Perdagangan Luar China Kekalkan Momentum Pertumbuhan Kuat dalam Sepuluh Bulan Pertama 2026

(CRI)Rabu 11 November 2026

Jumlah import dan eksport barangan China merekodkan RMB44.81 trilion (RM27.25 trilion) dalam sepuluh bulan pertama tahun ini, menokok 20 peratus tahun ke tahun, menurut Pentadbiran Am Kastam China (GACC) pada Selasa.

Ketua Pengarah Jabatan Statistik dan Analisis GACC, Lyu Daliang menjelaskan bahawa perdagangan luar China mengekalkan momentum pertumbuhan yang kuat sejak awal tahun ini, manakala daya tahan dan dinamikanya semakin terserlah.

Pada masa sama, jumlah import dan eksport China masing-masing merekodkan peningkatan lebih daripada 10 peratus selama enam bulan secara berturut-turut, kata Lyu.

Menurut statistik terkini, jumlah import dan eksport antara China dengan lebih 180 negara dan kawasan menyaksikan peningkatan dalam sepuluh bulan pertama tahun ini.

Antaranya, jumlah import dan eksport antara China dengan pasaran baru muncul seperti ASEAN, Amerika Latin dan Afrika masing-masing meningkat 24.2 peratus, 14.4 peratus dan17.6 peratus.

Sementara itu, jumlah import dan ekport antara China dengan Kesatuan Eropah (EU) dan Amerika Syarikat (AS) masing-masing menokok 8.5 peratus dan 6.3 peratus.

Dalam tempoh yang sama, import dan eksport antara China dengan entiti-entiti ekonomi Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (APEC) serta negara-negara terlibat dalam inisiatif Jalur dan Laluan (BRI) masing-masing berjumlahRMB27.08 trilion dan RMB22.88 trilion, naik 25.4 peratus dan 18.5 peratus.

Video

Berita Berkaitan