- Lain-lain
China, ASEAN Komited Tingkatkan Kerjasama, Pelihara Kepentingan Bersama

China bersedia berganding bahu dengan ASEAN untuk memperkukuh kerjasama, saling memahami dan menyokong dalam memelihara kepentingan bersama China-ASEAN, menjaga kepentingan negara-negara Selatan Global, serta mendorong pembinaan orde antarabangsa ke arah lebih adil dan rasional.
Demikian dikatakan Menteri Luar China Wang Yi ketika bertemu dengan Setiausaha Agung ASEAN Kao Kim Hourn di Manila, pada Selasa.
Tahun ini merupakan ulang tahun ke-50 Perjanjian Persahabatan dan Kerjasama Asia Tenggara, dan juga ulang tahun kelima terjalinnya hubungan perkongsian strategik komprehensif China-ASEAN.
Wang Yi berkata, China ialah negara besar pertama yang menganggotai perjanjian tersebut. Keanggotaan China turut menggalakkan lebih banyak negara besar untuk menganggotai pertubuhan serantau itu, sekali gus meningkatkan kedudukan ASEAN di arena antarabangsa.
China akan terus memberi sokongan kepada pembinaan Komuniti ASEAN, kata Wang.
Beliau menyatakan bahawa baru-baru ini China berjaya menganjurkan Persidangan Kecerdasan Buatan Sedunia (WAIC) 2026 di Shanghai dan mengesyorkan penubuhan Pertubuhan Kerjasama Kecerdasan Buatan Dunia (WAICO).

Misi WAICO adalah untuk meningkatkan kemampuan negara-negara Selatan dalam pembangunan AI, agar mereka dapat mengikuti arus perkembangan zaman.
Wang berharap agar ASEAN dapat aktif menyertai kerjasama AI antarabangsa, di samping mengalu-alukan lebih banyak negara ASEAN menyertai pertubuhan AI tersebut.
Kao Kim Hourn memberikan penilaian positif terhadap hubungan ASEAN-China dan hasil kerjasama praktikal kedua-dua pihak, selain mengucapkan terima kasih atas sokongan kukuh China terhadap kepusatan ASEAN di rantau ini.
Menurutnya, China merupakan rakan strategik komprehensif yang paling penting bagi ASEAN. Kedua-dua pihak telah membina 65 mekanisme kerjasama. Kawasan Perdagangan Bebas ASEAN-China semakin dinaikkan taraf, manakala jumlah dagangan kedua-dua pihak melebihi USD1.0 trilion pada tahun 2025.
Beliau berkata, tahun depan merupakan ulang tahun ke-25 penandatanganan Deklarasi Tatalaku Pihak-Pihak Berkepentingan di Laut China Selatan (DoC). Pihaknya menyokong pendekatan dwi-landasan, mempercepat rundingan mengenai Kod Tatalaku di Laut China Selatan (CoC), serta berusaha mendorong Laut China Selatan menjadi laut damai, kerjasama dan persahabatan.
ASEAN bersedia bekerjasama dengan China untuk bersama-sama memelihara keamanan dan kestabilan serantau, serta menyumbang kepada pembangunan dan kemakmuran Asia Pasifik, tegas beliau.
- 'Keputusan Kes Timbang Tara LCS' Takkan Goyah Tekad China Pertahan Kedaulatan dan Kepentingan Maritim: MFA
- 'Keputusan Kes Timbang Tara LCS' Contoh Buruk Pelanggaran Undang-undang Antarabangsa: Pakar
- China Bantah Kenyataan Jepun Berkaitan 'Keputusan Kes Timbang Tara LCS'
- Laporan 'Kritik Baharu Keputusan Kes Timbang Tara LCS' Disiarkan
- Jurucakap MFA Komen Kenyataan Menteri Luar Jepun Membabitkan “Keputusan Kes Timbang Tara Laut China Selatan 2016”
- China Tidak Terima "Keputusan Kes Timbang Tara Laut China Selatan"
- China Terbitkan Laporan Pertikai Tuntutan Wilayah Filipina di Laut China Selatan
- PLA Adakan Rondaan di Sekitar Pulau Huangyan
- Mesyuarat Pegawai Kanan ke-26 Pelaksanaan DoC Berlangsung di Kuala Lumpur
- Penggubalan COC Langkah Kondusif: MFA




