Jurucakap MFA Komen Kenyataan Menteri Luar Jepun Membabitkan “Keputusan Kes Timbang Tara Laut China Selatan 2016”

(CRI)Ahad 12 Julai 2026

Pada 12 Julai, Menteri Luar Jepun Toshimitsu Motegi mengeluarkan kenyataan sepuluh tahun selepas “keputusan kes timbang tara Laut China Selatan 2016”.

Jurucakap Kementerian Luar China (MFA) berkata, kenyataan Motegi secara terang-terangan menyokong “keputusan” haram tersebut, membidas tuntutan sah China, dan mendakwa Jepun sebagai “pihak berkepentingan” di Laut China Selatan. China mengutuk dan membantah sekeras-kerasnya kenyataan tersebut.

Jurucakap itu berkata, Jepun bukan pihak berkepentingan di Laut China Selatan, dan tidak layak untuk membuat anggapan terhadap keutuhan wilayah serta hak dan kepentingan maritim China di Laut China Selatan.

“Semasa Perang Dunia II, Jepun melakukan jenayah yang membawa kesengsaraan teruk kepada negara dan rakyat China, termasuk menduduki pulau-pulau dan terumbu di Laut China Selatan secara haram.

“Beberapa dekad sudah berlalu, namun Jepun ingin sekali lagi mencampuri urusan Laut China Selatan. Ini hanya akan mengingatkan rakyat di seluruh dunia tentang sejarah pencerobohan dan peluasan Jepun, serta membangkitkan kewaspadaan orang ramai terhadap agenda neo-militarisme Jepun,” kata jurucakap itu.

Beliau menambah, kedaulatan China ke atas Nanhai Zhudao serta hak dan kepentingan berkaitan di Laut China Selatan diwujudkan dalam pengembangan sejarah lama, dan mempunyai asas sejarah dan undang-undang yang kukuh.

“China melakukan kegiatan di Laut China Selatan adalah sah, dan tidak boleh dipertikaikan. Sedangkan hak dan kepentingan China di Laut China Selatan tidak boleh ditolak oleh apa yang disebut ‘tribunal timbang tara’ sementara. ‘Keputusan’ berkenaan adalah haram dan tidak mempunyai kuasa mengikat di sisi undang-undang. Apatah lagi ‘keputusan’ itu mencabuli maruah dan kewibawaan Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Mengenai Undang-undang Laut, dan bercanggahan dengan undang-undang antarabangsa.

“China tidak menerima, dan tidak mengakui ‘keputusan’ terbabit, selain tidak menerima apa jua tuntutan atau langkah berkaitan ‘keputusan’ itu,” ujar jurucakap Kementerian Luar China.

Beliau menambah bahawa China menasihatkan Jepun supaya berhenti mencemarkan nama China, berhenti mencetuskan pertikaian di Laut China Selatan, dan berhenti melakukan kegiatan menjejaskan keamanan dan kestabilan di rantau ini.

“China akan dengan tegas mempertahankan keutuhan wilayah serta hak dan kepentingan maritim di Laut China Selatan. Apa jua niat untuk mencabar kepentingan sah China atau menjejaskan keamanan dan kestabilan di Laut China Selatan pasti akan menemui kegagalan,” ujar beliau.

Video

Berita Berkaitan