Pabila Salji Jadi Lombong Emas

(Akhbar Renmin Ribao Dalam Talian)Jumaat 09 Januari 2026

Foto dron memaparkan pertunjukan bunga api di Dunia Ais dan Salji Harbin, 5 Januari 2026. (Wang Song/Xinhua)

Foto dron memaparkan pertunjukan bunga api di Dunia Ais dan Salji Harbin, 5 Januari 2026. (Wang Song/Xinhua)

Meluncur turun di gelongsor ais super 521 meter dan bergambar dengan arca ais yang cukup mengagumkan di taman tema Dunia Ais dan Sajli Harbin, rata-rata pelancong yang riang gembira menjadi penyumbang kepada prestasi industri ais dan salji yang terus meningkat.

Menurut laporan yang diumumkan Akademi Pelancongan China (CTA) awal minggu ini, sektor pelancongan bertemakan ais dan salji China kini memasuki “satu fasa baharu pertumbuhan mampan”. Pada 2025, skala ekonomi ais dan salji negara melebihi paras 1 trilion yuan, iaitu hampir empat kali ganda berbanding 2015.

Laporan tersebut melihat produk-produk pelancongan inovatif sebagai faktor yang menjana peningkatan ini. Antaranya, destinasi ikonik seperti Dunia Ais dan Salji Harbin serta resort ski Gunung Changbai telah memainkan peranan utama dalam memacu pertumbuhan.

Pengunjung melawat-lawat dan bergambar di Dunia Ais dan Salji Harbin, 5 Januari 2026. (Wang Song/Xinhua)

Pengunjung melawat-lawat dan bergambar di Dunia Ais dan Salji Harbin, 5 Januari 2026. (Wang Song/Xinhua)

Xinhua memetik penyelidik CTA, Han Yuanjun, mengenai usaha bandar-bandar di utara seperti Harbin, sambil mengatakan “mereka mengejar peralihan dalam pertumbuhan sektor pelancongan melalui perkhidmatan yang bertimbang rasa” dengan memanfaatkan sumber-sumber ais dan salji yang unik milik mereka.

Heilongjiang sedang mengambil kesempatan daripada musim sejuk yang panjang untuk memacu ekonomi. Pada tahun-tahun kebelakangan ini, industri pelancongan tempatan telah mengambil pelbagai langkah untuk menonjolkan layanan baik, inisiatif yang membuahkan hasil apabila tercetusnya kegila-gilaan di media sosial yang membawa kepada peningkatan bilangan pelancong dan pendapatan.

Tahun lalu, Sukan Musim Sejuk Asia menjadi satu lagi platform yang sesuai untuk pelaburan infrastruktur jangka panjang di Harbin. Bandar itu menaiktarafkan tapak sukan, memperbesar lapangan terbang dan jaringan jalan raya, di samping memperkenalkan penggunaan teknologi membuat salji berautomatik.

Untuk menarik pelancong antarabangsa, Harbin turut menambah penerbangan terus selain memudahkan perkhidmatan visa dan bayaran. Ini telah membawa kepada lonjakan sebanyak 157 peratus dalam tempahan dari luar.

Dimaklumkan, Heilongjiang telah melancarkan sistem pengawasan pertama di China yang memantau empat sektor utama berkaitan ais dan salji untuk dijadikan panduan dalam penetapan polisi perniagaan secara bersasaran.

Pengunjung melawat Ekspo Salji Sun Island Harbin, 5 Januari 2026. (Xinhua/Zhang Tao)

Pengunjung melawat Ekspo Salji Sun Island Harbin, 5 Januari 2026. (Xinhua/Zhang Tao)

Pada 6 Januari, debat peringkat datuk bandar dianjurkan di Harbin, memfokuskan jalan pembangunan ekonomi ais dan salji. Tetamu asing menzahirkan rasa kagum akan amalan-amalan inovatif Harbin.

Andrew Knack, datuk bandar Edmonton di Kanada, memuji kejayaan Harbin mengubah industri ais dah salji menjadi suatu sektor ekonomi yang mampan, pengalaman yang dianggap beliau wajar diteladani. “Ini salah satu pengalaman paling hebat dalam hidup saya,” katanya.

Satu lagi pemangkin ekonomi musim sejuk China ialah Olimpik Musim Sejuk Beijing 2022, temasya yang menyalakan minat orang ramai di serata negara terhadap sukan musim sejuk.

Sektor pelancongan ais dan salji yang dulunya berpaksikan kawasan utara, kini cakupannya menjangkau ke seluruh negara. Selain lokasi-lokasi di timur laut yang cuaca sejuk beku menjadi sebahagian identiti, kawasan Beijing-Tianjin-Hebei di utara serta Xinjiang dan Dataran Qinghai-Tibet di barat, kini juga muncul sebagai destinasi pilihan pelancong pada musim sejuk.

Kawasan-kawasan di tengah dan selatan China pula dilaporkan banyak menanam modal dalam sektor pelancongan ais dan salji pada tahun 2025. Dana kini mengalir untuk membiayai operasi sepanjang tahun kompleks salji dan ais dalam bangunan yang berskala besar.

Seperti yang diujar oleh Tang Xiaoyun, naib presiden CTA, China telah membentuk sebuah struktur rantaian industri yang menyeluruh meliputi budaya, sukan dan perkakasan, dipelopori oleh sektor pelancongan ais dan salji.

Permintaan yang semakin meningkat terhadap perkakasan disahut pantas oleh pangkalan pengeluaran di selatan negara. Produk seperti alat ski dari Yiwu dan gogel keluaran Ningbo kini membekali pasaran domestik.

Video

Berita Berkaitan