Lishui Dilimpahi Manfaat Ekonomi dan Ekologi, Hasil Pemulihan Tanah Lembap

(Akhbar Renmin Ribao Dalam Talian)Rabu 10 September 2025

Kunang-kunang di Taman Tanah Lembap Kebangsaan Jiulong di bandar Lishui, Provinsi Zhejiang di timur China. (Foto oleh Zheng Yeqing)

Kunang-kunang di Taman Tanah Lembap Kebangsaan Jiulong di bandar Lishui, Provinsi Zhejiang di timur China. (Foto oleh Zheng Yeqing)

Taman Tanah Lembap Kebangsaan Jiulong di Lishui, Provinsi Zhejiang, timur China, merupakan tanah lembap sungai yang paling tipikal dan terbesar di provinsi itu. Terletak di Lembangan Sungai Oujiang, taman itu menampilkan hutan paya selain menjadi habitat kepada kunang-kunang yang jarang ditemui di China.

Pada tahun-tahun mutakhir ini, Lishui melancarkan projek pemulihan ekologi untuk menambah baik taman tanah lembap. Usaha pemulihan tersebut menekankan penglibatan manusia yang minimum, sambil memaksimumkan perlindungan alam sekitar. Antara usaha yang dilakukan adalah memulihkan tanah lembap, menanam semula tumbuh-tumbuhan tempatan, menambah bekalan air dan mengembalikan habitat haiwan.

Deretan bangunan kediaman di Sungai Oujiang menawarkan kepada penduduk pemandangan tanah lembap di pesisir yang bertentangan.

Bekas zon perindustrian yang dihiasi dengan tanur bata dan cerobong asap yang tinggi telah diubah menjadi destinasi fotografi yang popular. Penduduk kampung pula telah melakukan transformasi pada rumah masing-masing, dengan menjadikan ia sebagai kemudahan agripelancongan serta inap-sarapan (B&B), manakala lapangan terbang baharu yang dibuka pada Julai dilihat telah menambah baik akses tempatan.

Sebelum kerja-kerja pemulihan ekologi bermula, kawasan tersebut mempunyai gambaran yang sangat berbeza. Menurut penduduk tempatan, kawasan itu dahulunya sesak dengan kuari pasir dan ladang, yang menyaksikan tumbuh-tumbuhan termusnah, sampah bertimbun dan bau busuk yang berlegar di ruang udara.

Seekor itik merganser China, iaitu spesies burung yang jarang didapati, dilihat sedang berenang di Taman Tanah Lembap Kebangsaan Jiulong di bandar Lishui, Provinsi Zhejiang di timur China. (Foto oleh He Weidong)

Seekor itik merganser China, iaitu spesies burung yang jarang didapati, dilihat sedang berenang di Taman Tanah Lembap Kebangsaan Jiulong di bandar Lishui, Provinsi Zhejiang di timur China. (Foto oleh He Weidong)

Banjir yang bermusim turut menyumbang lagi kepada masalah tersebut. Wang Liang, pengarah pusat pendaftaran hartanah di Biro Perancangan dan Sumber Semula Jadi cawangan Lishui berkata bahawa tanah lembap Jiulong akan melalui banjir dari Jun ke September yang kerap merosakkan infrastruktur dan jalan raya.

“Menerusi pengajian yang sistematik, kami melaksanakan pelbagai langkah untuk menambah baik tebatan banjir, sekali gus mengurangkan risiko buat kedua-dua infrastruktur dan habitat,” kata Wang.

Cheng Hua, timbalan pengarah bahagian pemulihan ekologi di Jabatan Sumber Semula Jadi Provinsi Zhejiang menyifatkan sistem air yang sihat sebagai penting kepada biodiversiti tanah lembap.

“Dengan mengalihkan air dari Sungai Oujiang, kami telah menghubungkan semula sistem air tanah lembap, yang menambah baik aliran dan penulenan kendiri,” katanya.

Difahamkan, usaha pemulihan telah meliputi tanah paya seluas 3,450 mu (230 hektar) dan membersihkan 17 sistem air yang tersumbat, sekali gus menyelesaikan masalah seperti kualiti air yang teruk, kembangan alga dan daya tahan ekologi yang lemah.

Susulan usaha-usaha yang telah dilaksanakan itu, tanah paya Jiulong telah merekodkan 14 spesies burung baharu termasuk itik merganser China, iaitu satu spesies yang jarang didapati di bawah perlindungan negara.

Pemandangan di Taman Tanah Lembap Kebangsaan Jiulong di bandar Lishui, Provinsi Zhejiang, timur China. (Foto oleh Jin Xianguang)

Pemandangan di Taman Tanah Lembap Kebangsaan Jiulong di bandar Lishui, Provinsi Zhejiang, timur China. (Foto oleh Jin Xianguang)

He Weidong, seorang anggota Persatuan Perlindungan Ekologi Burung Lishui menggelarkan tanah lembap itu sebagai syurga. Sejak 2019, beliau telah melawat tempat itu pada setiap minggu untuk mengambil gambar hidupan liar. Pada separuh pertama tahun ini sahaja, beliau berjaya merakamkan beberapa imej spesies burung yang jarang dilihat.

Kedatangan burung-burung tersebut adalah isyarat pemulihan ekologi yang kuat di tanah lembap itu.

Pihak berkuasa tempatan telah mengembangkan pemulihan penanaman, menambah baik habitat untuk memenuhi keperluan spesifik bagi pelbagai spesies dan mencipta koridor ekologi.

Pada setiap Mac dan April, tanah lembap itu akan diterangi dengan ribuan kunang-kunang, menarik pengunjung dari serata wilayah.

“Kunang-kunang sangat sensitif terhadap kelembapan, suhu dan keadaan cahaya. Kami memfokuskan campur tangan yang minimum dan perlindungan yang maksimum bagi menjamin habitat hidupan itu,” ujar Lin Yong, ketua jabatan pembangunan Syarikat Zhejiang Liyong Ekopelancongan.

Jelas beliau, usaha pemulihan telah meliputi hampir 1,000 meter persegi habitat kunang-kunang, dan populasi telah melangkaui 1 juta pada tahun lalu.

Memanfaatkan kewujudan serangga kecil itu, tanah lembap itu telah membangunkan ekopelancongan dan lawatan sambil belajar. Pada tahun-tahun kebelakangan ini, tanah paya itu dan kawasan di sekelilingnya telah menerima hampir 2 juta kunjungan pelancong, yang menjana lebih daripada RMB20 juta (AS$2.8 juta) dalam pendapatan, serta mencipta hampir 1,000 peluang pekerjaan di zon pameran budayanya.

Kampung Jiulong yang terletak ditengah-tengah tanah paya itu kini meriah dengan kehadiran pengunjung. Dengan bertambahnya B&B, fasiliti pelancongan pertanian dan perniagaan yang berkaitan, ia telah menghidupkan semula komuniti yang dahulunya miskin. Dengan mengubah sumber semula jadi kepada kelebihan ekonomi, kampung itu telah mencapai pembangunan mampan sambil melindungi alam sekitar.

Video

Berita Berkaitan