- Lain-lain
Ahli Matematik China Deng Yu, Wang Hong Dikurniai Pingat Fields
![]() |
| Pemenang Pingat Fields dari China Deng Yu (paling kiri) dan Wang Hong (paling kanan), John Pardon dari AS (kedua kiri) dan Jacob Tsimerman dari Kanada, bergambar secara berkumpulan pada majlis pembukaan Kongres Ahli Matematik Antarabangsa 2026 di Pusat Konvensyen Pennsylvania, Philadelphia, AS, 23 Julai 2026. (Xinhua/Li Rui) |
Ahli matematik China Deng Yu dan Wang Hong telah dikurniai Pingat Fields pada Kongres Ahli Matematik Antarabangsa 2026 di AS, Khamis lalu. Ini merupakan kali pertama tokoh bidang matematik China telah memenangi anugerah yang cukup berprestij ini.
Pada majlis pembukaan yang berlangsung di Pusat Konvensyen Pennsylvania, Kesatuan Matematik Antarabangsa mengumumkan Deng sebagai pemenang pingat tersebut untuk pencapaiannya dalam persamaan pembezaan separa (PPS), manakala Wang diberikan pengiktirafan serupa untuk kajiannya berkaitan teori analisis harmoni dan ukuran geometri.
“Amat tinggi penghormatannya melihat nama saya disenaraikan selepas ahli matematik tersohor yang telah lama saya kagumi,” ujar Deng pada taklimat media selepas majlis. “Ini pengiktirafan penting buat saya, kajian saya, kajian saya dengan rakan usaha sama, juga untuk bidang PPS dan kebarangkalian yang saya wakili.”
“Anugerah ini besar maknanya bagi saya dan rakan usaha sama lain,” kata Wang. Mengenang kembali saat mendapat tahu Terence Tao dianugerahi Pingat Fields, Wang yang masih di bangku sekolah menengah ketika itu berasa amat teruja. “Jadi, saya juga sangat teruja hari ini.”
Pemenang Pingat Fields Efim Zelmanov memberitahu Xinhua: “Saya tumpang gembira dengan Dr. Deng dan Dr. Wang.” Tambahnya lagi, “bahagian paling penting dalam pendidikan kedua-dua orang pemenang ini diselesaikan di China” dan pencapaian mereka adalah “satu pengiktirafan besar terhadap peranan utama China yang semakin meningkat dalam dunia matematik.”
Deng pernah menuntut di Universiti Peking, MIT dan Princeton, kini seorang profesor di Universiti Chicago. Wang pula mendapat ijazah sarjana muda dari Universiti Peking, sarjana dari Paris-Saclay serta ijazah kedoktoran dari MIT, dan kini merupakan profesor di Institut des Hautes Études Scientifiques (IHÉS) di Perancis dan Institut Courant, Universiti New York.
Dua lagi penerima Pingat Fields tahun ini ialah John Pardon dari Universiti Stony Brook dan Jacob Tsimerman dari Universiti Toronto. Pingat Fields dikurniakan setiap empat tahun kepada penyelidik muda bawah umur 40.
![]() |
| Ahli matematik China Deng Yu dikurniai Pingat Fields pada majlis pembukaan Kongres Ahli Matematik Antarabangsa 2026 di Pusat Konvensyen Pennsylvania, Philadelphia, AS, 23 Julai 2026. (Xinhua/Li Rui) |
![]() |
| Ahli matematik China Wang Hong dikurniai Pingat Fields pada majlis pembukaan Kongres Ahli Matematik Antarabangsa 2026 di Pusat Konvensyen Pennsylvania, Philadelphia, AS, 23 Julai 2026. (Xinhua/Li Rui) |
- China Terus Unggul Dalam Industri Berteknologi Tinggi Global
- Xi Sampaikan Hadiah kepada Pemenang Anugerah Sains dan Teknologi Tertinggi China
- Xi Seru Percepat Bina Sistem Pengetahuan China dalam Falsafah, Sains Sosial
- Martabatkan Peranan Golongan Muda dalam Inovasi Sains - Pemenang Hadiah Nobel
- Kuasa Produktif Kualiti Baharu: Revolusi yang Melangkaui Terminologi
- China Akan Buka 10 Kemudahan Sains kepada Akademia Antarabangsa
- China Seru Bina Komuniti Sains dan Teknologi Global
- China Umum Garis Panduan Dorong Pembangunan Insurans Sains, Teknologi
- Xi Seru Perkasa Penyelidikan Asas, Pertingkat Inovasi Asli
- Mempertingkat Kemandirian Sains dan Teknologi dalam Pembangunan Negara Sosialis Moden - Xi







