China Contoh Baik Dalam Mempromosi Kesaksamaan Jantina: Duta Besar Panama

(Akhbar Renmin Ribao Dalam Talian)Rabu 15 Oktober 2025

Duta Besar Panama ke China, Miguel Humberto Lecaro Barcenas menzahirkan pujian terhadap usaha berterusan negara Tembok Besar dalam mempromosi kesaksamaan jantina dan pemerkasaan wanita, dengan menyifatkan ia sebagai ‘contoh yang baik kepada dunia’.

Beliau yang ditemui semasa berlangsungnya Mesyuarat Pemimpin Global terhadap Wanita selama dua hari bermula 13 Oktober di Beijing turut berkata bahawa acara tersebut berfungsi sebagai ‘satu peluang untuk memperbaharui prinsip tersebut’, yang memberi inspirasi terhadap kerjasama global dalam kemajuan wanita.

“Kita berada di sini untuk mempertimbang semula apa yang perlu dilakukan untuk membina satu sistem dengan peluang yang adil dan saksama untuk golongan perempuan.

“Harapan terhadap mesyuarat yang penting ini adalah untuk menegaskan kesemua prinsip tersebut dan terus berusaha setiap hari untuk mencapai objektif yang ditetapkan sejak mesyuarat yang pertama di Beijing pada 1995,” ujar Barcenas.

Ketika mengulas tentang peranan China, duta besar itu menekankan bahawa negara Tembok Besar telah memperlihatkan bagaimana wanita boleh berkembang maju dalam kepimpinan di segenap sektor.

“China memberikan contoh baik kepada dunia terhadap penyepaduan dan peluang buat wanita pada setiap peringkat.

“Kita perlu mencontohinya. Di Panama, kita mempunyai presiden wanita, dan hampir separuh daripada anggota kabinet adalah wanita. Tetapi, kita perlu terus belajar daripada negara-negara besar seperti China, yang telah mendorong kepada kemajuan itu,” kata Barcenas.

Kita ditanya mengenai perkara yang terlintas fikirannya terhadap wanita dan China, beliau tanpa ragu-ragu menyebut ‘Kesaksamaan’, iaitu perkara yang dilihatnya setiap hari di China.

“Anda akan dapat melihatnya di semua tempat, iaitu eksekutif, ketua dalam sektor awam dan swasta yang terdiri daripada wanita, serta universiti – di mana wanita adalah lebih ramai berbanding lelaki. Wanita sedang membentuk dunia moden,” tambah Barcenas.

Beliau antara lainnya turut memberi penekanan terhadap kepimpinan China dalam kerjasama antarabangsa, dengan menyatakan bahawa China telah menjadi peneraju sejak sekian lama dalam memajukan kesaksamaan jantina menerusi organisasi global seperti Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu.

Barcenas juga menekankan tentang signifikan Mesyuarat Pemimpin Global terhadap Wanita sebagai wadah untuk dialog dan berkongsi kemajuan, yang menawarkan peluang baik untuk menghimpunkan pemimpin global di bawah satu bumbung.

Video

Berita Berkaitan