Menteri Luar China, Kemboja, Thailand Adakan Pertemuan Santai Tangani Isu Sempadan

(CRI)Jumaat 15 Ogos 2025

Menteri Luar China Wang Yi mengundang rakan sejawatnya dari Kemboja Prak Sokhonn, dan dari Thailand Maris Sangiampongsa menyertai pertemuan santai di sini pada Khamis bagi membincangkan isu konflik di kawasan sempadan kedua-dua negara Asia Tenggara itu.

Wang menunjukkan bahawa China menyokong Kemboja dan Thailand mengadakan dialog, menghapuskan kesalahfahaman dan membina semula kesalingpercayaan supaya dapat memulihkan hubungan dan kerjasama normal.

Selain itu, China juga menyokong pelaksanaan komprehensif Konsensus Mesyuarat Khas Jawatankuasa Sempadan Kemboja-Thailand yang menekankan gencatan senjata yang sudah bermula.

"ASEAN disokong memainkan peranan yang kondusif dalam menangani masalah yang berkenaan, sedangkan Kemboja dan Thailand juga disokong untuk membuka semula pintu sempadan secepat mungkin atas kehendak rakyat kedua-dua negara.

"China komited memberi bantuan kepada Kemboja dan Thailand dalam usaha membersihkan periuk api di kawasan sempadan mengikut keperluan mereka," kata Wang.

Sementara itu, Prak Sokhonn dan Maris Sangiampongsa mengucapkan terima kasih atas peluang komunikasi yang disediakan oleh China dan menyanjung peranan yang bersifat membina yang dimainkan China dalam mendorong dialog demi kedamaian.

Kedua-dua pihak berkonflik dalam pertemuan itu sebulat suara menyatakan bahawa mereka menghargai kedamaian, mementingkan hubungan dengan negara jiran, dan menegaskan lagi keinginan masing-masing untuk melaksanakan perjanjian gencatan senjata, serta memanfaatkan mekanisme berdialog dengan sepenuhnya untuk mengawal perbalahan daripada merebak.

Video

Berita Berkaitan