Kerjasama Robotik Malaysia-China, Pacu Daya Saing Industri Serantau

(CRI)Isnin 02 Februari 2026

Kerjasama strategik antara Malaysia dan China dalam bidang robotik dilihat berpotensi besar untuk memperkukuh daya saing industri, mempercepat automasi bernilai tinggi serta membangunkan ekosistem bakat kemahiran global.

Dekan Sekolah Robotik, Universiti Xi'an Jiaotong-Liverpool, Profesor Mohd Rizal Arshad berkata industri robotik China kini berada di tahap kematangan yang mengagumkan, bukan sahaja dari segi skala penggunaan, malah kekuatan ekosistem merangkumi dasar negara, industri dan pendidikan.

"China sudah membuktikan bahawa kejayaan robotik memerlukan keselarasan dasar, industri dan pendidikan. Robotik bukan lagi pilihan masa depan, tetapi keperluan strategik untuk memastikan daya saing nasional," katanya dalam satu temubual eksklusif bersama CGTN baru-baru ini.

Menurut beliau, Malaysia memiliki asas yang kukuh untuk muncul sebagai pemain penting dalam sektor robotik serantau, namun pelaksanaan perlu dipercepat melalui projek-projek yang benar-benar menyelesaikan masalah sebenar industri.

Ketika ditanya mengenai bentuk kerjasama paling strategik antara Malaysia dan China, Prof Mohd Rizal menegaskan bahawa pendekatan jangka panjang perlu diberi keutamaan, termasuk penubuhan makmal bersama, tapak ujian aplikasi sebenar serta program latihan bakat yang diiktiraf industri.

"Kerjasama ini tidak seharusnya terhad kepada pemindahan teknologi semata-mata, sebaliknya membina keupayaan integrasi sistem dan penyesuaian teknologi mengikut konteks tempatan.

"Jika Malaysia mahu kekal kompetitif, kita mesti beralih daripada pengguna teknologi kepada pencipta dan pengintegrasi robotik. Di sinilah kerjasama dengan China boleh mempercepat keluk pembelajaran kita dan membantu industri tempatan bergerak ke arah automasi bernilai tinggi," jelasnya lagi.

Menyentuh dari aspek pendidikan pula, beliau berpandangan kerjasama rentas negara perlu bergerak melangkaui pertukaran pelajar kepada pembangunan kurikulum bersama dan penyelidikan berasaskan projek.

"Melalui mobiliti pelajar, penyeliaan bersama dan projek antarabangsa, kita bukan sahaja membina kompetensi teknikal, tetapi juga melahirkan jurutera dengan perspektif global. Negara yang menguasai robotik hari ini akan membentuk ekonomi di masa hadapan," kata beliau.

Mengulas lanjut Prof Mohd Rizal berkata jika dirancang dengan baik, kerjasama Malaysia-China bukan sahaja meningkatkan daya saing industri, tetapi turut menyumbang kepada pembangunan teknologi yang lebih inklusif dan mampan, sekali gus membuka peluang ekonomi baharu untuk generasi akan datang.

Video

Berita Berkaitan