Cuti Sekolah, Masa untuk Tengok Roket!

(Akhbar Renmin Ribao Dalam Talian)Jumaat 03 Julai 2026
Cuti Sekolah, Masa untuk Tengok Roket!
Foto yang diambil dengan telefon bimbit pada Jun 2026 ini menunjukkan pelawat muzium sains di Oriental Spaceport di Haiyang, provinsi Shandong, timur China. (Xinhua)

Lokasi pelancaran yang dulunya rahsia kini menjadi destinasi pelancongan hangat. Oriental Spaceport, tapak pelancaran komersial pertama China di laut yang letaknya di Haiyang, Shandong, telah menyelesaikan 25 pelancaran sejak 2019, menghantar 155 satelit ke orbit.

“Pantai berpasir emas di Haiyang telah lama menjadi tarikan popular, tetapi pada 2019, apabila China berjaya melakukan pelancaran pertama di laut di sini, kami menyedari kombinasi ini mencipta suatu pengalaman yang lain daripada yang lain,” kata Shen Haitao, setiausaha Parti biro budaya dan pelancongan bandar Haiyang.

“Setiap kali saya lihat roket meluncur naik, rasa teruja dan bangga yang amat sangat,” ujar Zhang Shouben, yang sudah tujuh kali menyaksikan pelancaran di laut.

Dalam tujuh tahun ini, 32 projek aeroangkasa telah mendarat di Haiyang. Sebuah Lebuh Angkasa sepanjang enam kilometer kini menghubungkan kluster pembuatan roket, industri satelit, dan operasi pelancaran di laut. Sebuah muzium sains yang dibuka pada Julai 2023 menawarkan lebih 60 paparan interaktif di kemudahan seluas 12,000 meter persegi.

“Kami menggabungkan teori dengan amali guna tangan, supaya pendidikan sains tidak menjadi satu formaliti semata-mata,” jelas Sun Yuqian dari Oriental Maritime Spaceport Development Group. Muzium tersebut menerima kira-kira 100,000 pelawat setiap tahun, dan sekitar 200,000 pelancong telah datang untuk menyaksikan pelancaran roket setakat ini.

Peralihan ini merupakan sebahagian inisiatif yang lebih besar di peringkat negara. Awal tahun ini, tujuh jabatan kerajaan mengeluarkan notis menggalakkan sektor pembuatan bertaraf tinggi membuka pintu kepada pelancongan bertemakan industri.

“Ini bukan gimik jangka pendek,” tambah Zhang Hua, timbalan pengurus besar Oriental Spaceport Group. “Pelancongan hanyalah sebahagian yang dapat dilihat. Di balik tabir, adanya satu ekosistem lengkap melibatkan pembuatan, ujian, perkhidmatan data, dan sokongan pelancaran.”

Pada Oktober 2025, Shandong mengumumkan pelan yang menyasarkan pembinaan industri angkasa bernilai 50 bilion yuan menjelang 2027, menghasilkan 100 modul pelancaran dan 150 satelit setahun.

Memandang ke depan, Haiyang sedang merancang sebuah zon pelancongan angkasa dengan taman tema dan hotel bertema. Difahamkan, pelancaran yang dijadualkan hujung Julai ini sudah pun mendapat sambutan baik, dan tiket ke lokasi tinjauan laris dijual.

Foto dron yang diambil pada 2025 ini menunjukkan Oriental Spaceport di Haiyang, provinsi Shandong, timur China. (Xinhua)

Video

Berita Berkaitan