- Lain-lain
Hainan Buka Pendidikan Tinggi Kepada Dunia Melalui Kerjasama IPT Antarabangsa

Hainan terus memperkukuh keterbukaan sektor pendidikan tinggi menerusi model kerjasama institut pengajian tinggi (IPT) antara China dan luar negara, yang menggalakkan perkongsian sumber pendidikan, kemudahan kampus serta program pengajian antarabangsa.
Pendekatan itu dilaksanakan di Zon Perintis Inovasi Pendidikan Antarabangsa Li’an, Lingshui, yang dibangunkan sebagai platform utama bagi memperluas kerjasama pendidikan antarabangsa di wilayah selatan China itu.
Ditubuhkan pada tahun 2020 melalui kerjasama Kementerian Pendidikan China dan kerajaan wilayah Hainan, zon berkenaan kini menghimpunkan 30 IPT China dan luar negara, selain menawarkan lebih 60 bidang pengajian serta 24 institusi dan program kerjasama pendidikan China-luar negara yang diluluskan.

Norshahida Zaidon, pelajar Malaysia yang mengambil jurusan bahasa China di Xi’an Jiaotong University di sini berkata fasiliti yang disediakan di Zon Perintis Inovasi Pendidikan Antarabangsa Li’an, Lingshui sangat lengkap malah tenaga pengajar juga sangat profesional.
“Dekat sini, cikgu ajar dalam bahasa Inggeris jadi mudah untuk difahami. Dia ajar satu-satu dan juga ajar bagaimana mengggunakan perkataan yang dipelajari.
“Selain itu yang paling saya tak sangka adalah mereka turut mempunyai kantin halal bagi pelajar-pelajar yang beragama Islam, jadi saya tak perlu risau dari segi makanan. Malah penginapan yang disediakan juga amat selesa, lengkap dan murah,” ujar Norshahida lagi.
Antara keistimewaan model pendidikan di Li’an ialah pendekatan “perkongsian besar dengan kolej khusus”, yang membolehkan IPT berkongsi kemudahan dan sumber, sementara setiap universiti mengekalkan bidang serta program pengajiannya sendiri.
Menerusi pendekatan itu, pelajar berpeluang mengikuti kursus yang ditawarkan oleh universiti lain dalam zon berkenaan, sekali gus memperluas pengalaman pembelajaran merentas institusi.

Menurut maklumat yang diumumkan pada Jun 2026, zon itu menyediakan 337 kursus perkongsian antara universiti, dengan sistem yang menggalakkan pemilihan kursus rentas kampus serta pengiktirafan kredit akademik.
Kemudahan bersama seperti perpustakaan, makmal dan pusat sukan turut menyokong interaksi antara pelajar serta tenaga pengajar daripada institusi berbeza.
Kerjasama berkenaan juga merangkumi pembangunan program pengajian bersama universiti luar negara, termasuk bidang sains pintar, teknologi elektronik dan kejuruteraan karbon neutral, bagi memperluas pilihan pendidikan serta membangunkan bakat yang memenuhi keperluan masa depan.
Usaha itu mencerminkan aspirasi Hainan untuk membangunkan ekosistem pendidikan tinggi yang lebih terbuka, dengan menggabungkan kepakaran akademik China dan luar negara serta memperluas peluang pembelajaran antarabangsa.
Melalui model kerjasama itu, Li’an bukan sahaja berperanan menarik institusi pendidikan asing ke Hainan, malah menjadi medan penerokaan kaedah baharu dalam perkongsian sumber, pengajaran rentas universiti dan pembangunan pendidikan tinggi antarabangsa.
- Xi Ucap Tahniah Ulang Tahun ke-100 Universiti Hunan
- Di Puncak Salji Golog, Buku Pembuka Jalan
- Impian Muzik Anak Jati Padang Rumput
- Xi Ucap Tahniah Sempena Ulang Tahun ke-80 Universiti Jilin
- Xi Ucap Selamat Hari Guru Buat Warga Pendidik di Seluruh Negara
- Lif, Kereta Kabel Mudahkan Hidup Pelajar di Yunnan
- Pacu Pendidikan Asas Berkualiti, Pupuk Akhlak Baik Melalui Pendidikan - Xi
- Muzium Sains Timur Laut China Popular pada Cuti Musim Panas
- FTP Hainan Lancar Projek Pertama Lupus Pesawat
- Gaokao Selesai di Sesetengah Tempat China




