bagi membantu pembangunan.

Xionng Shengchun merupakan antara penduduk kampung terawal yang membuka tapak mencerap burung. Kongsinya, dia kini bekerja sebagai pemandu burung, menjalankan perniagaan berkongsep hiburan pertanian, kenderaan ulang-alik tetamu serta menjual madu dan rebung miliknya sendiri.

“Dengan aktiviti tersebut, saya dengan mudah boleh mendapat lebih daripada RMB 100,000 (AS$ 13,900) setiap tahun,” ujarnya lagi.

Video

Berita Berkaitan