Jaringan Logistik Xizang Semakin Baik, Penghantaran ke Kaki Gunung Qomolangma Kini

(Akhbar Renmin Ribao Dalam Talian)Isnin 17 November 2025

① Trak menunggu untuk memindahkan kargo ke limbungan pengangkutan kereta api di Xining, Provinsi Qinghai, barat laut China, untuk penghantaran ke Wilayah Autonomi Xizang si barat daya China melalui Kereta Api Qinghai-Tibet. (Foto oleh Hao Baojun)

② Foto menunjukkan peralatan pengisihan automatik di pusat pemindahan ZTO Express di Lhasa, Wilayah Autonomi Xizang, barat daya China. (Foto oleh Yang Qingyue)

③ Seorang kurier SF Express menghantar bungkusan ke depan pintu pelanggan di Lhasa, Wilayah Autonomi Xizang, barat daya China. (People's Daily Edisi Luar Negara /Xu Yuyao)

④ Seorang penduduk kampung menggunakan peti sejuk yang dibeli secara dalam talian di kaunti Medog, Nyingchi, Wilayah Autonomi Xizang, barat daya China. (People's Daily Edisi Luar Negara /Xu Yuyao)

⑤ Foto menunjukkan sebuah trak penghantaran JD Logistics di jalan gunung yang berliku-liku yang menghubungkan bandar Shannan dengan kaunti Lhunze di Wilayah Autonomi Xizang, barat daya China. (Foto ihsan responden)

Stesen perkhidmatan penghantaran Cainiao, iaitu cabang logistik gergasi e-dagang China, Alibaba Group, di kaki Gunung Qomolangma milik milik Yang Tao adalah satu cerminan kepada kisah yang luar biasa tentang penaiktarafan logistik di Wilayah Autonomi Xizang, barat daya China.

Rak-rak di stor beliau yang terletak di pekan Zhaxizom di kaunti Tingri, bandar Xigaze, penuh dengan bungkusan pelbagai saiz dari seluruh negara. Pada tahun ini ,pesta beli-belah ’11.11’ telah menyaksikan pemuda dari Provinsi Shaanxi, barat laut China itu lebih sibuk berbanding biasa.

“Semakin ramai orang membeli-belah dalam talian sekarang. Dahulu, stesen perkhidmatan saya hanya menerima 12 bungkusan seminggu. Kini, kami mengendalikan sekitar 100 setiap hari.

“Kebanyakan bungkusan kini didatangkan dengan perkhidmatan penghantaran percuma, sekali gus membuatkan kos logistik bukan lagi penghalang kepada penghantaran di Qomolangma,” ujar Yang.

Perluasan perkhidmatan penghantaran percuma ke Xizang memperlihatkan trend yang lebih luas. Pada Ogos, kerajaan wilayah telah menjadikan ‘perkhidmatan penghantaran percuma di Xizang’, iaitu sebagai salah satu daripada 10 projek mata pencarian keutamaannya, dengan memperkenalkan beberapa langkah sokongan.

Tatkala salji lebat menyelimuti Gyirong dan Nyalam di Xigaze pada awal November, Gong Xu, yang menyelia operasi JD Logistics di bandar itu berasa cemas berikutan gangguan jadual penghantaran.

"Salji itu mengganggu trafik dan boleh melambatkan penghantaran selama dua hari.

“Biasanya, bungkusan dari gudang tempatan kami sampai kepada pelanggan dalam masa dua hingga tiga hari, dengan satu atau dua hari tambahan untuk kaunti yang lebih terpencil,” ujar beliau.

Kebimbangan sedemikian tentang kelewatan kecil menandakan perubahan dramatik dari masa lalu. Untuk konteks, sebelum ini, pesanan dalam talian di Xigaze biasanya mengambil masa sekurang-kurangnya dua minggu untuk diterima oleh pelanggan.

“Kebanyakan orang kini menganggap adalah perkara biasa untuk memesan apa sahaja yang mereka perlukan pada telefon masing-masing dan (kami perlu) menghantarnya dengan cepat,” kata Gong, sambil menambah bahawa mereka membeli segala-galanya daripada tisu dan air botol hingga telefon pintar dan komputer dalam talian.

