Pekan Ligezhuang Hasil Satu Pertiga Daripada Topi Sukan Seluruh Dunia

(Akhbar Renmin Ribao Dalam Talian)Rabu 03 September 2025

Pengunjung cuba memakai topi di bilik pameran di pekan Ligezhuang di Jiaozhou, Provinsi Shandong, timur China, 4 Mac 2021. (Foto oleh Xinhua)

Pengunjung cuba memakai topi di bilik pameran di pekan Ligezhuang di Jiaozhou, Provinsi Shandong, timur China, 4 Mac 2021. (Foto oleh Xinhua)

Satu daripada setiap tiga topi sukan di seluruh dunia dihasilkan di pekan Ligezhuang di Jiaozhou, iaitu sebuah bandar peringkat kaunti di Qingdao, Provinsi Shandong, timur China.

Pekan ini menghasilkan hampir 500 juta topi sukan dan riadah sederhana dan mewah setiap tahun, menjana nilai keluaran kira-kira RMB3.5 bilion (sekitar AS$489.24 juta). Topi tersebut dieksport ke lebih 100 negara dan wilayah, termasuk Eropah, Amerika Syarikat, Jepun dan Korea Selatan.

Digelar sebagai ‘kampung halaman topi China’, Ligezhuang telah membina satu rantai industri topi lengkap, sekali gus mencerminkan peningkatan dinamik sektor pembuatan tradisional China.

Tepat pukul 7 pagi pada 25 Ogos, di dalam bengkel pembuat topi tempatan, lengan robotik menghiris fabrik kalis air dengan ketepatan laser, manakala skrin elektronik memaparkan data masa nyata untuk 30,000 tempahan topi dari Eropah dan pelbagai tempat lain lagi.

"Sekumpulan topi promosi untuk perlumbaan kereta ini akan dihantar dalam tempoh lima hari. Sistem penjadualan pengeluaran digital kami akan menyelaraskan tujuh firma sokongan secara automatik untuk memastikan pengeluaran yang disegerakkan," kata Wang Junyu, seorang eksekutif di syarikat itu.

Menurut Wang, syarikat itu mengeksport lebih daripada 11 juta topi dengan gaya yang berbeza setiap tahun, disokong oleh platform ‘5G + Industri Internet’ yang telah menjamin proses pengeluaran tradisional dapat diselesaikan dalam masa lapan jam sahaja dengan kadar pengeluaran sebanyak 99.6 peratus.

Untuk rekod, industri topi Ligezhuang bermula sejak tahun 1980-an. Pada 1985, seorang ahli perniagaan Hong Kong bergabung dengan perusahaan tempatan untuk menubuhkan sebuah kilang topi.

Dalam tempoh tiga tahun ia berkembang menjadi peneraju industri, menginspirasikan kepada bengkel keluarga dan menarik pembekal luar. Perlahan-lahan, satu rantaian industri huluan dan hiliran yang teguh dalam industri topi muncul.

Pada 2008, pekan tersebut menubuhkan industri topi sebagai industri terkemuka. Setahun kemudian, ia dinamakan ‘kampung halaman topi di China’.

"Membuat satu topi melibatkan 18 langkah dan hampir 10 jenis aksesori. Pada masa lalu kami terpaksa mendapatkan bahan di tempat lain, tetapi hari ini semuanya tersedia di dalam negara," kata Lu Yuzhen, presiden dewan perniagaan industri topi Jiaozhou.

Industri topi pekan tersebut mempunyai kelebihan seperti kos rendah, kualiti tinggi dan tempoh pembuatan yang singkat, yakni hasil daripada rangkaian perindustrian yang lengkap.

Sepanjang empat dekad pembangunan, sektor topi pekan itu telah beralih daripada pemprosesan rendah kepada penyesuaian mewah, berkembang daripada bengkel keluarga yang bertebaran kepada kluster industri yang menampilkan kerjasama seluruh rantaian bekalan.

Pekan tersebut menempatkan lebih daripada 400 pengeluar topi dan lebih 200 firma sokongan, termasuk 82 pembuat topi melebihi saiz yang ditetapkan. 30 peratus daripada 120,000 penduduknya bekerja dalam industri topi.

Untuk memenuhi permintaan dalam pesanan tersuai kumpulan kecil yang semakin melonjak, pembuat topi tempatan telah menerima penggunaan pembuatan digital dan pintar.

"Sejak 2018, kami telah membina barisan pengeluaran pintar. Kini, 60 peratus daripada proses utama kami adalah automatik," kata Wang Aimei, pengurus besar pengeluar topi tempatan. Penyepaduan automasi, pendigitalan dan internet industri telah mendorong pembangunan lonjakan syarikat tempatan.

Untuk meringankan beban perusahaan kecil dan sederhana yang menghadapi skala terhad dan kos peralatan yang tinggi, pekan itu melancarkan kilang pintar kongsi seluas 2,000 meter persegi pada Jun 2023. Dilengkapi dengan lebih daripada 130 peranti pintar, kemudahan itu boleh menggantikan buruh fizikal dalam 10 daripada 18 proses pengeluaran. Hampir 260 pembuat topi tempatan telah pun mendapat manfaat daripada kilang kongsi itu.

Transformasi digital dan pintar telah mengurangkan kos pengeluaran untuk pembuat topi tempatan sebanyak kira-kira 30 peratus, manakala kecekapan pula sebanyak hampir empat kali ganda.

Melalui pembangunan bertahun-tahun, pembuat topi Ligezhuang juga telah membangunkan piawaian komprehensif yang meliputi perolehan bahan mentah, proses pengeluaran dan ujian kualiti, sekali gus meletakkan asas yang kukuh untuk pertumbuhan masa depan industri.

Video

Berita Berkaitan