- Lain-lain
Penyelidik China Ubah Kulat Jadi Aiskrim, Poskad di Ekspo Pertanian
Cendawan tiram dan kulat yang boleh dimakan iaitu Jin’er atau telinga emas, di dalam kabin pintar berasaskan kontena untuk memupuk kulat unik yang dibangunkan oleh pasukan penyelidik diketuai oleh Profesor Li Yu. (People’s Daily Online/Li Siyue)
Aiskrim cendawan, poskad yang boleh dimakan dan kulat merah jambu yang dibiak di dalam kontena berteknologi tinggi telah menambat kehadiran sebilangan besar pengunjung di sebuah ekspo pertanian di Provinsi Jilin, timur laut China.
Secara tidak langsung, ia juga memperlihatkan kemampuan penyelidik untuk mentransformasi pertanian tradisional dengan bioteknologi termaju.
Pasukan penyelidik yang diketuai oleh Li Yu, iaitu ahli akademik di Akademi Kejuruteraan China dan profesor di Universiti Pertanian Jilin, telah membentangkan gambaran keseluruhan yang komprehensif tentang rantai industri kulat menerusi pameran yang terdiri daripada varieti baharu kepada fasiliti pembiakan pintar, produk diproses kreatif dan barangan kebudayaan.
Pameran tersebut mencuri perhatian pengunjung di Ekspo Makanan dan Pertanian Antarabangsa Changchun China ke-24 yang diadakan di Changchun, ibu kota Provinsi Jilin.
Difahamkan, kabin pintar untuk membiak kulat boleh dimakan yang telah dipatenkan oleh pasukan itu turut dipaparkan di zon demonstrasi kulat moden.
Pengunjung menerokai dewan pameran pemupukan kulat di Ekspo Makanan dan Pertanian Antarabangsa Changchun China ke-24 di Changchun, Provinsi Jilin, timur laut China. (People’s Daily Online/Li Siyue)
“Dilengkapi dengan sistem dikuasakan AI, kabin itu membolehkan pengawasan dan pelarasan halus masa nyata yang lebih tepat terhadap suhu, cahaya, kelembapan, peringkat karbon dioksida serta faktor-faktor lain dalam persekitaran pertumbuhan cendawan,” kata Duan Xiulian yang mengetuai usaha untuk mengkomersialkan penyelidikan pasukan itu.
Menurut Duan, penggera automatik dan pengawasan jarak jauh di fasiliti itu telah mentransformasi pertanian rumah hijau tradisional yang berganting kepada cuaca. Teknologi itu telah menambah baik hasil dan kualiti, sambil membolehkan pengeluaran kulat yang pintar dan boleh skala.
Cendawan merah jambu yang jarang dilihat telah menjadi tumpuan, dengan ramai pengunjung merakamkan imej cendawan itu dalam lensa kamera masing-masing.
Menjawab persoalan pengunjung yang bertanya sama ada cendawan itu diwarnakan atau tidak, Duan berkata bahawa warna tersebut adalah semula jadi, yang didapati menerusi teknologi penyuntingan gen.
Jelas Duan, digelar sebagai ‘telinga kayu gundik diraja diranking tertinggi’ berikutan rupanya, varieti itu turut mempunyai nilai nutrisi yang lebih tinggi berbanding telinga kayu tradisional.
Cendawan telinga kayu merah jambu yang dibangunkan oleh pasukan penyelidik diketuai oleh profesor Li Yu telah menarik perhatian ramai pengunjung di Ekspo Makanan dan Pertanian Antarabangsa Changchun China ke-24 di Changchun, Provinsi Jilin, timur laut China. (People’s Daily Online/Li Siyue)
Poskad yang diperbuat daripada serat cendawan telah menjadi tarikan oleh ramai pengunjung di ekspo itu. Bahannya pula adalah sama dengan yang digunakan oleh ‘notis kemasukan cendawan’ boleh dimakan oleh Universiti Pertanian Jilin yang mendapat perhatian meluas dalam platform media sosial China pada awal tahun ini.
“Kertas jenis ini, diperbuat daripada serat cendawan istimewa tidak memerlukan langkah rawatan alkali atau peluntur pembuatan kertas tradisional. Ia bersifat rendah karbon, mesra alam dan sihat,” ujar Duan.
Pelbagai makanan dan produk kesihatan berasaskan cendawan turut dipamerkan di dewan pameran.
Bahagian dalam ‘notis kemasukan cendawan’ boleh dimakan Universiti Pertanian Jilin yang diperbuat oleh serat cendawan. (Foto ihsan Universiti Pertanian Jilin)
“Dengan memperlihatkan setiap pautan rantai industri kulat; daripada pembiakan dan pemupukan pintar hingga pemprosesan mendalam, produk pertanian dan pendidikan sains, kami mahu orang untuk fahami lebih baik keunikan luar biasa serta potensi sains dan teknologi kulat,” tambah Duan.
Jelas beliau, pasukan itu akan terus mempromosi pengkomersialan dan pengaplikasian penyelidikan untuk mengubah ‘kulat kecil’ kepada industri untuk pertanian China moden yang berkembang.
Sejak awal tahun ini, Jilin telah menggunakan pembaharuan dalam sistem inovasi saintifik dan teknologi untuk terus menambah baik ekosistem dalam menterjemah dan mengkomersialkan pencapaian penyelidikan.
Poskad diperbuat daripada serat cendawan dipamerkan di Ekspo Makanan dan Pertanian Antarabangsa Changchun China ke-24 di Changchun, Provinsi Jilin, timur laut China. (People’s Daily Online/Li Siyue)
Pada separuh pertama tahun ini, provinsi itu merekodkan 2,218 kes terhadap dapatan penyelidikan yang dikomersialkan, iaitu meningkat 46.9 peratus dari tahun ke tahun, dengan nilai kontrak teknologi mencapai hampir RMB14.32 bilion (AS$2.01 bilion), melonjak 9.91 peratus berbanding tahun terdahulu.
Industri kulat boleh dimakan China telah meledak bertumbuh dalam tempoh empat dekad lalu. Data rasmi menunjukkan bahawa output kulat boleh dimakan tahunan negara melonjak daripada 57,000 tan pada 1978 kepada lebih daripada 40 juta tan pada hari ini, iaitu peningkatan 700 kali ganda, sekali gus menjadikan China sebagai pendahulu global dalam kulat boleh dimakan.
Aiskrim cendawan yang menampilkan telinga kayu merah jambu dan putih di Ekspo Makanan dan Pertanian Antarabangsa Changchun China ke-24 di Changchun, Provinsi Jilin, timur laut China. (People’s Daily Online/Li Siyue)
- Halaman Sains dan Teknologi Bawa Kepakaran Buat Petani di Beijing
- Petani di Bozhou Keringkan Cili Merah di Bawah Matahari
- Unilever Lancar Pangkalan Pengeluaran Makanan Semua Kategori Pertama di China
- Industri Lada Sichuan Berkembang Maju di Yunnan
- Pohon Cendekiawan Cina Masuki Musim Untuk Dipetik di Guangxi
- China Capai Tahap Mekanisasi Tinggi dalam Sektor Pertanian
- Dulu "Makanan Asing", Kini Jadi "Produk Istimewa" China
- Arca Makam Raja Empayar Purba di Tengah-tengah Ladang Gandum di Gongyi Tarik Pengunjung
- Petani di Maoming Nikmati Musim Tuaian Laici yang Luar Biasa
- Industri Tani Hutan Jiangxi Tambah Maju