Industri Pembaikan Pesawat Kini Bermula di FTP Hainan

(Akhbar Renmin Ribao Dalam Talian)Rabu 19 November 2025

Jurutera sedang membaiki sebuah pesawat di pangkalan penyelenggaraan pesawat sehenti di Pelabuhan Perdagangan Bebas Hainan di selatan China. (Foto oleh Zhang Mao)

Jurutera sedang membaiki sebuah pesawat di pangkalan penyelenggaraan pesawat sehenti di Pelabuhan Perdagangan Bebas Hainan di selatan China. (Foto oleh Zhang Mao)

Di sebuah pangkalan penyelenggaraan pesawat sehenti di Pelabuhan Perdagangan Bebas (FTP) Hainan di selatan China, terlihatnya pemandangan barisan pesawat yang sedang menunggu giliran untuk diperiksa dan dibaiki, seiring dengan operasi penyelenggaraan rentas sempadan dilaksanakan dengan cekap.

“Yang ini adalah dari Jordan, dan dua di sana itu adalah dari Vietnam. Jadual penyelenggaraan kami telah ditempah sehingga penghujung 2026,” ujar Gu Zhilin, pengarah di pangkalan penyelenggaraan tersebut, yang dimiliki oleh anak syarikat HNA Technic iaitu Grand China Aviation Maintenance.

Sejak bermulanya operasi, pangkalan tersebut telah menyelesaikan pembaikan sebanyak lebih daripada 2,400 pesawat, memberikan perkhidmatan buat hampir 50 syarikat penerbangan domestik dan asing.

Pelan Keseluruhan untuk Pembinaan FTP Hainan menyeru usaha untuk membangunkan hab perkapalan dan penerbangan antarabangsa di sepanjang Koridor Darat-Laut Barat Baharu. Sebagai salah satu projek utama dalam pembinaan pelabuhan perdagangan bebas, pangkalan penyelenggaraan pesawat sehenti secara rasminya mula beroperasi pada tahun 2022.

“Susulan daripada dasar pembukaan FTP Hainan, pangkalan penyelenggaraan sehenti akhirnya dibina.

“Pada mulanya, beberapa syarikat penerbangan asing ragu-ragu. Mereka tertanya-tanya sama ada Hainan mempunyai keupayaan untuk mengendalikan penyelenggaraan pesawat yang besar,” imbas Gu.

Untuk menarik lebih banyak pelanggan, pasukannya secara aktif mempromosikan perkhidmatan mereka di pasaran global. Pada Oktober 2022, mereka memperoleh pesanan antarabangsa pertama mereka, iaitu untuk membaiki Airbus A320 daripada syarikat penerbangan asing.

“Seluruh pasukan bekerja dengan fokus yang maksimum, memeriksa semula tork setiap skru dan penyambungan setiap wayar,” kata Gu.

Pernah satu ketika apabila alat ganti utama diperlukan dengan kadar segera. Berikutan keberadaan alat tersebut di luar negara, ia sekurang-kurangnya memerlukan dua minggu untuk diperoleh.

“Dengan adanya dasar terikat FTP Hainan, kami mempunyai rizab bahan pesawat yang mencukupi, memastikan kemajuan yang lancar sepanjang proses penyelenggaraan,” katanya, sambil memaklumkan kecekapan tersebut telah menyaksikan pelanggan menzahirkan kekaguman masing-masing.

Mengulas mengenai kekuatan sokongan dasar untuk perniagaan dalam FTP Hainan, Gu memperincikan faedah penting termasuk kos operasi yang lebih rendah. Misalnya, syarikat yang menjalankan projek pembaikan pesawat masuk tidak lagi perlu membayar deposit, membebaskan aliran tunai yang besar, sekali gus menyaksikan perbelanjaan penyelenggaraan keseluruhan berkurangan sebanyak 10 hingga 15 peratus.

Kecekapan juga telah meningkat dengan ketara. Dengan ‘pasar raya bahan aeroangkasa’ yang terikat, semua alat ganti yang diperlukan tersedia dengan bebas cukai dan boleh diakses dengan segera. Ia secara tidak langsung memendekkan masa pemulihan penyelenggaraan dengan ketara.

