Xizang Alami Ledakan Pelancongan, Didorong Pembangunan Hijau

(Akhbar Renmin Ribao Dalam Talian)Jumaat 29 Ogos 2025
Xizang Alami Ledakan Pelancongan, Didorong Pembangunan Hijau
Pemandangan di Taman Lautan Pertanian Xipu di kaunti Chanang, bandar Shannan, Wilayah Autonomi Xizang, barat daya China. (People’s Daily Online/Tsering Norbu)

Kehadiran orang ramai yang berpusu-pusu di Taman Lautan Pertanian Xipu yang terletak di kaunti Chanang, Wilayah Autonomi Xizang di barat daya China telah menyaksikan tempat itu berubah menjadi destinasi pelancong yang penuh bertenaga.

Di situ, kanak-kanak dengan penuh ria bermain di dalam kolam renang, pengunjung muda menatap Sungai Zangbong Yarlung dari cermin pejalan kaki, manakala warga emas pula rehat berteduh di bawah payung, menikmati detik-detik yang penuh tenang.

Hakikatnya, tidak ramai yang menyangka bahawa destinasi yang meriah ini dahulunya merupakan tanah tandus dan terbiar.

“Sembilan tahun dahulu, apa yang anda boleh lihat di sini adalah pasir kuning yang tidak berpenghujung,” ujar Gan Jianming, pengarah taman tersebut.

Beliau berkata, pihaknya secara konsisten berusaha ke arah model pembangunan hijau yang berfokuskan kepada kawalan penggurunan, penghutanan, pemulihan ekologi, peranan sebagai pendahulu dalam sains dan teknologi, serta menghidupkan semula industri.

“Apa yang dahulunya disifiatkan sebagai tanah tandu telah diubah menjadi pangkalan ekologi yang membawa kemakmuran kepada komuniti tempatan,” kongsi Gan.

Transformasi tersebut mencerminkan strategi pelancongan meluas di Xizang yang menyepadukan keindahan alam semula jadi dan warisan budaya wilayah itu kepada pengalaman pelancongan yang mengasyikkan.

Pada separuh pertama tahun 2025, Xizang menerima lebih 31.28 juta pengunjung antarabangsa dan domestik, iaitu peningkatan sebanyak 11.67 peratus berbanding tahun sebelumnya. Hasil pelancongan melangkaui angka RMB31.55 bilion (AS$4.41 bilion), menokok 10.18 peratus berbanding tempoh sama tahun 2024.

“Percutian musim panas adalah tempoh paling sibuk kami. Tempahan restoran hampir mustahil untuk diberi jaminan. Kanak-kanak khususnya sangat tertarik dengan akuarium baru kami, yang menampilkan banyak spesies yang belum pernah dilihat,” kata Gan.

Pembangunan pelancongan telah memperluaskan peluang untuk menjana pendapatan bagi petani dan penggembala tempatan. Ramai pekerja perkhidmatan di taman dan pemandu pelancong di kawasan pemandangan datang daripada komuniti di sekitar.

Melihat ke hadapan, Gan memberi bayangan terhadap lebih banyak pengembangan.

“Kami perlu menaik taraf fasiliti kami dan mencipta lebih banyak peluang pekerjaan tempatan agar mereka (penduduk) tidak perlu berkelana jauh untuk bekerja.

“Kami juga akan menerokai pendekatan yang inovatif dengan rakan-rakan tempatan untuk menjana pendapatan sambil melindungi persekitaran hijau yang telah kami usahakan dengan susah-payah,” tambahnya lagi.

Pemandangan sebuah restoran di Taman Lautan Pertanian Xipu di kaunti Chanang, bandar Shannan, Wilayah Autonomi Xizang, barat daya China. (People’s Daily Online/Tsering Norbu)

Video

Berita Berkaitan