IAEA Adakan Mesyuarat Tergempar Susulan Serangan AS terhadap Kemudahan Nuklear Iran

(CRI)Selasa 24 Jun 2025

Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) mengadakan mesyuarat tergempar pada Isnin berhubung situasi di Iran, bagi membincangkan isu berkaitan serangan Amerika Syarikat (AS) terhadap kemudahan nuklear Iran.

Wakil tetap China ke IAEA, Li Song telah menyampaikan pendirian China dalam mesyuarat tersebut, dan menyatakan bahawa sejarah akan mengingati tanggal 21 Jun.

Katanya AS sebagai anggota tetap Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), negara anggota Perjanjian Pengawalan Senjata Nuklear (NPT) dan negara memiliki senjata nuklear, telah melancarkan serangan ketenteraan ke atas kemudahan nuklear Iran, yang berada di bawah pengawasan IAEA.

"Tindakan ini bersifat kejam dan tidak pernah berlaku sebelum ini, dan China mengecam tindakan sedemikian".

Mengulas lanjut, Li berkata tindakan tersebut juga merupakan perlanggaran serius terhadap tujuan dan prinsip Piagam PBB serta undang-undang antarabangsa, di samping memburukkan lagi ketegangan di Timur Tengah dan menimbulkan kesan negatif yang besar.

Ujarnya China menyatakan kebimbangan serius dan dengan tegas menentang sebarang tindakan yang mencabul kedaulatan dan keselamatan Iran serta serangan bersenjata ke atas kemudahan nuklear yang menerima perlindungan dan pengawasan IAEA.

Li menekankan bahawa masyarakat antarabangsa khususnya AS mesti berusaha untuk meredakan ketegangan dan mendorong rundingan dan dialog.

Justeru China menyeru semua pihak terlibat dalam konflik terutamanya Israel agar segera mewujudkan gencatan senjata, menjamin keselamatan awam, dan mengelakkan situasi dari terus meruncing.

Li menyatakan bahawa China menyokong peranan IAEA melaksanakan tanggungjawabnya secara adil dan memainkan peranan positif dalam menyelesaikan isu nuklear Iran melalui cara politik dan diplomatik.

Video

Berita Berkaitan