- Lain-lain
China Bakal Saksi Ledakan Pelancongan Sempena Percutian ‘Minggu Emas’ 2025
Pengunjung menikmati aktiviti air di sebuah pusat sukan air yang terletak di Bandar Huangshan, Provinsi Anhui, timur China pada 28 Ogos 2025. (Xinhua/Zhou Mu)
Sempena tempoh percutian ‘minggu emas’ selama lapan hari bermula 1 Oktober ini, China menjangkakan untuk melihat rekod perjalanan diperbaharui, dengan pelancong sibuk merancang perjalanan masing-masing bagi cuti gabungan untuk merayakan Hari Kebangsaan dan Pesta Kuih Bulan.
Difahamkan, kedua-dua destinasi domestik dan perjalanan luar negara diunjurkan untuk menyaksikan peningkatan besar dari sudut angka kedatangan pengunjung.
Memetik data dari beberapa platform dalam talian dan agensi pelancongan, keinginan untuk pelancongan domestik telah meningkat sebanyak 30 peratus dari tahun ke tahun menjelang tempoh percutian tersebut, sementara keinginan untuk pelancongan luar pula melonjak lebih daripada 40 peratus. Tempahan pelancongan telah merekodkan pertumbuhan dua angka berbanding tempoh sama tahun terdahulu.
Menurut platform pelancongan dalam talian Mafengwo, carian untuk ‘menghargai pemandangan musim luruh’ semasa tempoh percutian itu melonjak 125 peratus berbanding minggu sebelumnya.
Statistik daripada agensi pelancongan dalam talian Tuniu memberi petunjuk bahawa terdapat permintaan yang kuat terhadap destinasi-destinasi musim luruh seperti teres pada Longji di Guilin, Wulong di Chongqing, Altay dan Kanas di Xinjiang, Jiuzhaigou dan Daocheng Yading di Provinsi Sichuan, kampung Hongcun di Huangshan, Pergunungan Changbai di Provinsi Jilin, serta kampung Huangling di kaunti Wuyuan, Provinsi Jiangxi.
Kesemuanya telah merekodkan volum tempahan yang tinggi pada tempoh percutian tersebut. Ledakan pelancongan musim luruh telah menyemarakkan minat dalam produk yang khusus seperti pengembaraan fotografi, perkhemahan, perkhidmatan fotografi pelancongan, mendaki dan berkayuh.
Kepuasan emosi telah menjadi faktor penting dalam mempengaruhi pilihan ramai pelancong. Bagi tempoh percutian tersebut, volum carian hotel di agensi pelancongan dalam talian Ctrip termasuk Xinjiang, Xizang, dan Mongolia Dalam telah meningkat 60 peratus dari tahun ke tahun, dengan kebanyakan pengunjung datang dari bandar-bandar utama.
Landskap unik dan padang rumput nan luas menawarkan pengalaman healing – berehat, menyegarkan diri dan menenangkan fikiran melalui aktiviti pelancongan domestik, dilihat telah memenuhi keinginan pekerja di bandar untuk berehat dan berhubung semula dengan alam sekitar.
“Pelancong pada hari ini mencari nilai emosi dan jimat kos,” ujar Qi Chunguang, naib presiden Tuniu.
Jelas beliau, pelancong menginginkan pengalaman pelancongan bersifat mendalam, berkualiti tinggi, dan sanggup untuk membayar nilai emosi, sambil memegang prinsip ‘jimat sebaik mungkin, berbelanja secara berbaloi’.
“Mereka memotong kos pengangkutan dan barang yang tidak perlu untuk melabur lebih kepada pengalaman yang bermakna,” ujar Qi.
Tambah beliau, peralihan tersebut telah mendorong permintaan terhadap pengembaraan memandu sendiri, perjalanan kendiri dan trip kereta api berkelajuan tinggi, dengan tempahan untuk kesemua pilihan tersebut melebihi dua kali ganda berbanding tempoh percutian tahun lalu.
Data Ctrip menunjukkan bahawa ketibaan pelancong luar negara ke China terus bertambah, dengan Korea Selatan, Jepun, Thailand, Malaysia, Singapura, United Kingdom, Indonesia, Amerika Syarikat (AS), Rusia dan Australia merupakan negara sumber pendahulu. Manakala, destinasi utama mereka adalah termasuk Shanghai, Beijing, Guangzhou, Shenzhen, Chengdu, Chongqing, Xiamen, Qingdao, Hangzhou, dan Xi’an.
Tempahan pelancong Rusia di Ctrip telah meningkat 75 peratus dari tahun ke tahun setakat 19 September, didorong oleh dasar pengecualian visa dua hala. Beijing, Shanghai, Sanya, Guangzhou, dan Harbin dicatatkan sebagai destinasi paling popular bagi pelancong dari Rusia.
Perjalanan antarabangsa jarak jauh terus memulih, dengan tempahan ke luar negara kini meliputi lebih daripada 140 negara dan wilayah, iaitu peningkatan drastik berbanding tahun lepas, lapor Fliggy – platform pelancongan dalam talian milik Alibaba. Manakala tempahan ke Australia, AS, New Zealand dan beberapa negara Eropah pula pesat bertambah.
Rusia menyaksikan tempahan hampir tiga kali ganda dari tahun ke tahun selepas memperkenalkan akses bebas visa kepada pelancong China, sementara Jepun, Korea Selatan, Malaysia, Thailand, dan Vietnam kekal sebagai destinasi popular.
Dengan dasar-dasar yang lebih memihak, termasuk pengecualian visa dan penerbangan yang telah disambung semula, ia telah mengembangkan pilihan pelancongan antarabangsa secara besar-besaran, ujar Li Mengran, pengurus perhubungan awam media di agensi pelancongan UTour. Produk pelancongan luar pula bertambah 75 peratus berbanding pada tahun lepas, dengan angka pelancong dijangka meningkat 130 peratus.
Negara-negara rakan Inisiatif Jalur dan Laluan termasuk Georgia, Uzbekistan, dan Kazakhstan telah menjadi destinasi popular untuk pengembaraan pemanduan sendiri antarabangsa. Tempahan sewa kereta untuk negara-negara tersebut semasa tempoh percutian masing-masing meningkat sebanyak 200 peratus, 300 peratus dan 1,000 peratus, memetik data Ctrip.
- Sukan Semarakkan Ledakan Pelancongan di Serata China
- Projek Hidrokuasa di Yunnan Tarik Pelancong, Penduduk Kampung Raih Pendapatan Stabil
- Pelancongan Cipta Peluang Pekerjaan Buat Penduduk Guangxi
- Hari Kecergasan Kebangsaan Disambut Meriah Serata China
- Industri Pelancongan yang Berkembang Maju di Xizang Manfaat Penduduk Tempatan
- Teknologi Buka Sempadan Baharu Buat Pasaran Pelancongan China
- Ledakan Industri B&B di Zhejiang Saksi Pendapatan Lebih RMB10 Bilion Pada 2024
- Trend Percutian “Tak Menyakitkan” Ubah Landskap Pelancongan China
- Xinjiang Keluarkan Rancangan Pembangunan Industri Kebudayaan dan Pelancongan Baharu
- Hari Pelancongan China : Keajaiban Pemandangan yang Anda Tidak Boleh Terlepas