Pelancongan Industri Semakin Hangat, Kilang di China Mula Terbuka Kepada Pengunjung

(Akhbar Renmin Ribao Dalam Talian)Isnin 13 Oktober 2025

Foto sebuah kedai kopi semasa pra-pelancaran di taman industri yang dibina semula daripada kawasan kilang lama Syarikat Tianjin No. 1 Machine Tool di Tianjin, utara China. (Foto/Xinhua)

Foto sebuah kedai kopi semasa pra-pelancaran di taman industri yang dibina semula daripada kawasan kilang lama Syarikat Tianjin No. 1 Machine Tool di Tianjin, utara China. (Foto/Xinhua)

Dahulunya terhad hanya kepada kakitangan sahaja, bengkel-bengkel di kilang kini berubah menjadi ‘alam ajaib’ berteknologi tinggi buat pengunjung muda yang penuh perasaan ingin tahu.

Kilang automobil gergasi teknologi China iaitu Xiaomi di Beijing yang pertama kalinya dibuka buat kunjungan awam pada April 2024 telah menarik lebih daripada 150,000 pelawat yang mendaftar untuk mengunjung, dengan purata kunjungan setiap bulan sebanyak 10,000 orang untuk separuh pertama tahun ini.

Menurut data yang dikeluarkan oleh agensi pelancongan dalam talian Ctrip, semasa tempoh percutian lapan hari sempena Hari Kebangsaan dan Pesta Kuih Bulan, pelancongan pendidikan atau lawatan sambil belajar yang berpusatkan pada teknologi tinggi dan industri berat muncul sebagai kejutan. Minat terhadap kembara aeroangkasa dan pembuatan automotif meliputi lebih daripada 20 peratus pasaran.

Di dalam kilang automobil Xiaomi, robot industri kelihatan aktif memasang komponen kereta dengan ketepatan yang menakjubkan, manakala kenderaan logistik robotik yang bergerak secara autonomi pula meluncur di sepanjang laluan yang ditetapkan.

Di tengah-tengah ruang pameran, rangka sangkar berperisai Xiaomi SU7 kelihatan terapung di udara seperti karya seni futuristik, sekali gus mencuit perhatian setiap mata yang melihatnya, selain turut disifatkan oleh pengunjung sebagai seolah-olah berjalan di dalam set filem sains fiksyen.

Direka sebagai salah satu tapak demonstrasi pelancongan industri Beijing pada 2024, kilang itu menawarkan pengalaman penuh asyik yang menggabungkan penyelidikan dan pembangunan, pengeluaran, serta interaksi pengunjung. Dikuasakan oleh 419 robot industri, 204 sistem penglihatan dan 94 robot logistik, ia menonjolkan pameran penuh hidup terhadap pembuatan pintar yang sedang beraksi.

Semasa percutian musim panas, lebih daripada 1,000 remaja melawat Syarikat CRRC Changchun Railway Vehicles untuk menerokai pangkalan pembuatan kereta api lajunya. Li Ke dari bahagian perkhidmatan moden syarikat itu berkata bahawa ruang-ruang penting seperti barisan pemasangan metro kini dibuka kepada kunjungan awam. Ruang terbuka yang berkeluasan sehingga 60,000 meter persegi itu menarik lebih daripada 3,000 pengunjung setiap tahun untuk lawatan sambil belajar.

Liu Boying, profesor madya di Fakulti Seni Bina di Universiti Tsinghua berkata bahawa pelancongan industri kini dilihat sebagai satu bentuk pengembaraan yang menyepadukan estetika industri dengan pendidikan sains. Ia bukan sahaja menjadi teknologi kelihatan ketara, tetapi juga boleh diakses menerusi dalam suasana industri dunia nyata.

Di Taman Industri Luosifen Luobawang di Liuzhou, Wilayah Autonomi Zhuang Guangxi di selatan China, suasana di barisan pengeluaran yang automatik sepenuhnya kedengaran riuh dengan dengungan yang terhasil oleh proses campuran, mensteril, dan membungkus mi beras siput sungai. Selepas selesai berkunjung, pelawat boleh menuju ke restoran layan diri untuk memilih bahan-bahan, mencampurkan sos dan memasak hidangan sendiri.

“Kami telah menjadikan kilang itu sebagai tarikan pelancong dengan menambah pusat pameran mi beras siput sungai, restoran layan diri dan zon pameran untuk produk budaya kreatif,” kata Zhou Wenling, wakil Syarikat Guangxi Luobawang Cultural Tourism Development.

Peralihan daripada lawatan kilang yang ringkas, kepada pengalaman yang mendalam dan praktikal juga mendapat sokongan dasar yang jelas.

Pada Februari, kerajaan mula mendapatkan pandangan orang ramai untuk mempromosikan pembangunan pelancongan industri yang berkualiti tinggi dan mencadangkan beberapa laluan bertema.

Yantai di Provinsi Shandong di timur China telah mencadangkan untuk mewujudkan laluan yang menampilkan pengalaman perlombongan emas, lawatan ke bandar emas purba, persembahan bertema dan bengkel kraf.

Zhang Hui, pengarah Institut Penyelidikan Pelancongan Moden di Universiti Jiaotong Beijing, menyatakan bahawa pengembara muda semakin menyukai pengalaman yang diperibadikan dan mendalam berbanding bersiar-siar yang mudah.

Katanya, pengembara memanfaatkan perjalanan untuk menzahirkan keperibadian dan gaya hidup masing-masing, sekali gus menyaksikan pelancongan industri menyepadukan budaya tempatan dengan pengalaman interaktif yang memenuhi permintaan tersebut dengan sempurna.

Menjelang penghujung 2024, China telah mempunyai 122 pangkalan demonstrasi pelancongan industri kebangsaan, 232 tapak warisan industri kebangsaan dan 10 pangkalan pelancongan warisan yang meliputi riadah bandar, persiaran kilang, pameran muzium, dan tapak warisan.

Memetik laporan unjuran dan penyelidikan pelancongan industri yang meliputi tempoh dari 2023 hingga 2028, China mempunyai lebih daripada 1,200 perusahaan pelancongan industri setakat awal 2024, dengan pasaran diunjurkan melebihi RMB100 bilion menjelang 2030.

Video

Berita Berkaitan