- Lain-lain
Daerah Wendeng Transformasi Ginseng Amerika Sebagai Industri RMB10 Bilion
Ginseng Amerika yang berasal dari Amerika Utara dahulunya merupakan import yang mahal dan jarang didapati di China berikutan manfaatnya yang tinggi dalam perubatan. Pada 1980-an, daerah Wendeng di bandar Weihai, Provinsi Shandong, timur China memulakan penanaman percubaan ginseng Amerika.
Selepas melalui proses pembangunan dan penyelidikan selama lebih daripada empat dekad, Wendeng menjadi hab pengeluaran utama ginseng Amerika di China.
Wendeng kini mengeluarkan 8,000 tan ginseng Amerika dan 2,200 tan ginseng kering setiap tahun, iaitu hampir 60 peratus daripada pengeluaran keseluruhan di China dan 30 peratus daripada bekalan global.
Wang Wenshui, pengusaha ginseng di daerah Wendeng, bandar Weihai, Provinsi Shandong di timur China.
Industri ginseng daerah itu telah berkembang, menjadi pasaran bernilai RMB10 bilion (AS$1.4 bilion), sekali gus meletakkan Wendeng sebagai pusat pengeluaran ginseng Amerika yang utama di China.
Kejayaan daerah itu sebahagian besarnya adalah berakar umbi daripada sumbangan Wang Wenshui yang memulakan penanaman ginseng Amerika di pekan Zhangjiachan, Wendeng.
Untuk rekod, lelaki yang berusia 70-an itu memulakan penanaman herba perubatan China tradisional pada 1979 selepas menamatkan perkhidmatan tentera, iaitu dengan bekerja di bawah bimbingan pakar herba veteran, Wang Jizhen.
Pada 1981, kedua-dua individu tersebut menanam 11 benih ginseng Amerika yang diberikan oleh sebuah syarikat. Lapan daripadanya kemudian bertumbuh dengan jayanya, sekali gus menandakan permulaan bagi industri ginseng Wendeng.
Selepas enam tahun fasa percubaan, pakar-pakar telah memberi ‘lampu hijau’ kepada penanaman berskala besar pada Oktober 1987 susulan kejayaan ujian tanah ladang.
Pada 1990-an, Wendeng menjadi kawasan pertama di China yang mempromosi penanaman ginseng Amerika berskala besar, seterusnya memecahkan monopoli syarikat asing dalam pengeluaran.
Dari masa ke masa, Wang Wenshui telah melatih lebih daripada 500 penanam utama dan 3,000 petani dalam teknik penanaman. Hari ini, kawasan penanaman ginseng Amerika di Wendeng berjaya distabilkan dengan keluasan lebih 50,000 mu (atau 3,333 hektar).
Antara faktor lain buat kejayaan Wendeng adalah kelebihan daerah itu sendiri, iaitu keadaan iklim dan geografinya yang ideal, secara tidak langsung menyelaraskan amalan penanaman dan penggunaan teknologi digital.
Menurut Zhou Xiaojiang, setiausaha agung Persatuan Industri Ginseng Amerika pekan Zhangjiachan, satu platform pengawasan pintar di bangunan ginseng Amerika Wendeng telah menjejaki data hampir 10,000 mu ladang ginseng.
Katanya, peranti Internet Kebendaan (IoT) dan penderia telah menghimpunkan data persekitaran untuk memberikan amaran awal perosak dan panduan bagi keputusan pertanian.
Di fasiliti penanaman ginseng di kampung Zhaiyanjia, kamera dan penderia dipasang di lapangan, manakala stesen iklim peranti bumi pula mengawasi ginseng Amerika dari fasa penanaman sehingga menuai.
Para pekerja di sebuah bengkel milik Syarikat Weihai Wendeng Daodi Ginseng Industry Develoment di daerah Wendeng, bandar Weihai, Provinsi Shandong di timur China. (Foo oleh Guo Yancheng)
“Kami pernah bergantung sepenuhnya terhadap pengalaman, tetapi kini kami menggunakan data sebagai panduan dalam racun perosak dan membaja,” kata Li Lin, ketua di pangkalan itu sambil menyifatkan penanaman digital membuatkan seluruh proses boleh dikawal dan cekap.
