- Lain-lain
Oren Navel Dari Chongqing Lebarkan Sayap di Pentas Global
Baru-baru ini, Kaunti Fengjie di Perbandaran Chongqing, barat daya China telah menandatangani kontrak eksport sebanyak lebih 10,000 tan oren navel dengan syarikat-syarikat dari Malaysia dan Singapura dalam satu acara promosi.
Sejak sekian lama, Fengjie dikenali sebagai tanah sitrus, dengan sejarah penanaman bersejarah dari zaman Dinasti Han (202 S.M. – 220 M).
Penanaman berskala besar telah bermula sejak dua dekad yang lalu. Seiring dengan lombong batu arang yang telah ditutup dan tanah yang dilanda penggurunan telah dibaik pulih, terwujudnya pula tanah ladang.
Bagi penduduk tempatan, mereka mengambil keputusan untuk menanam oren navel selepas melakukan penyelidikan mendalam. Keputusan mereka itu menyaksikan rupa bumi lereng bukit digunakan secara efisien, memelihara tanah daripada terhakis dan meningkatkan pendapatan petani.

Foto memperlihatkan pokok oren navel di Kaunti Fengjie, Perbandaran Chongqing di barat daya China. (Ihsan Pusat Media Kaunti Fengjie)
Hari ini, selepas hampir 20 menjalani pembangunan, pokok oren navel memenuhi segenap ruang pergunungan di kedua-dua bahagian takungan. Lebih menarik, ramai petani tempatan turut berjaya membina kehidupan yang lebih baik hasil daripada industri oren havel,
Untuk rekod, Fengjie pada 2024 mempunyai kebun oren navel seluas 383,000 mu atau bersamaan dengan 35,760 padang bola sepak bersaiz standard, menghasilkan 507,000 tan oren navel setahun, dan menjana lebih RMB6.5 bilion dalam nilai output komprehensif, lapor Pusat Pembangunan Industri Oren Navel Fengjie.
Kini, nilai pasaran jenama itu telah mencapai RMB38.17 bilion, sekali gus menduduk ranking ke-20 dalam kalangan jenama pertanian petunjuk geografi 100 teratas.
Zhou Jian, wakil Syarikat Chongqing Kuimen International Import and Export Trading berkata bahawa, piawaian sisa racun perosak di Singapura adalah sangat ketat, namun oren yang dibekalkan pihaknya sentiasa melepasi pemeriksaan oleh pihak berkuasa.
Beliau berkata, kepercayaan tersebut secara tidak langsung mencerminkan sistem kawalan kualiti komprehensif Fengjie, yang meliputi setiap rangkaian pengeluaran; daripada penanaman, sehingga pemprosesan.
“Kami kini mempunyai ‘senjata rahsia’ untuk oren bertumbuh,” ujar petani tempatan, Liu Huanyu, sambil membuka program mini menerusi aplikasi dalam telefon pintar bertajuk ‘Fengjie Navel Orange Industry Brain’.

Foto sudut udara ini menunjukkan kebun oren navel di Kaunti Fengjie, Perbandaran Chongqing di barat daya China. (Ihsan Pusat Media Kaunti Fengjie)
Difahamkan platform itu menggabungkan kebolehjejakan produk dengan penderiaan Internet Kebendaan (IoT) yang mengawasi kelembapan tanah dan aktiviti serangga perosak, sekali gus membolehkan pembajaan yang tepat, penyemburan dron bersasar, dan pengairan pintar. Kesemua itu telah membuka pintu buat pengurusan digital di sepanjang kitaran pertumbuhan oren tersebut.
Bagi memberi jaminan pengguna luar negara, Fengjie telah membina sistem kebolehjejakan. Setiap kotak oren yang dieksport mempunyai kod QR yang unik, seterusnya menyediakan akses segera terhadap maklumat di kebun, rekod pembajaan, dan laporan ujian.
Pengembaraan Fengjie ke pasaran global bermula dengan Inisiatif Demonstrasi China-Singapura (Chongqing) terhadap Ketersambungan Strategik. Pada 2022, kumpulan pertama oren navel Fengjie tiba di Singapura menerusi pengangkutan antara mod laut-rel, sekali gus menandakan kemunculan pertama di pentas antarabangsa.
Setahu selepas itu, satu laluan udara khusus telah diwujudkan untuk penghantaran terus 24 jam. Pada 2024, 500 kilogram oren navel Fengjie premium telah dihantar untuk acara rasa makanan di Singapura, yang telah menambat minat pasar raya tempatan dengan kualitinya yang konsisten.
Dengan terdapatnya sokongan daripada pihak kerajaan, Fengjie kini berkembang di peringkat global menerusi oren navel tempatan. Kaunti itu turut mengaturkan perusahaan tempatan untuk menyertai dalam ekspo antarabangsa seperti Ekspo Makanan Singapura, selain turut menjadi tuan rumah kepada pembeli luar negara.
Fengjie antara lainnya turut membina fasiliti eksport dan secara aktif berhubungan dengan platform seperti Inisiatif Demonstrasi China-Singapura (Chongqing) terhadap Ketersambungan Strategik, Koridor Perdagangan Darat-Laut Antarabangsa Baharu, dan juga Yumaotong, iaitu sebuah platform perdagangan.
Daerah itu juga menempatkan 70 syarikat dagang asing dan telah berkembang ke 18 negara dan wilayah di serata Asia Tenggara dan Timur Tengah, dengan eksport oren navel antarabangsa melangkaui 9,000 tan.
- Kawasan Tengah China Semakin Menonjol dalam Perdagangan Luar Melalui Benua Euroasia
- Dagangan Import China Tumbuh Stabil Tiga Suku Pertama 2025
- Kargo Import Eksport Melalui Pintu Sempadan Khorgos Cecah 10 Juta Tan
- Kaunti Ninghai Bekalkan Alat Tulis ke Serata Dunia
- Pekan Ligezhuang Hasil Satu Pertiga Daripada Topi Sukan Seluruh Dunia
- Import Eksport Barangan Hampir RMB5 Bilion di Xizang
- Import Eksport Guangxi Catat RMB453.53 Tujuh Bulan Pertama 2025
- Perdagangan Barangan China Catat Pertumbuhan Stabil dalam Tujuh Bulan Pertama 2025
- Sektor E-dagang Rentas Sempadan China Catat Pertumbuhan Kukuh
- China Terus Perhalusi Pemeriksaan Pengeksportan Nadir Bumi




