AS Diharap Menilai Pelaksanaan Perjanjian China-AS Fasa Satu Secara Objektif dan Rasional

(CRI)Khamis 26 Februari 2026

Jurucakap Kementerian Perdagangan China pada Rabu memaklumkan bahawa China berharap Amerika Syarikat (AS) dapat menilai perlaksanaan perjanjian perdagangan China-AS fasa satu secara objektif dan rasional.

Pada masa sama, AS juga diharap tidak melepaskan tanggungjawab, mahupun mencetuskan masalah atau memburukkan keadaan.

Namun katanya, jika AS masih berkeras untuk meneruskan siasatan berkaitan termasuk mengenakan sekatan atau langkah-langkah lain, China akan mengambil semua langkah yang perlu untuk mempertahankan hak dan kepentingan sahnya dengan tegas.

Untuk rekod, baru-baru ini Wakil Perdagangan AS, Jamieson Greer menyatakan bahawa pihaknya akan meneruskan siasatan Seksyen 301 terhadap pelaksanaan Perjanjian Perdagangan China-AS Fasa Satu dan mungkin mengambil langkah tarif.

Mengulas mengenai isu tersebut, jurucakap Kementerian Perdagangan China berkata, sejak tahun lalu, China dan AS telah mengadakan lima pusingan rundingan perdagangan dan mencapai siri hasil penting.

Dalam proses tersebut, kedua-dua pihak juga telah mengadakan pelbagai komunikasi mengenai Perjanjian Perdagangan China-AS Fasa Satu.

Katanya China bersedia bekerjasama dengan AS dan menggunakan mekanisme rundingan perdagangan China-AS dengan baik, secara aktif mencari titik persamaan kedua-dua pihak dan bersama-sama "memandang ke hadapan."

Video

Berita Berkaitan