Bagi menjamin kualiti, Wendeng telah menggalakkan pemiawaian yang ketat. Weihai Wendeng Daodi Ginseng Industry Development, iaitu syarikat milik negara telah menerajui dalam penetapan 23 piawaian, meliputi pembiakan benih, penanaman dan kawalan serangga. Petani yang mengikut piawaian tersebut mendapat RMB2 ke RMB4 untuk setiap kilogram di atas harga pasaran, yang menggalakkan pematuhan terhadap protol kualiti.
Manakala, Syarikat Yiyang Biotechnology Group telah melabur sebanyak RMB8 bilion dalam percubaan peralatan dan meluangkan masa selama dua tahun untuk membangunkan sistem kebolehkesanan kualiti ginseng kini telah digunakan oleh lebih daripada 10 perusahaan tempatan.
Sejak Suruhanjaya Kesihatan Kebangsaan dan Pentadbiran Negara untuk Kawalan Pasaran meluluskan ginseng Amerika sebagai bahan makanan pada November 2023, lebih daripada 30 syarikat ginseng Wendeng berkembang menjadi sembilan kategori produk, menghasilkan lebih daripada 240 varieti produk ginseng yang diproses secara mendalam, merangkumi daripada cecair oral sehingga teh gantian.
Pekerja sedang membungkus produk ginseng Amerika di bengkel milik Syarikat Shandong Yiyang Biotechnology Group di daerah Wendeng, bandar Weihai, Provinsi Shandong, timur China. (Foto oleh Wang Yanbo)
Pada tahun-tahun kebelakangan ini, daerah itu telah melipat-gandakan usaha pemasaran, secara aktif mempromosi jenama ‘ginseng Amerika Wendeng’ tempatan. Wendeng juga menjadi hos bagi pesta tahunan kebudayaan ginseng Amerika buat lapan tahun berturut-turut bagi mempamerkan industri itu.
Malah, produk ginseng Wendeng turut ditampilkan pada pameran perdagangan di Delta Sungai Yangtze dan Kawasan Teluk Besar Guangdong-Hong Kong-Macao pada tahun lalu. Ia telah menduduki dalam kalangan 100 teratas bagi jenama produk pertanian awam China yang paling digemari pengguna.
Wendeng turut merancang untuk menambah baik lagi industri itu pada tahun-tahun mendatang.
“Kami akan memfokuskan terhadap perlindungan dan pembiakan benih, memperdalam penanaman pintar dan piawaian, mengembangkan pembangunan produk, dan menambah baik promosi jenama,” ujar Qiao Xinyue, ketua Parti daerah Wendeng.
Foto memperlihatkan hirisan ginseng Amerika.
- Kilang Ulat Sutera Pintar Hidupkan Semula Serikultur di Kampung Zhongfan
- Saintis China Gunakan AI Dalam Pembenihan Tanaman, Tambah Hasil dan Varieti
- China Kemuka Pelan, Percepat Pembinaan Kekuatan Dalam Pertanian
- Kerjasama Pertanian China-AS Manfaatkan Pengguna, Petani
- Pinggan Mangkuk Meja Mesra Alam Sekitar Diperbuat Daripada Hampas Tebu di Yunnan Terkenal di Luar Negara
- Hab Lemon China Kembangkan Pasaran ASEAN Dengan Eksport Pantas
- Ekosistem Pertanian Berusia 1,300 Tahun Bersinar di Yunnan
- Kemuncak Belian Bijirin Musim Gugur China Tamat
- Buah-buahan Selatan Berkembang Mekar di Utara China Dengan Kemajuan Dalam Teknologi Pertanian
- Ladang Pintar China Hidupkan Elemen Inovasi
- Penyelidik China Ubah Kulat Jadi Aiskrim, Poskad di Ekspo Pertanian
- Monorel Buatan Sendiri Inovasi Logistik Ladang
- Industri Tani Hutan Jiangxi Tambah Maju
- Petani di Maoming Nikmati Musim Tuaian Laici yang Luar Biasa
- Arca Makam Raja Empayar Purba di Tengah-tengah Ladang Gandum di Gongyi Tarik Pengunjung
- China Capai Tahap Mekanisasi Tinggi dalam Sektor Pertanian
- Pohon Cendekiawan Cina Masuki Musim Untuk Dipetik di Guangxi
- Industri Lada Sichuan Berkembang Maju di Yunnan
- Petani di Bozhou Keringkan Cili Merah di Bawah Matahari
- Halaman Sains dan Teknologi Bawa Kepakaran Buat Petani di Beijing