Bekas Ahli Korporat Temui Kejayaan Dengan Melon Hami di Xinjiang

(Akhbar Renmin Ribao Dalam Talian)Jumaat 12 September 2025
Bekas Ahli Korporat Temui Kejayaan Dengan Melon Hami di Xinjiang
Yan Xiaobing (kiri) mencuba ‘melon Hami Kudou’ dengan seorang petani di sebuah ladang di pekan Santanghu di Kaunti Autonomi Kazak di Barkol, bandar Hami, Wilayah Autonomi Uygur Xinjiang, barat daya China. (People’s Daily Online/Chen Xinhui)

“Saya mahu tanam melon Hami yang rasanya sama dengan seperti saya nikmati ketika waktu kecil, dan ingin membantu menambah pendapatan jiran-jiran sekampung”.

Itulah yang diujarkan oleh Yan Xiaobing, ketua koperasi penanaman Xiaobing yang menjelaskan keputusannya untuk meninggalkan kerjaya di sebuah syarikat asing meskipun berpendapatan baik, hanya untuk menanam melon Hami.

“Ibu bapa saya menanam melon Hami sepanjang hayat mereka. Melon tersebut adalah yang terbaik dalam ingatan saya, tetapi ia sering dijual dengan harga yang murah. Saya mahu kembali, dan menjual pada harga yang sepatutnya,” kata Yan.

Perubahan dalam kerjaya Yan berlaku pada 2016, iaitu apabila beliau pulang ke kampung halamannya di pekan Santanghu di Kaunti Autonomi Kazak di Barkol, bandar Hami, Wilayah Autonomi Uygur Xinjiang, barat daya China, untuk menjadi petani melon Hami.

Mujur, percaturannya menemui kejayaan.

Menggunakan kaedah penanaman melon tradisional yang diwariskan oleh bapanya dan penduduk kampung lain, Yan menanam melon Hami berkualiti tinggi, dan membantu buah yang dahulunya tidak begitu menguntungkan kepada punca pendapatan yang baik buat petani tempatan.

Usaha Yan untuk melahirkan semula rasa yang terngiang-ngiang dalam ingatan sewaktu kecilnya penuh dengan kegagalan.

Pada musim pertamanya, beliau memfokuskan terhadap rasa, membiarkan melon matang sepenuhnya sebelum menuai, iaitu satu keputusan mempunyai cabaran tersendiri.

Hujan lebat selama tiga hari menjejaskan tanaman Yan di tanah ladang berkeluasan lebih daripada 50 mu (sekitar 3.33 hektar), mengakibatkan beliau rugi teruk sehingga ramai penduduk kampung menyangka beliau tidak akan meneruskan lagi penanaman pada tahun berikutnya.

Tidak berputus asa, Yan mengulangi semula dan membuat keputusan untuk menggabungkan kebijaksanaan penanaman tradisional dengan saluran pemasaran moden.

Memanfaatkan kaedah yang diajar oleh bapanya serta perkongsian daripada petani-petani lain, beliau berjaya menghidupkan semula rasa asli melon Hami menerusi pengairan ladang menggunakan air yang dicampurkan dengan Kudouzi, iaitu tanaman perubatan terkenal tempatan, dan membaja dengan baja asli kambing.

Menggunakan tanah ladang milik keluarga berkeluasan 6 mu sebagai plot ujian, Yan menunjukkan bahawa penjualan melon Hami berkualiti tinggi secara dalam talian mampu dilakukan.

Apabila Yan menghasilkan kualiti melon Hami yang diingininya pada 2017, pegawai di kaunti Barkol dan pusat perkhidmatan e-dagang tempatan telah bertemunya untuk menyediakan sumber dan mencipta saluran jualan baharu bagi membantu beliau memasarkan buah tersebut.

‘Melon Hami Kudou’ yang digelar Yan sebagai ‘melon Hami denga rasa kanak-kanak’, akan matang pada penghujung Julai sehingga awal Ogos, sekali memenuhi jurang antara varieti awal dan hujung musim.

Satu model pembangunan yang menampilkan usaha sama oleh pertubuhan Parti Komunis China tempatan, koperasi pertanian Yan, platform e-dagang dan petani tempatan telah membantu mengatasi kekangan logistik yang suatu ketika dahulu membantutkan melon Hami daripada menembusi pasaran lebih luas.

Menurut perkongsian Yan, jualan ‘melon Hami Kudou’ secara dalam talian telah mencapai RMB1.04 juta (sekitar RM615,000) pada 2017, dan meningkat kepada RMB1.96 juta pada 2018, seterusnya menaik dengan stabil pada tahun-tahun berikutnya.

“Pada tahun ini, hasil jualan dijangka melangkaui RMB20 juta,” kata beliau sambil melemparkan senyuman.

Hari ini, koperasi Yan menguruskan lebih daripada 600 mu ‘melon Hami Kudou’, meningkatkan pendapatan petani tempatan sebanyak RMB1 untuk setiap kilogram, dan membantu lebih daripada 100 keluarga ke arah kemakmuran yang dikongsi bersama.

“Lebih manis adalah hakikat yang saya dapat membantu penduduk sekampung untuk meningkatkan pendapatan mereka,” kongsi Yan lagi.

Berkotak-kotak ‘melon Hami Kudou’ dimuatkan ke dalam sebuah trak di pekan Santanghu di Kaunti Autonomi Kazak di Barkol, bandar Hami, Wilayah Autonomi Uygur Xinjiang, barat daya China. (Foto ihsan Hu’axi Azhati)

Video

Berita Berkaitan