China Gesa Reformasi Majlis Keselamatan PBB Perlu Ubah, Perkukuh Perwakilan Negara Membangun

(CRI)Jumaat 23 Oktober 2026

Wakil Tetap China ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Fu Cong menegaskan bahawa matlamat utama reformasi Majlis Keselamatan PBB (UNSC) adalah untuk menangani ketidakseimbangan perwakilan yang kini memihak secara berlebihan kepada negara maju.

Beliau menegaskan perkara berkenaan semasa berucap pada sesi pleno Perhimpunan Agung PBB yang membincangkan isu reformasi Majlis Keselamatan pada Khamis.

Menurut Fu, perkembangan semasa global kini berdepan dengan ketidaktentuan dan perubahan luar jangka, dengan konflik geopolitik yang berlarutan serta semakin meruncing, di samping pelbagai krisis dan cabaran baharu yang muncul.

Beliau berkata negara anggota secara umumnya mengharapkan PBB memainkan peranan yang lebih besar khususnya dalam memastikan Majlis Keselamatan melaksanakan tanggungjawab utamanya dalam mengekalkan keamanan dan keselamatan antarabangsa.

Sehubungan itu, China menyokong Majlis Keselamatan meningkatkan autoriti dan kecekapannya menerusi reformasi yang perlu dan munasabah, bagi membolehkan badan berkenaan menangani krisis serta cabaran dengan lebih berkesan, selain menunaikan tanggungjawab yang termaktub seperti yang terkandung dalam Piagam PBB.

Fu turut menggariskan tiga perkara utama yang perlu diberikan perhatian dalam pelaksanaan reformasi berkenaan.

Refomasi yang dicadangkan ialah memberi tumpuan kepada peningkatan perwakilan dan hak bersuara negara membangun, menghormati konsensus negara anggota menerusi pendekatan penyelesaian secara menyeluruh, serta mengekalkan rundingan antara kerajaan sebagai saluran utama dalam proses reformasi berkenaan.

Video

Berita Berkaitan