- Lain-lain
Inovasi Sains, Teknologi Tetap Tumpuan Agenda Xi
Presiden China Xi Jinping melawat sebuah taman inovasi teknologi maklumat di Beijing pada Februari lalu, semasa tinjauan tempatan pertama bagi 2026, titik permulaan tempoh Pelan Lima Tahun ke-15 (2026-2030) China.
Xi, juga setiausaha agung Jawatankuasa Pusat Parti Komunis China (PKC) dan pengerusi Suruhanjaya Ketenteraan Pusat, menganggap lawatan tersebut suatu pengalaman yang membuka mata, yang mengukuhkan lagi keyakinannya akan inovasi sains dan teknologi negara.
Ini mencerminkan keprihatinan Xi terhadap sektor tersebut, selaku pemimpin sebuah negara besar, yang sejak sekian lamanya melihat kemandirian serta kekuatan sains dan teknologi sebagai satu keutamaan.
Daripada institusi penyelidikan hinggalah bengkel kendalian syarikat, daripada makmal sampailah talian pengeluaran, Xi menjejak kaki ke barisan hadapan inovasi sains dan teknologi, menawarkan panduan dengan bersungguh-sungguh dan melakar haluan menuju ke depan.
Pada Mei 2020, semasa satu lawatan penyelidikan ke Shanxi Taigang Stainless Steel Precision Strip di Taiyuan, provinsi Shanxi, utara China, Xi membelek sekeping keluli yang boleh dikoyakkan dengan tangan. Sambil memintal dan melipat kepingan kerajang itu antara jari, beliau memuji tahap ketukangan mereka yang cukup cemerlang.
“Senipis kepingan kerajang, keluli waja ini cukup mudah dilenturkan sehingga boleh dililit keliling jari,” ujarnya ketika itu.
Pada Jun 2022, sewaktu meninjau HGLaser Engineering di Wuhan, provinsi Hubei, tengah China, Xi menekankan betapa pentingnya menggenggam erat sains dan teknologi dalam tangan sendiri, dan menjadikan perkembangan negara lebih tersendiri, mandiri dan terjamin.
Pada Mei 2025, semasa melawat Luoyang Bearing Group di Luoyang, provinsi Hubei, tengah China, Xi mengatakan bahawa sektor perkilangan moden bergantung pada pemerkasaan sains dan teknologi. Beliau turut menyeru supaya usaha diperhebat demi memajukan teknologi teras dan mengejar jalan inovasi sendiri.
Dalam simposium di Shanghai pada April tahun ini, Xi menggesa agar lebih banyak langkah konkrit diambil untuk mengintensifkan penyelidikan asas, mempertingkatkan kapasiti untuk inovasi asli, di samping memperkukuh lagi asas pembinaan kekuatan negara dalam sains dan teknologi.
Memasuki era baharu ini, di bawah pimpinan Jawatankuasa Pusat PKC yang berteraskan Xi Jinping, setiap pelan strategik telah berjaya memastikan wujudnya kelebihan untuk perkembangan akan datang, selain memenuhi keperluan sezaman dan mengemudi negara ke arah ledakan inovasi sains dan teknologi.
China kini sedang mempercepat peralihan daripada sekadar berstatus peserta dan penyumbang kepada pelopor dan peneraju sains dan teknologi global, dan telah pun muncul sebagai salah satu negara yang kemampuan inovasinya paling pantas meningkat.
Tempoh Pelan Lima Tahun ke-15 ini ialah fasa genting untuk merungkai cabaran-cabaran besar membabitkan pembinaan kekuatan negara dalam sains dan teknologi.
Rancangan sistematik untuk menggapai kemandirian dan kekuatan lebih tinggi dalam sains dan teknologi malahan memandu perkembangan daya produktif kualiti baharu ada digariskan dalam rangka Pelan Lima Tahun ke-15, manakala “peningkatan substantif dalam kemandirian dan kekuatan sains dan teknologi” tersenarai antara tujuh objektif utama pembangunan sosioekonomi sepanjang lima tahun akan datang.
“Kita mesti merebut peluang bersejarah ini, bangkit mengatasi cabaran semasa, memacu usaha demi kemandirian dan kekuatan bertaraf tinggi dalam sains dan teknologi, dan melakar perkembangan mampan ke arah matlamat 2035 untuk menjadi negara peneraju sains dan teknologi,” ujar Xi.
Beliau membuat kenyataan itu pada 8 Julai, dalam satu mesyuarat di Beijing yang menyatukan persidangan anugerah sains dan teknologi kebangsaan, perhimpunan agung anggota Akademi Sains China (CAS) dan Akademi Kejuruteraan China (CAE), serta kongres kebangsaan ke-11 Persatuan Sains dan Teknologi China.
- Xi Seru Usaha Pacu Pemodenan melalui Inovasi Teknologi
- Xi Sampaikan Hadiah kepada Pemenang Anugerah Sains dan Teknologi Tertinggi China
- Persidangan Kerjasama Inovasi Sains dan Teknologi China-SCO Berlangsung di Qingdao
- 'Peluang China 2.0' Dijana Inovasi Berskala Besar
- Indeks Inovasi Negara China Naik ke Tangga Ke-9 dalam Ranking Dunia
- Tinjauan CGTN: Inovasi Teknologi China Dapat Pujian
- Keupayaan Inovasi China Terus Meningkat
- ‘Iron Man Sebenar’ Terbang di China: Jurutera Meluncur Naik Dengan Beg Jet
- Kilang Kereta Terbang Pertama Dunia Mulakan Pengeluaran Percubaan di Guangzhou
- Imej Kosmos Cerminan Kekuatan Inovasi China




