Mission Unlock | Ep 6: Bagaimana Mural Keluar dari Gua?

Dalam Episod 6 “Mission Unlock”, Mina tiba di Pusat Pameran Digital Groto Mogao Dunhuang di provinsi Gansu, barat laut China. Malang sekali, pelawat muda ini tidak berpeluang masuk ke Gua 285 kerana semua slot lawatan habis ditempah.

Mengikut selembar reben bercahaya yang muncul dari mural memaparkan apsara terbang, Mina memasuki sebuah pusat penerbitan gua digital. Di situ, dia mendapati proses pendigitalan tidaklah semudah mengambil gambar mural purba sahaja. Proses yang terlibat memelihara bukan sahaja warna dan butiran halus, tetapi juga cahaya, ruang dan rasa perjalanan masa di dalam gua.

Melalui paparan imersif dan teknologi VR, pelawat dapat memandang ke siling kaison di atas, mendekati apsara terbang, malahan merasakan diri seolah-olah telah mengembara merentasi masa di dalam gua, lalu menyaksikan pemandangan sama yang dilihat oleh para tukang seribu tahun lalu.

Beginilah Mina memahami, teknologi tidak menggantikan warisan yang asli, tetapi melebarkan sayap khazanah budaya yang tidak boleh dialih supaya dapat dilihat oleh dunia di luar gua, dikenali oleh lebih ramai oang, dan menyemarakkan keinginan sebenar untuk melindunginya.

Garis panduan Pelan Lima Tahun ke-15 (2026-2030) menggesa integrasi lanjut budaya dan teknologi, pemerkasaan pembangunan budaya dengan teknologi digital dan pintar, sekali gus membawa peralihan kepada model pembangunan berasaskan IT dan melahirkan bentuk baharu usaha niaga melibatkan aspek budaya.

Cara terbaik untuk memelihara warisan bukanlah dengan mengabadikannya di masa silam, sebaliknya membolehkan warisan berkenaan merentas masa ribuan tahun agar suaranya didengari manusia pada setiap era. Apabila coretan berus dari zaman purba dapat mencuri mata orang masa kini, itulah buktinya masa silam tidak akan sekali-kali luput.

Video

Berita Berkaitan