"Suara Selatan" Semakin Lantang dalam Tadbir Urus Ekonomi Global

(CRI)Selasa 25 November 2025

Sidang Kemuncak ke-20 Pemimpin Kumpulan 20 (G20) menutup tirai di Johannesburg, Afrika Selatan pada Ahad.

Pada sidang tersebut, Perdana Menteri China Li Qiang telah memfokuskan kepada solidariti dan kolaborasi bagi menangani kemelesetan ekonomi, perselisihan dan kesukaran tadbir urus.

Lebih istimewa, deklarasi bersama telah diluluskan pada hari pembukaan, sekaligus mencatat sejarah baharu dalam Sidang Kemuncak G20 dan mempamerkan tekad semua pihak untuk memperkukuh perpaduan dan kerjasama bagi menangani cabaran bersama.

Sebagai anggota utama G20 dan negara membangun yang terbesar, China sentiasa mendukung dan mendengar suara Afrika serta menyokong segala tindakan yang diambil benua itu.

Sejak inisiatif G20 iaitu "Menyokong Industri Afrika dan Negara-negara Paling Kurang Membangun" diketengahkan di Hangzhou pada 2016, China sentiasa menyokong perindustrian benua terbabit.

China menekankan bahawa untuk mencapai pembangunan sebenar, masalah sebenar harus diselesaikan terlebih dahulu.

Dalam menghadapi cabaran global seperti perubahan iklim, keselamatan tenaga dan makanan, China telah mencadangkan tiga langkah utama.

Cadangan tersebut adalah memperkasa perlindungan ekologi dan meningkatkan kelestarian pembangunan; meningkatkan kerjasama tenaga hijau dan memajukan transformasi serta mengintensifkan kolaborasi keselamatan makanan serta memastikan dan menstabilkan pembekalan.

Selain itu, kesukaran tadbir urus juga diberikan perhatian untuk mewujudkan pembangunan bersama.

Justeru, G20 disaran menjadi contoh untuk menegakkan multilaterlisme, mempercepat pembaharuan Bank Dunia, Tabung Kewangan Antarabangsa dan Pertubuhan Perdagangan Dunia, yang dipercayai kondusif bagi memperjuangkan suara negara-negara membangun dan membentuk orde perdagangan antarabangsa yang lebih adil dan terbuka.

Seiring dengan perkembangan modenisasi ala China dan pelaksanaan Inisiatif Tadbir Urus Global, China dan negara Selatan Global lain akan menyumbang lebih banyak "kuasa dari Selatan" untuk pembangunan G20 dan tadbir urus ekonomi global.

Video

Berita Berkaitan