Di sebalik revolusi kelajuan ialah pertumbuhan pembangunan gudang tempatan. Hari ini, banyak penghantaran JD Logistics, unit logistik gergasi e-dagang China JD.com, yang menuju ke Xigaze dari gudang penyedia logistik di pinggir Lhasa, ibu kota Xizang.

Taman pergudangan dan logistik JD di Xizang mula beroperasi pada 2017, sekali gus menandakan taman logistik khusus pertama wilayah autonomi yang dimiliki oleh perusahaan e-dagang.

Gudang itu kini menyimpan hampir 100,000 jenis produk, dengan inventori melebihi 500,000 barangan. Hampir 80 peratus kategori produk yang dipesan oleh pelanggan boleh dipenuhi secara tempatan.

Untuk persediaan bagi festival membeli-belah ’11.11’ tahun ini, JD Logistics meningkatkan keupayaan teknologinya dan menyimpan sumber tambahan.

“Kami meramalkan jumlah pesanan dan menjalankan perancangan kapasiti, secara aktif mengembangkan ruang gudang dan inventori.

“Apabila pelanggan membuat pesanan, bungkusan akan dihantar serta-merta dari gudang Lhasa kami untuk penghantaran secepat mungkin, yang kadang-kadang (dilakukan) pada hari yang sama," kata Wen Baopeng, yang mengetuai operasi JD Logistics di Xizang.

Pengalaman membeli-belah yang dipertingkatkan telah memenangi hati semakin ramai penduduk di Xizang.

Menurut data separuh pertama tahun ini, jualan runcit dalam talian Xizang mencecah RMB18.07 bilion (kira-kira AS$2.54 bilion), meningkat 38.6 peratus tahun ke tahun. Barangan fizikal menyumbang 86.1 peratus daripada jumlah tersebut, meningkat 39.3 peratus daripada tempoh yang sama tahun lalu. Kedua-dua kadar pertumbuhan menduduki tempat pertama di seluruh negara.

Bandar Shannan di Xizang kini telah mencapai liputan perkhidmatan penghantaran penuh merentasi semua 577 kampung pentadbiran, 90 jawatankuasa pengurusan kuil, 467 sekolah, 26 perusahaan milik kerajaan yang ditadbir secara berpusat, dan semua unit tentera. Penemuan penting dalam menyelesaikan masalah ‘kilometer terakhir’ ini telah mewujudkan sistem logistik penghantaran luar bandar yang cekap dan lancar.

Shannan telah mengeluarkan pelan pelaksanaan percubaan untuk pembaharuan komprehensif sistem logistik penghantaran luar bandarnya.

Timbalan datuk bandar Shannan, Gyangkar berkata bahawa dengan pelaburan kumulatif sebanyak RMB14.02 juta, ia telah membina rangkaian penghantaran yang menyepadukan jenama ekspres dan stesen servis tiga peringkat yang meliputi kaunti, pekan dan kampung.

Untuk mengurangkan kos logistik secara berkesan, Shannan telah menggalakkan kerjasama pos-ekspres yang melibatkan perkongsian antara syarikat penghantaran pos dan ekspres, serta mempromosikan model pengangkutan penumpang-barang-mel bersepadu.

Sejak awal tahun ini, sekitar 1.46 juta bungkusan telah dihantar kepada penduduk melalui kerjasama pos-ekspres.

Bandar ini telah menyelaraskan sumber rangkaian pengangkutan awam bandar dan luar bandar untuk mewujudkan 25 laluan demonstrasi untuk model pengangkutan penumpang-barang-mel bersepadu, menyaksikan lebih daripada 84,000 bungkusan telah dikendalikan.

Pembinaan jalan yang dipertingkatkan menyediakan asas untuk pembangunan logistik.

“Xizang kini mempunyai 24 lebuh raya kebangsaan biasa dan 57 lebuh raya provinsi biasa, dengan jumlah jarak tempuh jalan kebangsaan dan wilayah melebihi 30,000 kilometer.

“Semua 74 kaunti dan daerah mempunyai akses kepada jalan berturap," kata seorang pegawai dari jabatan pengangkutan Wilayah Autonomi Xizang.

Menjelang penghujung tahun ini, semua bandar dan pekan serta lebih 90 peratus kampung pentadbiran di wilayah autonomi akan mempunyai akses kepada jalan berturap, dengan semua pekan dan kampung yang memiliki jalan bersesuaian kini mempunyai perkhidmatan bas.

Video

Berita Berkaitan