- Lain-lain
Industri Dron China Memajukan dan Memperkasa Pelbagai Sektor

Foto memperlihatkan dron kargo membawa buah plum dari kebun plum di kampung Ganyuan di kaunti Wushan, Chongqing, barat daya China pada 2 Julai 2024. (Xinhua/Huang Wei)
Dalam tempoh Rancangan Lima Tahun (FYP) ke-14 (2021-2025), industri dron China telah mencapai kejayaan berterusan dalam prestasi, sambil berkembang ke dalam senario aplikasi baharu.
Statistik menunjukkan bahawa China kekal sebagai pengeksport dron awam terbesar di dunia selama beberapa tahun berturut-turut. China kini menyumbang lebih 70 peratus daripada permohonan paten berkaitan dron global, sekali gus mengukuhkan kedudukannya sebagai sumber utama teknologi dron di seluruh dunia.
Kemajuan pesat kecerdasan buatan (AI), 5G dan teknologi tenaga baharu dalam beberapa tahun kebelakangan ini telah membolehkan penyepaduan dron dengan model AI yang besar, bateri litium dan industri lain.
Secara tidak langsung, ia telah mempercepat pelelaran produk, selain perlahan-lahan membentuk ekosistem komprehensif yang memenuhi keperluan aplikasi yang pelbagai dengan kos yang lebih rendah, kebolehpercayaan yang lebih tinggi, prestasi yang lebih baik dan keselamatan yang dipertingkatkan.
“Bateri kuasa berfungsi sebagai jantung dron, menentukan sejauh mana ia boleh terbang,” kata Chen Zhongwei, seorang penyelidik di Institut Fizik Kimia Dalian di bawah Akademi Sains China di Dalian, Provinsi Liaoning, timur laut China.
Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, bateri dron telah menyaksikan peningkatan prestasi yang konsisten.
Di ruang udara di kaunti Changhai di Dalian, sebuah dron yang dilengkapi dengan bateri berketumpatan tenaga tinggi dan julat suhu yang luas telah menyelesaikan penerbangan ujian selama tiga jam.
Bateri litium ini mencapai ketumpatan tenaga sehingga 400 watt-jam untuk setiap kilogram, sekali gus meningkatkan ketahanan dron sebanyak 20 hingga 40 peratus. Ketumpatan tenaga modul bateri pula ialah 340 watt-jam sekilogram, membolehkan operasi yang stabil merentasi julat suhu -40 darjah Celsius hingga 60 darjah Celsius.
Secara tidak langsung, kesemua unsur itu menyediakan kuasa yang boleh dipercayai untuk dron yang digunakan di kawasan sejuk, penyelamatan kecemasan, dan misi rondaan dan pemantauan.
Pada masa sama, ‘otak’ dron juga telah menjalani peningkatan berterusan, yang dilihat menjadi semakin pintar.
“Dron kami membuat keputusan berdasarkan AI. Pengguna hanya perlu menentukan kawasan umum, dan dron akan merancang laluan penerbangannya secara autonomi,” kata Gao Fei, pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Syarikat Differential Robotics Technology.
Sejumlah besar dron telah berkembang daripada pelaksana pasif kepada pembuat keputusan autonomi, yang kini bukan sahaja mampu merancang laluan penerbangan, tetapi juga melaksanakan penghindaran halangan yang tepat dan menyelesaikan pelbagai tugas yang kompleks.
Dengan kemajuan dalam bahan, penderia, bateri dan perisian baharu, dron telah digunakan merentasi pelbagai industri.
Sebagai contoh, kaedah manual tradisional pengesanan periuk api bukan sahaja tidak cekap tetapi juga sangat berbahaya. Justeru, kemunculan dron telah membawa perubahan transformatif kepada persekitaran kerja ini.
Di kawasan lombong terbiar iaitu zon bebas isyarat dengan struktur yang kompleks dan berbahaya, dron yang dilengkapi dengan algoritma pintar boleh menavigasi terowong secara autonomi, menjana model 3D berketepatan tinggi dalam masa nyata dan menghantar pelbagai set data pengesanan.
Lebih menarik, dron juga telah menjadi ‘kurier penghantaran’.
Menurut Pentadbiran Pos Perbandaran Shenzhen, Provinsi Guangdong di selatan China, bandar itu kini mengendalikan purata 20,000 bungkusan penghantaran dron setiap hari.
“Ini bukan sahaja menunjukkan kematangan teknologi dron, tetapi juga membuktikan daya maju model perniagaannya, menyediakan pengalaman yang boleh dicontohi untuk membangunkan ekonomi altitud rendah di seluruh negara,” kata Wang Qiwen, timbalan pengarah Jawatankuasa Profesional Ekonomi Altitud Rendah Persatuan Zon Pembangunan China.
Di tapak bencana, dron Wing Loong China telah memainkan peranan penting dalam operasi bantuan.
“Melangkah ke hadapan, kami akan mengintegrasikan 5G, internet perindustrian, AI, data raya dan teknologi baru muncul yang lain untuk mempromosikan aplikasi dron yang cekap dalam ekspedisi saintifik, tinjauan dan pemetaan, logistik dan bidang lain,” kata Li Yidong, ketua pereka dron Wing Loong.
Dalam tempoh FYP ke-14, skala industri dron China terus berkembang, sambil memperdalam integrasi ke dalam pelancongan, pertanian, pengangkutan dan sektor lain. Industri tersebut telah menjadi pemacu utama ekonomi altitud rendah China.
- Pekan di Fujian Bangunkan Industri Dron yang Sedang Berkembang
- Inovasi Penerbangan China ‘Diterbangkan’ di Air Show Paris
- Elektrik Terputus di Yunnan Akibat Banjir, Dron Permudah Usaha Pemulihan
- Wuhan Lancarkan Pengoperasian Laluan Dron Baharu
- Dron Kargo China buat Penerbangan Sulung
- Sekilas Aksi 6G di Nanjing
- Dron Permudah Kerja Menuai Teh di Xizang
- Dron Hantar Makanan Hangat Buat Warga Emas di Kawasan Pergunungan Zhejiang
- Lebih 1,800 Jenis Produk Dron Awam Didaftar di China
- Skala Pengaplikasian Dron di China Terus Diperluas




