Pakar Malaysia: LCS Bukan Medan Percaturan Kuasa Luar

(CRI)Selasa 18 Ogos 2026

Diplomasi antara China dan negara-negara ASEAN dalam menangani isu Laut China Selatan (LCS) perlu bebas daripada percaturan kuasa luar.

Demikian dinyatakan oleh Felo Operasi Psikologi Pusat Pengajian Perang Saraf Media dan Informasi Universiti Teknologi MARA (UiTM), Dr Noor Nirwandy Mat Noordin ketika ditemu bual wartawan CGTN Malay, baru-baru ini.

Beliau berkata hubungan diplomatik yang erat antara China dengan negara-negara Asia Tenggara mampu membuka ruang yang luas bagi mempergiatkan rundingan, memperkukuh kerjasama dua hala serta meningkatkan saluran diplomatik dalam menangani sebarang perbezaan dan pertikaian yang wujud.

“Kerjasama langsung antara China dengan negara-negara ASEAN, sama ada secara dua hala mahupun menerusi ASEAN sebagai satu blok, mampu memudahkan usaha mencari titik persamaan dan penyelesaian secara aman terhadap isu LCS,” kata Dr. Noor Nirwandy.

Jelas beliau, pendekatan seumpama itu juga memberi ruang kepada China dan ASEAN memperkukuhkan persefahaman berasaskan kepentingan bersama dan undang-undang antarabangsa.

Bagaimanapun, Dr. Noor Nirwandy berkata proses tersebut boleh menjadi lebih rumit sekiranya kuasa-kuasa luar yang tidak terlibat secara langsung turut membawa kepentingan masing-masing dalam isu berkaitan LCS.

Ujarnya, hubungan tertentu membabitkan sesetengah negara ASEAN dengan kuasa besar seperti Amerika Syarikat (AS) atau Jepun berisiko merencatkan rundingan, sekali gus menyukarkan usaha mencapai pendirian bersama serta penyelesaian melalui saluran diplomatik antara China dan ASEAN mengenai LCS.

“Kod Tatalaku (CoC) penting bagi memastikan isu berkaitan LCS dapat ditangani dengan baik dan perkara itu kini sedang dibincang dan dijangka dimuktamadkan pada Sidang Kemuncak ASEAN ke-49 di Manila, November ini.

“Kerjasama silang yang melibatkan kuasa luar yang tidak terbabit secara langsung dalam isu berkaitan LCS berisiko merencatkan proses rundingan, khususnya apabila wujud hubungan unilateral antara negara ASEAN tertentu dengan kuasa besar seperti AS dan Jepun,” kata Dr Noor Nirwandy.

Beliau yang juga Pakar Perang Saraf, Penganalisis Keselamatan dan Politik berkata CoC bagi Laut China Selatan bukan sekadar mekanisme untuk menguruskan pertikaian wilayah, malah berperanan sebagai platform memperkukuh diplomasi dan hubungan strategik antara China dengan negara-negara ASEAN.

Menurutnya, hubungan pembangunan antara ASEAN dan China semakin saling berkait, justeru kedua-dua pihak wajar dilihat dalam kerangka yang lebih menyeluruh bagi menangani pelbagai isu serantau.

Melalui kerjasama diplomatik yang lebih erat, Dr Noor Nirwandy berkata China dan ASEAN berpotensi membentuk satu kerangka penyelesaian yang mengutamakan rundingan, persefahaman dan pendekatan bukan ketenteraan.

Beliau berkata pendekatan berkenaan selari dengan prinsip Kepusatan ASEAN, iaitu ASEAN kekal memainkan peranan utama dalam menentukan hala tuju keamanan dan kestabilan rantau bersama rakan strategik seperti China.

“Apabila penglibatan dalam diplomasi strategik dan hubungan dua hala antara China dengan negara-negara ASEAN berjalan dengan baik, ini membentuk satu inspirasi baharu ketamadunan dalam penyelesaian konflik-konflik antarabangsa seperti yang berlaku dalam kalangan negara ASEAN dan China,” katanya.

Pada masa sama, Dr Noor Nirwandy menegaskan bahawa kejayaan CoC amat penting dalam menjamin kestabilan politik, ekonomi dan keselamatan ASEAN, selain memastikan keamanan dan keselamatan di LCS dapat dipelihara dalam jangka panjang.

Video

Berita Berkaitan