- Lain-lain
Jambatan Hong Kong-Zhuhai-Makau Rekod 100 Juta Perjalanan

Foto bertarikh 6 Januari 2026 ini menunjukkan plaza tol Jambatan Hong Kong-Zhuhai-Makau di selatan China. (Xinhua/Deng Hua)
Setakat Selasa, pelabuhan Zhuhai di Jambatan Hong Kong-Zhuhai-Makau telah mengendalikan lebih 100 juta perjalanan penumpang keluar masuk sejak projek mega itu dibuka kepada lalu lintas pada Oktober 2018. Rekod ini menjadi batu tanda yang mencerminkan kemajuan rantau berkenaan dari segi ketersambungan dan integrasi.
“Perjalanan antara Guangdong dan Hong Kong dulunya memerlukan beberapa kali berpindah pengangkutan dan mengambil masa yang panjang. Sekarang saya boleh memandu terus ke pejabat klien di Hong Kong. Menjalankan perniagaan sudah menjadi lebih mudah,” kata Chen Zhaochang, seorang penduduk Guangdong yang berniaga alat ganti kenderaan antara dua lokasi tersebut.
Jambatan yang panjangnya 55 kilometer itu menghubungkan Wilayah Pentadbiran Khas Hong Kong, Wilayah Pentadbiran Khas Makau dan bandar Zhuhai, yang semuanya terletak di selatan China. Sebagai lintasan jambatan-terowong laut terpanjang dunia, ia telah mengurangkan masa perjalanan secara drastik antara Hong Kong dan Zhuhai serta Hong Kong dan Makau daripada tiga jam kepada kira-kira 45 minit.

Penumpang menjalani pemeriksaan di pelabuhan Zhuhai, Jambatan Hong Kong-Zhuhai-Makau di provinsi Gaungdong, selatan China, 6 Januari 2026. (Xinhua/Deng Hua)
Menurut stesen pemeriksaan sempadan sebelah Zhuhai di provinsi Guangdong, berbanding tempoh lebih lima tahun untuk jumlah perjalanan penumpang mencecah 50 juta pertama, baki 50 juta perjalanan lagi dicatat dalam masa hanya satu tahun lapan bulan.
Penduduk Hong Kong atau Makau telah membuat lebih 58.73 juta perjalanan melalui pelabuhan darat Zhuhai, iaitu 58.7 peratus keseluruhan aliran penumpang. Pada 2025, pelabuhan itu merekodkan 18 juta perjalanan oleh penduduk dua wilayah pentadbiran khas berkenaan, melonjak hampir 300 peratus daripada 2019. Angka ini menunjukkan bertambahnya populariti serta kemudahan untuk melancong, meniaga, belajar, dan melawat keluarga.
Tatkala gelombang “China Travel” kuat melanda, juga berkat dasar transit bebas visa 240 jam yang dilaksanakan oleh negara, semakin ramai pelawat antarabangsa yang memilih pelabuhan darat Zhuhai sebagai pintu keluar masuk mereka, kerana lokasi ini mempunyai sambungan terus dengan Lapangan Terbang Antarabangsa Hong Kong. Pada 2025, pelabuhan darat itu merekodkan 569,000 perjalanan penumpang warga asing – kenaikan sebanyak 28.7 peratus tahun ke tahun.

Foto dron menunjukkan kenderaan di Jambatan Hong Kong-Zhuhai-Makau di selatan China, 6 Januari 2026. (Xinhua/Deng Hua)
Pertambahan bilangan perjalanan penumpang di Jambatan Hong Kong-Zhuhai-Makau ini dilihat sebagai teladan integrasi sosioekonomi yang kian mendalam di Kawasan Teluk Besar Guangdong-Hong Kong-Makau.
Dengan tidak sampai 1 peratus keseluruhan keluasan tanah China dan 6 peratus populasi negara, KDNK Kawasan Teluk Besar meningkat kepada 14.79 trilion yuan pada 2024, menyumbang kepada satu persembilan output ekonomi negara, malahan mendahului prestasi Kawasan Teluk New York dan Kawasan Teluk San Francisco di AS.
- Kawasan Teluk Besar Pacu Pertumbuhan Ekonomi Altitud Rendah
- GBA Guangdong-Hong Kong-Macau Sasar Jadi Hab Inovasi Teknologi
- Xi Dengar Laporan Kerja Ketua Eksekutif Hong Kong
- Strategi Pembangunan SAR Macau Perlu Selari dengan FYP ke-15 Negara - Xi
- Sukan Jana Peluang Kerjasama kepada Kawasan Teluk Besar
- HZMB Kendali Lebih 93 Juta Perjalanan Penumpang Sejak 2018
- Pameran Penggunaan Berakhir di Macau
- Kluster Inovasi Shenzhen-HK-Guangzhou Ungguli Ranking Global
- Jambatan Hong Kong-Zhuhai-Macao Antara Saluran Tersibuk Semasa Sambutan TBC
- Xi Adakan Tinjauan di Zon Kerjasama Mendalam Guangdong-Makau di Hengqin