Pihak berkuasa kastam telah melaksanakan model perkhidmatan bebas cukai baharu khusus untuk pembaikan pesawat, mewujudkan saluran hijau untuk pesawat dan alat ganti. Langkah-langkah ini memastikan pelepasan kastam yang lebih pantas dan lancar untuk setiap projek penyelenggaraan masuk.

Kesemua inovasi keinstitusian telah mengubah pelanggan yang pertama kali menjadi pelanggan tetap.

VietJet Air dari Vietnam yang pada dahulunya hanya mahu mencuba kini telah menghantar hampir 20 pesawat, sementara Qatar Airways pula menandatangani kontrak mengecat selama tiga tahun yang bernilai hampir RMB100 juta.

Bersebelahan dengan pangkalan tersebut adalah Syarikat Haikou Engine Service yang turut sama keadaan sibuknya.

Jurutera sedang membaiki aero-enjin di sebuah bengkel milik Syarikat Haikou Engine Service di Provinsi Hainan, selatan China. (Foto oleh Su Bikun)

Jurutera sedang membaiki aero-enjin di sebuah bengkel milik Syarikat Haikou Engine Service di Provinsi Hainan, selatan China. (Foto oleh Su Bikun)

Tidak lama dahulu, syarikat tersebut dengan jayanya mencuba tempat ujian enjin kelas tujah 150,000 paun terbesar di China, berkeupayaan menyelenggara jenis-jenis enjin utama di serata dunia, sekali gus menandakan lonjakan besar terhadap keupayaan membaik pulih enjin.

“Kami sedang berusaha untuk merapatkan jurang dalam rantaian industri,” ujar presiden syarikat itu, Wu Dongyang, sambil menjelaskan bahawa semangat itu mendorong dasar ‘sifar tarif untuk peralatan pengeluaran kegunaan sendiri’ berjaya dilaksanakan.

“Sejak dasar itu berkuatkuasa pada 2021, kami telah menjimatkan sekitar RMB100 juta dalam tarif terhadap peralatan yang diimport, membolehkan kami mengalihkan fokus kepada sumber penting lain,” ujar Wu.

Menurut kastam Haikou, untuk 10 bulan pertama tahun ini, nilai perdagangan penyelenggaraan terikat di Zon Terikat Komprehensif Lapangan Terbang Haikou telah mencecah RMB47.86 bilion, iaitu peningkatan dari tahun ke tahun sebanyak 71.8 peratus.

Daripada import sifar tarif barangan membaik pulih dan peralatan pengeluaran kepada pengimportan sifar tarif untuk keseluruhan pesawat, satu rantaian industri penerbangan penuh yang meliputi komponen, peralatan dan pesawat yang lengkap telah beroperasi dengan stabil di Hainan.

Pada Disember 18 tahun ini, FTP Hainan secara rasminya melancarkan operasi kastam bebas di serata pulau itu. Dengan pertukaran antarabangsa menjadi lebih kerap, langit di Hainan tampaknya akan menjadi lebih sibuk berbanding sebelumnya.

Anggota petugas di pangkalan penyelenggaraan pesawat sehenti di Pelabuhan Perdagangan Bebas Hainan di selatan China, sedang menjalankan penyelenggaraan khusus pada Airbus A320 yang dioperasikan oleh Royal Air Philippines pada 29 Oktober 2022. Ia merupakan projek penyelenggaraan pesawat luar negara pertama yang dilakukan sejak pangkalan itu memulakan operasinya. (Foto oleh Su Bikun)

Anggota petugas di pangkalan penyelenggaraan pesawat sehenti di Pelabuhan Perdagangan Bebas Hainan di selatan China, sedang menjalankan penyelenggaraan khusus pada Airbus A320 yang dioperasikan oleh Royal Air Philippines pada 29 Oktober 2022. Ia merupakan projek penyelenggaraan pesawat luar negara pertama yang dilakukan sejak pangkalan itu memulakan operasinya. (Foto oleh Su Bikun)

Video

Berita Berkaitan