Nilai Sebenar dalam "Laporan Tiga Suku" Ekonomi China

(CRI)Selasa 20 Oktober 2026

Laporan tiga suku ekonomi China yang dikeluarkan pada Isnin menunjukkan, Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) bagi tiga suku pertama 2026 mencapai RMB107.107 trilion (RM65.5 trilion), iaitu meningkat 4.6 peratus tahun ke tahun.

Di sebalik ketidaktentuan ekonomi global dan persekitaran antarabangsa yang semakin kompleks sejak tahun ini, ekonomi China terus menunjukkan daya tahan dengan pertumbuhan yang stabil, dipacu oleh sumber pertumbuhan baharu serta penambahbaikan struktur ekonomi.

Prestasi itu turut meyediakan asas kukuh bagi mencapai sasaran pembangunan ekonomi tahunan, sekali gus menyokong pelaksanaan tahun pertama "Rancangan Lima Tahun ke-15" (2026–2030).

Jika diperhatikan dengan teliti, laporan terbabit menunjukkan empat kelebihan utama ekonomi China, iaitu operasi yang stabil, tenaga penggerak yang baharu, struktur yang lebih baik, dan kualiti serta keberkesanan yang meningkat.

Dalam tempoh berkenaan, nilai tambah industri berskala besar meningkat 5.3 peratus tahun ke tahun, jumlah jualan runcit barang dan perkhidmatan sosial meningkat 2.6 peratus tahun ke tahun, dan indeks harga pengguna meningkat 0.9 peratus tahun ke tahun.

Prestasi positif kebanyakan petunjuk ekonomi itu mencerminkan daya tahan dan daya saing ekonomi China, sekali gus mengukuhkan kedudukannya sebagai antara pemacu utama pertumbuhan ekonomi global.

Operasi ekonomi yang stabil juga membuat pelabur asing merasa lebih 'yakin' dengan prospek pembangunan.

Selain itu, permintaan domestik turut memainkan peranan penting sepanjang tiga suku pertama, apabila menyumbang lebih 70 peratus kepada pertumbuhan ekonomi China, termasuk hampir 50 peratus yang disumbangkan oleh perbelanjaan penggunaan akhir.

Pada masa yang sama, trend peningkatan kualiti dan keberkesanan ekonomi China semakin kukuh, terutamanya perdagangan luar yang menunjukkan daya tahan kukuh dan dinamik.

Ini dapat dilihat apabila China menjadi rakan dagang utama bagi 169 negara dan wilayah, dengan jumlah import dan eksport barang pada tiga suku pertama meningkat 18.8 peratus tahun ke tahun.

Sementara itu, kadar pertumbuhan import kekal melebihi 20 peratus bagi setiap suku tahun, sekali gus, membuktikan China bukan sahaja "penjual super" tetapi juga "pembeli super" di persada dunia.

Video

Berita Berkaitan