- Lain-lain
BIBF 2025: Malaysia Mahu Manfaatkan Status Negara Tetamu Kehormat, Adakan Lebih Banyak Kerjasama Global
Oleh: Ahmad Syukri Azmi
Wong Kah Woh, Timbalan Menteri Pendidikan Malaysia (kiri) bercakap kepada pemberita selepas merasmikan Pavilion Malaysia di BIBF 2025 di Beijing, ibu negara China pada Rabu. (People’s Daily Online/ Yang Chunyan)
BEIJING, 19 Jun – Malaysia menghargai kepercayaan yang diberikan Pesta Buku Antarabangsa Beijing (BIBF) 2025 untuk menjadi Negara Tetamu Kehormat pesta itu untuk edisi kali ini, ujar Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh.
Ketika mengulas soalan People’s Daily Online selepas melancarkan Pavilion Malaysia yang bertemakan ‘READ, LEAD’ di BIBF pada Rabu, beliau yang juga merangkap ketua delegasi berkata bahawa dalam tempoh sedekad yang lalu, jumlah pemain industri yang dibawa oleh Malaysia ke pesta buku itu turut bertambah saban tahun.
“Kita berharap agar dengan peluang yang diberi pada tahun ini, kita boleh membuat lebih banyak kerjasama dengan pelbagai pihak dari serata dunia,” ujar Wong.
Beliau turut menzahirkan penghargaan buat Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM) dan pihak dari China iaitu Syarikat Global Tone Communication Technology (GTCOM) atas inisiatif untuk mewujudkan kerjasama bagi memajukan pembangunan enjin penterjemahan dikuasakan kecerdasan buatan (AI) bertaraf kebangsaan.
“Kolaborasi ini bukan sahaja menjadi pendorong buat pertumbuhan teknologi AI di Malaysia, tetapi turut menjadi pemangkin utama dalam melindungi warisan kebudayaan dan linguistik negara,” ujar Wong, sambil menyatakan usaha itu adalah sejajar dengan aspirasi kerajaan Malaysia untuk menambah baik taraf persaingan di pentas global.
Beliau juga turut menyuarakan keyakinan terhadap kredibiliti dan keupayaan ITBM sebagai agensi penterjemahan kebangsaan di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia, bersama-sama dengan GTCOM akan membuahkan impak positif kepada komuniti penterjemah dan intelektual negara.
Wong Kah Woh, Timbalan Menteri Pendidikan Malaysia dalam ucapan perasmian Pavilion Malaysia di BIBF 2025 di Beijing, ibu negara China pada Rabu. (People’s Daily Online/ Yang Chunyan)
“Inisiatif ini sudah pasti akan memudahkan komunikasi berbilang bahasa, sekali gus menyokong dasar pendidikan inklusif dan pembangunan asas modal insan berkemahiran tinggi, khususnya dalam bidang bahasa dan terjemahan.
“Kementerian Pendidikan akan diteruskan untuk menyokong usaha tersebut, yang sudah pasti akan memberi sumbangan besar kepada kemajuan teknologi dan pendidikan negara,” kata Wong lagi.
Sementara itu, Duta Besar Malaysia ke China, Datuk Norman Muhamad dalam ucaptamanya semasa acara pelancaran Pavilion Malaysia di BIBF berkata bahawa Malaysia – menerusi MATRADE, akan bekerjasama dengan Majlis Buku Kebangsaan Malaysia, Perbadanan Kota Buku dan pemain industri untuk menerokai peluang baharu, khususnya dalam penerbitan digital, iaitu salah satu bidang pesat berkembang dalam industri penerbitan di China.
Duta Besar Malaysia ke China, Datuk Norman Muhamad ketika menyampaikan ucaptama perasmian Pavilion Malaysia di BIBF 2025 di Beijing, ibu negara China pada Rabu. (People’s Daily Online/ Yang Chunyan)
“Ia termasuk memanfaatkan platform e-dagang, pendidikan dan runcit tradisional di China. Justeru, menerusi Pejabat Pendidikan Malaysia di Beijing, Kedutaan Besar Malaysia bersedia untuk terlibat secara lebih aktif dalam pesta buku yang berprestij ini, sekali gus mempamerkan komitmen untuk mengembang dan memperluas lingkungan pemasaran dan penerbitan kami di China,” ucap beliau.
Orang awam melawat Pavilion Malaysia di BIBF 2025 di Beijing, ibu negara China pada Rabu. (People’s Daily Online/ Yang Chunyan)
Presiden Persatuan Penerbit China, Wu Shulin dalam ucapannya pula menyifatkan penyertaan kerajaan Malaysia serta penganjuran pelbagai aktiviti seperti rundingan hak cipta, sesi wacana dan pameran kebudayaan kepada tetamu China sebagai bukan sekadar memeriahkan BIBF, bahkan turut mewarnai usaha bersama ke arah membentuk Komuniti Berkongsi Nasib China-Malaysia bertaraf tinggi dengan warna budaya yang indah.
“Saya percaya bahawa penyertaan Malaysia sebagai Negara Tetamu Kehormat akan menjadi satu lagi mercu tanda dalam sejarah pertukaran budaya dan penerbitan antara China dan Malaysia, membuka ruang kerjasama baharu serta menyumbang kepada hubungan persahabatan antara kedua-dua negara,” kata beliau.
BIBF edisi yang ke-31 tersebut membuka tirainya pada Rabu, dan dijadual berlangsung sehingga 22 Jun di Pusat Konvensyen Kebangsaan China di Beijing, dengan menampilkan lebih 1,700 pempamer dari 80 negara dan wilayah, mempamerkan sejumlah 220,000 buku China dan asing yang berkualiti tinggi.
Pengunjung tempatan melawat buku yang dipamerkan di Pavilion Malaysia di BIBF 2025 di Beijing, ibu negara China pada Rabu. (People’s Daily Online/ Yang Chunyan)
- Duta Besar Mahu Perluas Festival Gastronomi Malaysia ke Luar Beijing
- Program Tahun Melawat Malaysia 2026 Dilancarkan di Beijing
- Bahasa Melayu Bermekaran di China, DBP Sasar Kolaborasi Strategik
- Majlis Perasmian Dan Makan Malam Seminar Antarabangsa Terjemahan, Bahasa Dan Budaya Melayu-China Kelima Diadakan
- PM Li Qiang Bakal Lawat Indonesia dan Hadir Sidang Kemuncak ASEAN-China-GCC
- Aroma Durian ‘Pikat’ Pengunjung Rasa Malaysia 2025
- Pelajar Malaysia Hadiri Bengkel di Mongolia Dalam
- Penghantaran Hari Sama Durian Cerminan Kerjasama Segenap Bidang China-Malaysia
- Kapal Korek China Bantu Pengembangan Pelabuhan Klang
- Bekas Duta Besar: Malaysia, China Bina Masa Depan yang Berkongsi untuk Kemakmuran