Mesyuarat Jawatankuasa Pemandu Kerjasama Dua Hala China-Vietnam Ke-17 Diadakan di Hanoi

(CRI)Rabu 18 Mac 2026

Mesyuarat Jawatankuasa Pemandu Kerjasama Dua Hala China-Vietnam ke-17 telah diadakan di Hanoi semalam, dengan dipengerusikan bersama oleh Menteri Luar China Wang Yi dan Naib Perdana Menteri Vietnam, Bui Thanh Son.

Wang Yi yang juga merupakan Ahli Biro Politik Jawatankuasa Pusat Parti Komunis China menyatakan bahawa Jawatankuasa Pemandu Kerjasama Dua Hala China-Vietnam mempunyai tradisi yang baik. Kedua-dua pihak perlu terus memupuk rasa percaya antara negara dari segi strategik, mengekalkan perhubungan dan pertukaran di peringkat tinggi, saling menyokong dalam menjaga kepentingan teras masing-masing, dan melaksanakan hasil yang dicapai dalam mesyuarat peringkat menteri "3+3" dengan baik.

"Selain itu, perlunya mengeratkan kerjasama dalam bidang memerangi keganasan, membanteras gejala penipuan dalam talian dan mengukuhkan pertahanan negara, terus memperluas kerjasama dalam bidang yang substantif, merancakkan pertukaran sosiobudaya, berhemah ketika menangani perselisihan, memajukan kerjasama maritim dan berusaha untuk mencapai "Kod Tatalaku di Laut China Selatan" (COC) dengan secepat mungkin," ujar Wang.

"Pada masa yang sama, kedua-dua pihak juga perlu memperdalam kerjasama pelbagai hala, bersama-sama melindungi status Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), melaksanakan empat Inisiatif Global, menjayakan penganjuran persidangan Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (APEC) pada tahun ini dan tahun hadapan, di samping mendorong pembentukan sistem tadbir urus global yang lebih adil dan saksama," tambah beliau.

Sementara itu, kedua-dua pihak bersetuju untuk terus memanfaatkan mekanisme Jawatankuasa Pemandu Kerjasama Dua Hala China-Vietnam yang berperanan sebagai penyelaras, dan mencapai lonjakan baharu dalam pembinaan Komuniti Berkongsi Nasib China-Vietnam yang membawa makna strategik.

Turut hadir secara fizikal atau dalam talian, pemimpin dari pelbagai kementerian, suruhanjaya serta peringkat daerah kedua-dua negara.

Video

Berita Berkaitan