- Lain-lain
Sukan Semarakkan Ledakan Pelancongan di Serata China
Pada September, China menyaksikan peningkatan dalam acara sukan, yang turut menarik kehadiran ramai orang, sekali gus mendorong ekonomi tempatan dengan signifikan.
Penyepaduan antara sukan dan pelancongan yang semakin bermekaran pada tahun-tahun mutakhir ini telah menyemarakkan lagi kedua-dua industri tersebut, selain turut menyuntik momentum terhadap pertumbuhan setempat.
Liga Bandar Bola Sepak Jiangsu 2025 atau turut dikenali sebagai Liga Super Su yang menampilkan 13 pasukan bandar di Provinsi Jiangsu memberikan gambaran jelas terhadap trend tersebut.
Penghibur membuat persembahan di atas pentas semasa acara pembukaan Sukan Tradisional Kumpulan Etnik Wilayah Autonomi Mongolia Dalam yang ke-11 di venue Bairin Right Banner wilayah itu. (Xinhua/Bei He)
Pada 6 September, perlawanan pusingan ke-11 antara Nanjing dan Xuzhou telah menyaksikan rekod kehadiran penonton berjaya diperbaharui, dengan catatan sebanyak 60,817 orang, tidak termasuk peminat yang menonton menerusi skrin besar di kawasan membeli-belah dan kejiranan.
Bagi Cao Xuan yang dahulunya belajar di Nanjing sebelum berhijrah ke Beijing untuk bekerja, Liga Super Su dilihat sebagai faktor sempurna untuk dia kembali. Dia berjaya mendapatkan tiket untuk perlawanan 6 September dan menggunakan dua hari hujung minggu ditambah dengan dua hari cuti untuk penginapan selama empat hari. Dia juga menggunakan kesempatan itu untuk melawat mercu tanda Nanjing termasuk kawasan pemandangan Kuil (Confucius) Fuzi, Gunung Zijin dan Xinjiekou.
Sama seperti Cao, ramai lagi yang mengembara ke Nanjing untuk Liga Super Su. Menurut platform pengawasan pelancongan pintar bandar itu, tarikan pelancong, muzium, daerah kebudayaan dan kawasan luar bandar telah merekodkan 728,000 pelancong pada 6 September, meningkat 20.3 peratus berbanding hari yang sebelumnya.
Memetik China UnionPay Merchant Services, perbelanjaan pelancongan di Nanjing direkodkan sebanyak RMB730 juta pada 6 September, meningkat 6.1 peratus berbanding sehari sebelum. Kenaikan tersebut juga dapat disaksikan dalam hotel-hotel yang penuh ditempah di serata kawasan utama bandar itu.
Bagi memenuhi keperluan peminat, Nanjing memperkenal jenama hotel yang terkait dengan Liga Super Su. Hotel-hotel yang terlibat menawarkan bilik yang bertema, bas ulang-alik, dan diskaun makanan untuk pengembara bola sepak.
Yang Xuedong, pengarah ekonomi di Pentadbiran Am Sukan China berkata bahawa pihaknya merancang untuk memperdalam kerjasama antara acara sukan dan pelancongan. Beliau turut menyentuh tentang ‘ekonomi tiket tunggal’, yang memberikan potongan terhadap makanan, tempat menginap dan pelancongan buat individu yang menghadiri acara.
Kejohanan Lumba Dayung Dunia 2025 bakal berlangsung pada 21 September di daerah Qingpu, Shanghai. Pemegang tiket boleh menikmati lebih daripada 170 kelebihan, termasuk diskaun untuk beli-belah, makan, hotel, tarikan, hiburan dan sukan air.
Bagi menarik pengunjung dari latar belakang berbeza, Qingpu memperkenalkan pakej percutian mikro bertemakan acara yang menggabungkan akses waktu siang untuk kejohanan dengan penerokaan waktu malam pekan-pekan purba dan kualiti tempat tinggal B&B.
Untuk mendorong lagi pelancongan, Anshun yang terletak di Provinsi Guizhou sedang merancang beberapa acara dari penghujung September sehingga penghujung tahun, termasuk Pertandingan Undangan Sukan Ekstrim Jambatan Tinggi Antarabangsa 2025 di jambatan Sungai Baling.
- Projek Hidrokuasa di Yunnan Tarik Pelancong, Penduduk Kampung Raih Pendapatan Stabil
- Pelancongan Cipta Peluang Pekerjaan Buat Penduduk Guangxi
- Pelancong Asing Terokai China Jauh Di Sebalik Bandar Besar
- Sukan Nic Curi Perhatian
- Industri Pelancongan yang Berkembang Maju di Xizang Manfaat Penduduk Tempatan
- Teknologi Buka Sempadan Baharu Buat Pasaran Pelancongan China
- Ledakan Industri B&B di Zhejiang Saksi Pendapatan Lebih RMB10 Bilion Pada 2024
- Lima Kad Kredit Utama Dunia Boleh Diimbas Beli Tambang Metro Beijing
- Pelancong Asing Bawa Bagasi Kosong, Sakan Membeli-belah di Shenzhen
- Trend Percutian “Tak Menyakitkan” Ubah Landskap Pelancongan China