Selami Budaya, Suasana Perayaan di Pekan Purba Utara China

(Akhbar Renmin Ribao Dalam Talian)Rabu 07 Januari 2026

Tatkala terbenamnya mentari, pekan purba Yangliuqing yang letaknya di Terusan Besar Beijing-Hangzhou bergemerlapan diterangi lampu perayaan. Tanglung berwarna-warni dan panji-panji merah menyala menghiasi pekan yang cukup bersejarah ini, melahirkan suasana sambutan meriah Tahun Baharu.

Terkenal kerana lukisan blok kayunya yang hidup, satu hiasan yang menjadi kemestian pada Tahun Baharu, Yangliuqing kini mengetengahkan diri dengan tawaran suasana imersif buat para pengunjung. Lukisan-lukisan ini mengambil ilham daripada sejarah pekan tersebut yang cukup kaya berkat kedudukannya di Terusan Besar, yang pada suatu masa dahulu membawa penduduk ke pelbagai pelosok negara.

Pelakon membuat persembahan di Pekan Purba Yangliuqing, 31 Disember 2025. (Li Ran/Xinhua)

Pelakon membuat persembahan di Pekan Purba Yangliuqing, 31 Disember 2025. (Li Ran/Xinhua)

Pada tahun baharu ini, bangunan-bangunan bersejarah menjadi kanvas yang berkilau terang dengan cahaya, bunyi dan seni digital. “Kami telah mencipta suatu pengalaman yang menggabungkan tradisi dan inovasi –kebangkitan semula yang kreatif buat warisan budaya Yangliuqing,” kata Zhu Yihai, seorang pegawai biro budaya dan pelancongan tempatan.

Satu persembahan teater bergerak membawa penonton menelusuri lorong berbelok-belok, mengikut riwayat artis wanita tersohor, Bai Junying. “Kami mahu orang ramai mengasyikkan diri dalam budaya, bukannya sekadar melihat pemandangan,” kata pengarah, Zheng Yingying.

Pelancong melawat Pekan Purba Yangliuqing, 31 Disember 2025. (Li Ran/Xinhua)

Pelancong melawat Pekan Purba Yangliuqing, 31 Disember 2025. (Li Ran/Xinhua)

Di Yangliuqing, pengunjung berpeluang mencuba mencetak lukisan blok kayu atau menggunting kertas menjadi bentuk-bentuk yang halus. Sepanjang tempoh cuti, pekan tersebut menganjurkan lebih 80 persembahan dan aktiviti yang menggabungkan tradisi dan kemodenan.

“Kami sedang membina sebuah pekan yang mempunyai cerita dan jiwa,” jelas Ren Zhenhuai dari biro budaya dan pelancongan daerah berkenaan. “Seni bina ialah bentuknya, dan budaya ialah jiwanya. Hanya apabila jiwa menjadi hidup barulah dapat pekan purba ini benar-benar bernyawa.”

Pelancong melawat Pekan Purba Yangliuqing, 31 Disember 2025. (Li Ran/Xinhua)

Pelancong melawat Pekan Purba Yangliuqing, 31 Disember 2025. (Li Ran/Xinhua)

Menjelang ketibaan Tahun Baharu Cina, hiasan-hiasan baharu mengundang pelancong menjejak kaki ke dalam bentangan lukisan Yangliuqing – satu paduan warisan, seni dan pembaharuan.

Video

Berita Berkaitan