- Lain-lain
Bagaimana Buah ASEAN Sampai ke Meja Serata China
Pada awal pagi, pekerja memetik kelapa wangi di sebuah ladang di selatan Bangkok. Pemilik ladang, Qin Shaoyu, jatuh cinta dengan rasa lemak manis kelapa wangi ini sedekad lalu, lantas bermastautin di Thailand. Hari ini, keluarannya dijual di pasar raya serata China.

Pekerja memproses kelapa di kilang pemprosesan kelapa milik Qin Shaoyu di Thailand. (People's Daily Online/Yan Lizheng)
Untuk membawa kelapa segar ke meja makan di China, perlu sebuah rangkaian logistik yang tepat pada jamnya. Pengangkutan laut dari Thailand ke Pelabuhan Qinzhou di Guangxi memakan masa hanya tiga hari, diikuti oleh perjalanan darat selama kira-kira sehari ke Nanning – masih dalam lingkungan masa bagi pemprosesan buah yang baru dipetik.
Di Pelabuhan Youyiguan di Pingxiang, Guangxi, lori peti sejuk berbaris masuk setiap pagi. Dalam masa tidak sampai 15 saat, sebuah trak membawa 17 tan durian sudah pun selesai melalui pintu pemeriksaan pintar.
“Tak sangka boleh secepat ini,” kata pemandu, Li Hainan.
Youyiguan antara pelabuhan darat terbesar di China bagi perdagangan buah-buahan. Kemudahan ini menguruskan sepertiga durian yang diimport masuk ke negara ini. Dari Januari hingga Julai lalu, pelabuhan-pelabuhan di Guangxi mengimport 1.73 juta tan buah ASEAN bernilai 26.03 bilion yuan, meningkat 6.83 peratus dan 19.19 peratus tahun ke tahun.

Foto menunjukkan sebuah pusat perdagangan buah China-ASEAN di Chongzuo, wilayah autonomi zhuang Guangxi, selatan China. (People's Daily Online/Fu Huazhou)
Di Pasar Perdagangan Buah Antarabangsa Jiangnan Nanning, pemborong, Guo Huizhen cukup sibuk sejak mulanya musim durian. Kualiti serta harga yang berpatutan menarik ramai pembeli.

Foto menunjukkan sebuah gerai borong durian di Pasar Perdagangan Buah Antarabangsa Jiangnan di Nanning, wilayah autonomi zhuang Guangxi, selatan China. (People's Daily Online/Wei Huan)
Kini, buah-buahan dari ASEAN yang masuk China menerusi Pingxiang dapat sampai ke Pasar Borong Buah dan Sayur Jiangnan di Guangzhou, provinsi Guangdong, selatan China, dalam tujuh jam, bahkan pasar borong Xinfadi di Beijing dalam 30 jam.
Rel China-Laos juga ikut sama bersaing. Sebuah tren barang Ekspres Lancang-Mekong membawa durian Thailand tiba di Kunming selepas 26 jam; sebahagian besar muatannya dipunggah dari rel ke jalan raya dan dihantar ke lebih 30 bandar China dalam 48 jam. Sejak memulakan operasi pada Disember 2021, rel itu telah mengangkut lebih daripada 200,000 tan buah import rentas sempadan setakat 12 Ogos lalu.

Seorang pekerja menurunkan dan mengisih durian Thailand di Stesen Barat Wangjiaying di Kunming, provinsi Yunnan, barat daya China. (People's Daily Online/Li Faxing)
Dalam pada itu, Koridor Perdagangan Darat-Laut Antarabangsa Baharu juga membantu buah-buahan ASEAN sampai ke China. Berjuta-juta tan buah tropika lalu di Chongqing setiap tahun sebelum diagihkan ke Sichuan, Guizhou, Hubei, Hunan, Gansu, serta provinsi-provinsi lain di tengah dan barat negara.

Sebuah tren muatan sejuk membawa buah-buahan dari ASEAN tiba di Nanning, wilayah autonomi zhuang Guangxi, selatan China. (People's Daily Online/Feng Xiaohui)
Wang Hao, pengurus besar Sichuan Langhao Import and Export Group, telah mengimport durian selama hampir sedekad. “Pengangkutan jalan dari Thailand dulu memerlukan tujuh hingga sembilan hari, menelan kos 50,000 yuan setiap kontena, mengakibatkan kerugian kira-kira 10 peratus,” jelasnya. “Rel China-Laos telah memendekkan masa perjalanan ke Chengdu kepada hanya 72 jam, menjimatkan separuh kos dan mengurangkan kerugian kepada hampir sifar.”

Seorang kakitangan membuka sebiji durian segar. (People's Daily Online/Wang Xing)
Terusan Pinglu, 134.2 kilometer panjang dan mampu memuatkan kapal 5,000 tan, menyambungkan Sungai Pingtang di Hengzhou, Nanning dengan Teluk Beibu.
“Selepas beroperasi, ia dijangka mengurangkan lagi 30 peratus kos pengangkutan buah-buahan ASEAN ke China,” anggar Cao Derong, presiden Dewan Perniagaan China bagi Import dan Eksport Barang Makanan, Hasil Tempatan dan Hasil Sampingan Haiwan.
- CAEXPO ke-23 Papar Lebih 170 Pencapaian Teknologi Termaju
- CAFTA 3.0 Wahana Utama Komuniti Berkongsi Nasib dengan ASEAN - Naib PM China
- China, ASEAN Lancar Pelan Pelaksanaan Inisiatif Perkasa Kerjasama E-dagang
- China, ASEAN Percepat Pembentukan Hab Agihan Buah-buahan
- Manfaatkan Pembukaan Terusan Pinglu Tingkatkan Kesalinghubungan Guangxi dengan ASEAN - Naib PM China
- 'Laluan Emas' Perkasa Kerjasama China, ASEAN
- Terusan Pinglu Corak Masa Depan China, ASEAN
- Terusan Utama Sungai ke Laut China Bakal Buka
- Perdagangan China-ASEAN Cata USD744.41 Bilion pada 7 Bulan Pertama 2026
- Perdagangan China-ASEAN Naik 24.7% Tujuh Bulan Pertama




