Dasar Bebas Cukai Baharu Hainan Jana 5 Bilion Dolar

(Akhbar Renmin Ribao Dalam Talian)Jumaat 06 November 2026

Pelanggan memilih barang di sebuah kedai bebas cukai di Sanya, provinsi Hainan, selatan China, 2 Oktober 2026. (Xinhua/Guo Cheng)

Pelanggan memilih barang di sebuah kedai bebas cukai di Sanya, provinsi Hainan, selatan China, 2 Oktober 2026. (Xinhua/Guo Cheng)

Tabiat membeli-belah bebas cukai penduduk tempatan di provinsi Hainan, selatan China, telah berubah daripada pembelian sekali-sekala kepada perbelanjaan harian, melihat kepada data yang diumumkan oleh Kastam Haikou.

Daripada November 2025 hingga Oktober 2026, pembelian bebas cukai luar pesisir mencatat 33.45 bilion yuan (bersamaan kira-kira 4.98 bilion dolar AS), dijana oleh 4.88 juta orang yang membeli 27.64 juta barang. Ini merupakan kenaikan 13.8 peratus, 8.6 peratus, dan 2.4 peratus masing-masing.

China telah mengemaskinikan dasar beli-belah bebas cukai luar pesisirnya terhadap pelawat yang berlepas dari Hainan, berkuat kuasa 1 November 2025, sekali gus meluaskan kategori barangan bebas cukai kepada 47. Selain itu, enam jenis produk domestik termasuk selendang sutera, seramik dan teh, juga boleh dijual melalui saluran-saluran bebas cukai luar pesisir.

Jualan produk dari kategori yang baru ditambah mencecah 210 juta yuan, sementara produk domestik yang dijual melalui saluran bebas cukai berkenaan merekodkan hasil sebanyak 240 juta yuan dalam tempoh sama.

Dasar yang dikemas kini ini membolehkan penduduk Hainan dengan rekod perjalanan ke luar dalam tempoh setahun membeli barangan bebas cukai “beli-dan-ambil” tanpa had dalam tahun yang sama. Dimaklumkan, Kastam Haikou telah merekodkan sejumlah 410 juta yuan pembelian seumpama oleh penduduk tempatan.

Dalam masa 12 bulan tersebut, seramai 24,000 pelancong keluar telah membuat pembelian bebas cukai bernilai 160 juta yuan, dipermudah oleh urusan kemasukan tanpa visa Hainan serta laluan penerbangan antarabangsa yang semakin banyak.

Di bawah dasar kemasukan tanpa visa Hainan, pelawat yang layak dari 61 negara boleh masuk tanpa visa melalui pelabuhan-pelabuhan terbuka dan berada di provinsi itu untuk tempoh maksimum 30 hari.

Mulai Disember tahun lepas, Pelabuhan Perdagangan Bebas Hainan secara rasminya melancarkan operasi kastam khas seluruh pulau. Menurut rancangan, China akan membangunkan Hainan sebagai sebuah destinasi pelancongan dan penggunaan dengan pengaruh global menjelang 2035.

Video

Berita Berkaitan