Pemain China Raih Pingat Emas, Beri Impak Besar kepada Perkembangan Sukan Ski

(CRI)Khamis 19 Februari 2026

Peluncur ski negara, Su Yiming telah meraih pingat emas dalam acara snowboard slopestyle lelaki semalam, yang juga merupakan kejuaraan pertama yang dimenangi oleh kontinjen China dalam Sukan Olimpik Musim Sejuk 2026 di Milan.

Pada hari yang sama, pemain negara Xu Mengtao pula berjaya mempertahankan kejuaraan dalam acara aerials ski gaya bebas wanita sekaligus menjadi pemain pertama yang berjaya mempertahankan kejuaraan acara tersebut dalam sejarah Sukan Olimpik Musim Sejuk.

Presiden Persekutuan Ski Antarabangsa (FIS), Johan Eliasch telah hadir menyaksikan berlangsungnya final snowboard slopestyle lelaki. Selepas Su meraih pingat emas, beliau telah menerima wawancara wartawan dari Agensi Berita Xinhua.

Johan Eliasch berkata, "Su meraih pingat emas sekali lagi merupakan satu peristiwa yang mengujakan di kalangan peluncur ski di persada dunia. China berpotensi besar dalam bidang sukan ski dan mampu menarik lebih banyak pelaburan serta perhatian sepanjang perkembangan industri berkenaan."

Menyentuh tentang FIS akan memberi hak kepada China untuk menganjurkan sejumlah kejohanan yang berprestij, Johan Eliasch menyatakan bahawa buat masa kini, China sudah mendapat hak menganjurkan siri kejohanan ski Piala Dunia, manakala Kejohanan Dunia Ski Gaya Bebas dan Kejohanan Dunia Papan Luncur Salji juga bakal diadakan di Taman Ski Yunding di bandar Zhangjiakou, China.

"FIS akan memberi hak tuan rumah kepada China untuk mengadakan lebih banyak acara sukan pada masa hadapan", kata beliau.

Menurut Presiden FIS itu, pihaknya sedang bekerjasama dengan rakan-rakan dari China, untuk membawa lebih banyak peluang latihan serta barisan jurulatih ke China pada masa hadapan, bagi membantu negara Tembok Besar menjadi kompetitif dalam sejumlah acara yang dipercayai masih tertinggal buat masa sekarang seperti acara ski alpina dan ski rentas desa.

Video

Berita Berkaitan