Wang Yi dan Bonne Adakan Perbualan Telefon

(CRI)Jumaat 28 November 2025

Ahli Biro Politik Jawatankuasa Pusat Parti Komunis China (PKC), yang juga Pengarah Pejabat Suruhanjaya Hal Ehwal Luar PKC, Wang Yi mengadakan perbualan telefon dengan Penasihat Hal Ehwal Luar Presiden Perancis, Emmanuel Bonne pada Khamis.

Dalam perbualan telefon tersebut, Wang menyatakan bahawa China dan Perancis harus memperdalam kerjasama saling menguntungkan dalam semua bidang dan membawa perkongsian strategik komprehensif kedua-dua negara ke tahap baharu.

Beliau juga berharap Perancis dapat mendorong EU untuk mengamalkan dasar positif dan rasional terhadap China, menyelesaikan perbezaan perdagangan melalui dialog dan memastikan hubungan EU-China berkembang secara sihat.

Berhubung soal Taiwan, Wang menjelaskan pendirian tegas China dan mengkritik kenyataan provokatif pemimpin Jepun yang dianggap mencabuli kedaulatan dan keutuhan wilayah China.

Mengulas lanjut, beliau berkata China dan Perancis selaku anggota tetap Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) perlu bersama-sama memelihara hasil kemenangan Perang Dunia Kedua, serta teguh menyokong satu sama lain dalam isu melibatkan kepentingan teras masing-masing.

Sementara itu Bonne menyatakan bahawa Perancis kekal dengan dasar Satu China, menghormati kedudukan sah China dalam soal Taiwan dan berharap dapat meningkatkan kepercayaan antara satu sama lain serta bekerjasama dalam menangani cabaran global.

Bonne menambah, perkembangan hubungan Eropah-China dengan baik amat penting, justeru Perancis bersedia memainkan peranan positif dalam dialog dan kerjasama EU-China berdasarkan hubungan baik Perancis-China.

Kedua-dua pihak turut bertukar-tukar pendapat mengenai krisis Ukraine.

Video

Berita Berkaitan