China Komited Menyumbang kepada Pertumbuhan Ekonomi Global-- PM Li

(CRI)Rabu 05 November 2025

China akan terus menumpukan pembangunan ekonomi, memacu pembangunan yang berkualiti tinggi dan memberikan sumbangan baharu kepada pertumbuhan ekonomi global.

Perkara itu dinyatakan Perdana Menteri China, Li Qiang semasa berucap merasmikan Ekspo Import Antarabangsa China (CIIE) ke-8 dan Forum Ekonomi Antarabangsa Hongqiao yang membuka tirainya di Shanghai, hari ini.

Li berkata faktor utama yang mendorong penganjuran CIIE menjadi semakin bertambah baik kerana pelbagai pihak berpegang teguh pada prinsip "mewujudkan situasi menang-menang di peringkat global".

Beliau juga mengemukakan cadangan yang melibatkan pelbagai pihak perlu berpegang kepada kesaksamaan dan saling menguntungkan bagi mengukuhkan asas kepentingan bersama dan mengamalkan nilai murni bagi memastikan keadilan antarabangsa terpelihara.

Di samping itu, Li menekankan perlunya pembaharuan dalam tadbir urus untuk menambah baik sistem dan peraturan ekonomi serta perdagangan antarabangsa.

"China bersedia bekerjasama dengan pelbagai pihak untuk mendorong pelaksanaan Inisiatif Tadbir Urus Global dalam bidang ekonomi dan perdagangan antarabangsa, serta melakukan reformasi dan menambahbaik sistem perdagangan pelbagai hala yang diterajui Pertubuhan Perdagangan Sedunia.

"China juga akan berusaha dengan teguh tak berganjak untuk meningkatkan tahap keterbukaan, mengamalkan keterbukaan dari segi institusi, serta memperincikan pelaksanaan projek rintis dalam sektor perkhidmatan yang semakin terbuka,” kata Li.

CIIE kali ini turut diserikan dengan kehadiran kira-kira 1,500 wakil daripada 155 negara, wilayah dan pertubuhan antarabangsa serta tokoh-tokoh sektor politik, perniagaan dan akademik.

Video

Berita Berkaitan